Isnin, 6 Februari 2017
Malaysia dipimpin oleh munafik?
Renungkanlah 4 sifat orang munafik seperti dalam gambar di atas. Berapa ramai di antara kita pada hari ini yang tidak memiliki sifat-sifat tersebut? Era yang dicengkam kleptokrasi dan oxymoron serta 'bertuhankan' kebendaan agak mustahil bagi rakyat mahupun pemimpin bebas daripada sifat seperti ini. Apatah lagi dalam konteks Malaysia, negara ini sedang ditadbir dan dipimpin oleh Perdana Menteri yang menerapkan pemikiran 'Cash is King'. Dikelilingi pula oleh para penasihat dan menteri yang hanya mengutamakan 'dedak' berbanding nasib rakyat dan maruah negara serta agama. Disokong pula oleh media arus perdana yang hanya mengadu domba mahupun menyebarkan auta. Anda fikir tiada keperluan untuk merubah semua ini? Anda fikir dengan hanya berdiam diri dan tidak melakukan sesuatu, Allah akan mengubah situasi ini? "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya" [Ar-Ra'd : 11].
Masih tidak mahu berfikir yang Malaysia sedang dipimpin oleh munafik? Sudah berapa kali media pro UMNO sendiri yang merekodkan kenyataan atau bicara Najib yang akhirnya adalah berbentuk pembohongan? Tentunya ramai dikalangan rakyat yang masih ingat isu dana SRC dalam akaun peribadi Najib. Bagaimana mungkin seorang Perdana Menteri tidak melakukan usaha untuk mengetahui tentang siapakah yang memasukkan dana tersebut atau dari mana dana tersebut dimasukkan ke akaun peribadinya? Najib ketika menafikan salah lakunya dalam kes tersebut menyatakan bahawa memang benar ada dana SRC yang berjumlah RM42 juta di dalam akaun peribadinya tetapi dia tidak tahu siapa yang masukkannya. Hmm...semudah itu melakukan pembohongan. Dan semudah itu juga AG Apandi menerima alasan tersebut dan membebaskan Najib daripada sebarang salah laku.
Terbaharu, Najib berbohong lagi. Kali ini dalam soal harga kereta di negara ini. Pada tahun 2013, Najib dengan yakinnya menyatakan bahawa harga kereta di Malaysia akan diturunkan! Namun pada bulan ini kata-kata itu terbukti hanyalah bohong semata apabila dia bersetuju dengan kenaikan harga kereta Proton untuk semua model berkuatkuasa pada 15 Februari 2017. Apakah itu bukan satu pembohongan? Dan jika dia bersetuju dengan kenaikan harga kereta Proton, adakah anda fikir yang Najib akan membuat keputusan yang berbeza bagi model dan pemgeluar kereta yang lain? Sekali berbohong, selamanya akan berbohong selagi tidak taubat nasuha! Lihat sahaja dalam soal harga minyak di Malaysia. Sudah berapa kali kenaikan sejak janjinya untuk tidak menaikkan harga minyak? Sudah 16 kali setakat sehingga Februari 2017! Dalam soal harga minyak sahaja, Najib telah berbohong sebanyak 16 kali! Anda fikir berapa banyak lagi pembohongan yang telah, sedang dan akan dilakukannya?
Kemunafikan Najib juga terserlah dalam pertelingkahan politik di negara ini. Saling bertentangan antara parti pemerintah dan parti pembangkang adalah suatu yang normal dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi (walaupun akhir-akhir ini Malaysia seakan-akan menjadi negara diktator). Namun yang merisaukan ialah keperibadian Najib dalam berhujah sudah menyamai taraf ahli poltik facebook, macai dan pendedak UMNO! 20 Januari 2017 yang lalu menjadi saksi betapa dalam pertelingkahan, Najib memilih untuk bersifat melampau. Gelaran atau anugerah tertinggi negara yang dikurniakan oleh Baginda Agong menjadi bahan hinaan Najib. Gelaran 'Tun' diperlekeh dan digantikan oleh Najib dengan perkataan 'U-Turn'. Inikah akhlak seorang Perdana Menteri yang mengaku Islam? Akhlak sedemikian rupa hanyalah milik golongan munafik! Melampau-lampau dalam suatu pertelingkahan merupakan suatu sifat orang-orang munafik. Nauzubillah min zalik.
Sebelum ungkapan ini, Najib juga menampakkan kemunafikannya apabila menyelar Tun Mahathir sebagai pengkhianat negara hanya kerana Tun Mahathir memilih untuk tidak lagi bersama UMNO. Apakah setiap individu atau kumpulan yang tidak tunduk pada UMNO itu pengkhianat negara? Ini juga bukan kali pertama Najib menggelar pihak lain sebagai pengkhianat. Pada tahun 2013, Najib juga telah menyelar rakyat yang tidak membayar atau mengelak daripada membayar cukai sebagai pengkhianat! Bagaimana pula dengan dirinya yang terpalit dengan Skandal 1MDB, FGV, SRC, Pembunuhan Altantuya dan banyak lagi. Bukan pengkhianat? Enggan melaksanakan Perjanjian Persekutuan Malaysia bukan satu pengkhianatan? Laporan 1MDB diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi bukan satu pengkhianatan kepada rakyat dan undang-undang negara? Mengganggu kebebasan bersuara di Parlimen bukan satu pengkhianatan? Fikir-fikirkanlah wahai rakyat sekalian. Mahu terus berketuakan orang munafik? Wallahualam.
Ahad, 5 Februari 2017
'Saman Selasa' berulang lagi?
Dikebanyakan negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi sangat jarang kita mendengar Perdana Menteri atau Presiden melakukan pembohongan yang berulang-ulang. Kebiasaannya mereka akan memohon maaf atau meletak jawatan sebaik sahaja pembohongan mereka terbongkar. Demikian juga jika berjanji atau mengeluarkan suatu kenyataan. Jika janji gagal ditepati atau kenyataan tidak dilaksanakan, kesudahannya sama juga memohon maaf atau meletak jawatan. Tindakan memohon maaf atau meletak jawatan dilakukan bagi menjaga imej negara agar tidak terjejas yang mana ianya juga akan bersangkut paut dengan ekonomi negara. Siapakah atau negara mana yang sanggup berurusniaga dengan negara yang tidak menepati janji atau sentiasa berbohong atau tidak melaksanakan kenyataannya? Umum mengetahui bahawa tindak-tanduk mahupun imej seseorang Perdana Menteri atau Presiden sangat berkait rapat dengan negara. Keperibadian seorang Perdana Menteri atau Presiden biasanya melambangkan keperibadian negara tersebut.
Namun, itu semua jelas berbeza dengan apa yang terjadi di Malaysia. Perdana Menteri yang hampir setiap hari berbohong masih lagi menjadi Perdana Menteri hasil sokongan ahli-ahli Parlimen parti pemerintah. Jika sebelum ini Najib 'memalukan' dirinya dengan 'Hari Selasa' yang tak kunjung tiba, kali ini skrip itu berulang lagi. Cuma tajuk sahaja berbeza. Kali ini ia melibatkan kabinet (gambar atas). Adakah Kabinet telah merujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM)? Telah hampir 2 minggu sejak Najib mengeluarkan kenyataan itu. Atau Kabinet belum memutuskan untuk merujuk kepada BNM kerana khuatir ianya satu tindakan yang akan memakan diri (backfire)? Sebelum Najib membuat kenyataan itu pun, BNM dalam satu kenyataan bagi menjawab dakwaan mantan Penolong Gabenor BNM berkata, institusi itu sudah mencapai kemajuan yang lebih kukuh, telus dan lebih bertanggungjawab sejak kerugian tukaran asing berlaku hampir 25 tahun lepas.
Satu lagi 'Saman Selasa' yang mungkin berulang ialah Kes BMF. Hangat-hangat tahi ayam. Mungkin itu perumpamaan yang boleh digunapakai bagi menggambarkan usaha UMNO dan 'macai' medianya dalam menangguk di air yang keruh berhubung 'declassified' beberapa dokumen lama CIA termasuk Kes BMF. Patutlah Najib 'gila' benar ketika PAU2014 hinggakan melabel laskar maya UMNO sebagai 'bangang'. Jangankan laskar maya, ketua 'macai' media (TV3) pun nampaknya dah semakin 'bangang'. Adakah mereka tidak membuat kajian atau menyelidiki fakta berkaitan BMF terlebih dahulu sebelum menemubual mantan Penolong Gabenor BNM, Abdul Murad Khalid? Sebagaimana 'Saman Selasa' yang nyata cuba digunakan untuk menggertak WSJ agar tidak berterusan membongkar Skandal 1MDB, taktik yang sama cuba digunakan untuk menyerang Tun M sekaligus menghentikan beliau daripada terus memperjuangkan nasib rakyat dan maruah negara.
Namun sebagaimana pantasnya Kes BMF ini ditimbulkan semula oleh UMNO dan 'macai' medianya, begitu pantas juga ia mulai reda daripada dijadikan 'peluru' untuk menyerang Tun M. Mengapa? Bukankah ia boleh digunakan untuk 'mencalar' imej Tun M kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu (dakwaan UMNO dan macainya)?Mereka yang timbulkan semula kes ini, mereka jugalah yang sedang cuba 'menenggelamkanya' semula. Manakan tidak, Kes BMF sebenarnya bermula pada sekitar tahun 1979-80, ketika itu Perdana Menteri ialah Allahyarham Tun Hussein Onn dan Menteri Kewangan ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Kedua-duanya masih berada dalam UMNO sekarang (Tun Hussein Onn melalui Hishamuddin)! Sebelum dilantik Menteri Kewangan pada tahun 1976, Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Bank Bumiputra. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Nasional (Pernas), Petronas dan Kumpulan Fleet yang memiliki New Straits Times Press Berhad.
Tengku Razaleigh mungkin bukan masalah bagi Najib jika terpaksa dijadikan 'korban' pembangkitan semula Kes BMF. Kerana itu tidak hairanlah pada peringkat awal kes ini dijaja siang dan malam oleh TV3 dan 'macai' media yang lain. Namun apabila semakin ramai yang sedar yang kes ini sebenarnya bermula ketika Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, TV3 dan 'macai' media yang lain secara tiba-tiba mengalihkan tumpuan kepada isu kerugian FOREX 1992 dengan membawa masuk mantan Penolong Gabenor BNM yang juga pernah dikenakan denda atas kegagalan mengisytiharkan harta! Najib pastinya sedar yang 'kembalinya' Kes BMF tidak akan menjejaskan sokongan terhadap Tun Mahathir, sebaliknya ia mampu 'membunuh' Hishamuddin. Walaupun Najib tidak menyatakan secara langsung yang Hishamuddin sebenarnya adalah orang nombor 2 dalam UMNO tetapi serangkap pantunnya ketika PAU2016 yang memuji Hishamuddin menjelaskan kedudukan sepupunya itu!
Hishamuddin adalah anak kepada Tun Hussein Onn. Dan tindakan menimbulkan semula Kes BMF pastinya seolah-olah satu usaha untuk 'memalukan' Hishamuddin sendiri. Nasi sudah menjadi bubur (teruskan isu BMF) atau satu lagi situasi 'Saman Selasa' yang tidak kunjung tiba? Wallahualam.
Sabtu, 4 Februari 2017
BN milik peribadikan kawasan pilihanraya dan kembali kepada feudalisme?
Adakah Malaysia sedang menuju kembali ke zaman feudalisme? Suatu zaman di mana sesuatu kawasan boleh dijadikan hak milik peribadi dan boleh diwarisi secara turun temurun. Mungkin iya cuma ia berselindung di balik nama demokrasi dan pilihanraya. Pengumuman oleh Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari pada 1 Februari 2017 menguatkan lagi persoalan ini. Pemergian allahyarham Tok Nan pada 11 Januari 2017 menjadikan kerusi untuk DUN Tanjong Datu kosong. Balu beliau, Jamilah Anu dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk DUN tersebut bagi menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Tanjong Datu. Alasan yang diberikan tentang pemilihan Jamilah ialah merupakan pilihan paling sesuai memandangkan beliau sering berada di sisi Adenan ketika allahyarham bergelar sebagai Adun Muara Tang dan Tanjong Datu. "Jamilah sangat aktif dan sering turun padang bersama Tok Nan." kata Abang Johari.
Hmm...bukan menafikan sumbangan Tok Nan. Tetapi adakah aktif dan sering turun padang dalam kapasiti sebagai isteri kepada seorang ADUN itu menjadi justifikasi utama untuk pemilihan calon bagi BN? Ramai lagi pihak atau individu yang sering turun padang bersama seseorang ADUN. Contohnya, pegawai komunikasi, para pengiring (escorts), wartawan dan tidak lupa macai serta pendedak. Dan seandainya Jamilah (mudah-mudahan Puan Sri Jamilah sentiasa sihat walafiat) menang dan suatu masa pula beliau yang dipanggil Ilahi, adakah anaknya pula yang akan menjadi calon? Situasi sebegini jelas menunjukkan betapa feudalisme itu sangat kuat dalam sanubari BN, UMNO dan Najib! Jika begini keadaannya, mengapa tidak kembali kepada Sistem Pemerintahan Beraja sahaja? Bukankah sistem itu lebih menjamin ketuanan Melayu dan UMNO tidak perlu lagi bersusah payah untuk memburuk-burukkan DAP.
'Feudalisme' di Tanjong Datu bukanlah kali pertama dilakukan oleh Barisan Nasional. Mereka telah melakukannya sebelum ini di P185 Batu Sapi, Sabah pada PRK 2010 untuk kawasan tersebut. Ketika itu Linda Tsen Thau Lin dipilih sebagai calon BN bagi mengisi kekosongan kerusi kawasan berkenaan rentetan daripada kematian mendiang suami Linda (mendiang Chong). Pemilihan tersebut berjaya mengekalkan BN di kerusi berkenaan untuk PRK P185 2010 dan juga PRU13. Adakah sentimen 'kematian' suami atau lebih tepatnya undi simpati adalah senjata yang berkesan dalam dunia politik di Malaysia? Tidakkah rakyat melihat yang demokrasi di Malaysia ini sebenarnya adalah feudalisme versi moden? Jika dalam feudalisme versi lama, taun-tuan tanah mendukung raja...dalam feudalisme moden pula ADUN/MP mendukung Perdana Menteri. Skrip yang dihasilkan juga adalah sama iaitu yang kuat atau berpengaruh adalah 'above the law' manakala yang lemah atau tidak punya pengaruh akan 'tertindas'!
PRK P67 Kuala Kangsar pada 2016 juga menceritakan hal yang sama. Jadi apakah justifikasi Zahid Hamidi yang mendakwa pemilihan balu untuk menjadi calon BN dalam PRK bukanlah suatu trend Barisan Nasional? 3 kematian dan 3 balu juga yang telah dipilih oleh Barisan Nasional sebagai calon mereka. Apakah itu bukan satu trend? Adakah ianya hanya akan dianggap sebagai suatu trend jika pihak pembangkang yang melakukannya? Nampaknya Barisan Nasional khasnya UMNO menjadi pemerintah hanya untuk membuat penafian meskipun yang dinafikan itu adalah fakta! Auta, kleptokrasi dan UMNO/BN berpisah tiada! Hakikatnya, berdasarkan beberapa PRK khasnya sejak Najib menjadi Perdana Menteri...Malaysia sebenarnya lebih mengamalkan feudalisme berbanding demokrasi. Apakah tiada calon lain dalam kalangan ahli Barisan Nasional yang layak menggantikan para ADUN/MP yang telah meninggal dunia?
Penulis percaya ramai lagi calon yang lebih layak untuk mewakili Barisan Nasional dalam PRK untuk kawasan-kawasan yang telah disebutkan di atas. Tetapi mengapa 'waris terdekat' juga yang menjadi pilihan Barisan Nasional? Jawabannya mungkin ada pada sejarah politik Perdana Menteri sekarang yang kelihatan maksum pada pandangan para 'penjilatnya'. Kebetulan atau disengajakan? Najib sendiri memulakan karier politiknya secara tiba-tiba pada 1976 apabila bapanya (allahyarham) Tun Abdul Razak dijemput Ilahi. Ketika itu usianya baru 22 tahun (hampir 23 tahun). Dan Perdana Menteri ketika itu ialah Tun Hussein Onn (PM yang sama ketika Kes BMF mula 'dihidu'). Masih mahu menafikan yang ianya bukan satu trend? Hanya sedikit perbezaan dalam situasi Najib dengan para isteri mantan calon Barisan Nasional itu. Najib adalah anak lelaki kepada mantan YB yang telah meninggal itu manakala para isteri itu adalah balu. BN milik peribadikan kawasan pilihanraya dan sedang membawa Malaysia kembali kepada feudalisme? Wallahualam.
Jumaat, 3 Februari 2017
Kera di hutan disusui, Anak sendiri dibiarkan kebuluran
Menuju PRU14, apa sahaja isu yang boleh dieksploitasi pastinya tidak akan dilepaskan oleh Najib dan UMNO. Rohingya, nama yang tak kering dibibir media pro UMNO ketika ini. Dan seperti biasa, tanpa segan silu...Najib tidak mahu menunggu pihak lain menilai penglibatan UMNO dalam isu seperti ini. Angkat bakul sendiri terus dipersembahkan. Yakin Misi Food Flotilla For Myanmar akan memberi kesan yang besar kepada etnik Rohingya, itu 'bakul' yang diangkat sendiri oleh Najib pada kali ini. Almaklum sambutan terhadap media arus perdana kian 'mengecut' dan Geng 6.6 pula tidak boleh diharapkan sangat oleh Najib. Maka tidak hairan Najib memuji diri sendiri dengan kerap sejak akhir-akhir ini. Tetapi dengan tindakan seperti ini adakah Najib yakin bahawa ianya mampu 'mengghaibkan' segala kebejatan yang dia lakukan? Keyakinan Najib tentang flotilla itu adalah berdasarkan kesungguhan misi yang disertai 230 aktivis dan sukarelawan lebih 10 negara yang akan belayar ke Yangon, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.
Tiap kali isu Rohingya timbul dikala PRU14 semakin menghampiri, penyertaan Najib akan diberikan liputan meluas oleh media pro UMNO. Seolah-olah yang tiada lagi permasalahan rakyat dalam negara ini untuk ditonjolkan. Dah macam peribahasa kera di hutan disusui, anak sendiri dibiarkan kebuluran. Teringat kembali isu kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen baru-baru ini yang tidak diberikan liputan sebagaimana isu beg plastik di Selangor (yang jelas 'dispin' oleh TV3). Serius nak bantu etnik Rohingya? Mengapa tidak berani bertindak dengan lebih tegas? Kata pentadbiran Najib jauh lebih baik daripada pentadbiran era Tun Mahathir. Mengapa tidak berani bertindak melebihi apa yang Tun Mahathir lakukan untuk menyelamatkan etnik Bosnia ketika Perang Balkan di era 90an? Risau undi pos tidak dapat dikawal jika hantar tentera ke sana? Tidakkah Najib pernah mengambil ikhtibar daripada misi seumpama flotilla ini yang dilakukan untuk Palestin dan Syria? Bukankah rakyat di kedua-dua negara masih ditindas?
Adakah Najib dan UMNO-PAS menganggap bahawa isu Rohingya itu jauh lebih penting daripada MA63? Sibuk berlagak sebagai hero untuk etnik Rohingya sehingga sentiasa lari daripada MA63! Etnik Rohingya lebih bernilai daripada Bangsa Sabah dan Sarawak? Penindasan di seberang laut sibuk dicampuri sedangkan pada masa yang sama penindasan dalam negara sendiri terus dihalalkan. Adakah dalam kamus UMNO, penindasan itu hanya terhad kepada pembunuhan secara besar-besaran sahaja? Ketidaksamarataan politik dan ekonomi itu bukan satu bentuk penindasan? Pencabulan ke atas perkara-perkara dalam suatu perjanjian itu juga bukan penindasan? Tindak-tanduk UMNO-PAS sejak akhir-akhir ini seolah-olah berterusan mengakui yang etnik Rohingya memang jauh lebih penting daripada Sabah dan Sarawak. Malang sungguh bagi rakyat Sabah dan Sarawak apabila majoriti Wakil Rakyat yang telah mereka berikan kepercayaan untuk mewakili kehendak mereka, memilih untuk kekal teguh bersama 'pembelotan' yang Najib lakukan!
Apa yang Najib buat berhubung MA63? Dia hanya bermain dengan waktu! Hanya sentuhan sipi dilakukan terhadap isu ini setiap kali PRU atau PRN Sabah/Sarawak menjelma. Dan media pro UMNO sendiri sekadar memberi liputan yang boleh 'dispin' agar menjadi bukti bahawa pentadbiran Najib mengambil serius akan isu tersebut. Penulis percaya isu ini akan kerap disebut oleh Najib dan UMNO dikala pilihanraya semakin hampir. Dan perkataan yang akan kedengaran ialah 'kerajaan BN bersedia untuk mendengar dan berunding tentang MA63'. Masa berunding sebenarnya telah lama tamat kerana ia telah dimuktamadkan pada hari Persekutuan Malaysia ditubuhkan secara rasmi. Sekarang seharusnya hanyalah fasa pelaksanaan! Sibuk bersolidariti demi etnik Rohingya dan sibuk mendesak Myanmar agar menghormati hak etnik Rohingya. Walhal pada masa yang sama hak sebenar rakyat Sabah dan Sarawak terus dinafikan!
Membantu pihak lain memang sebahagian daripada tuntutan Islam. Tetapi Islam juga menganjurkan agar bantu diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu sebelum membantu orang lain. Adakah penderitaan etnik Rohingya itu lebih perit daripada penderitaan beratus ribu graduan yang berstatus penganggur? Berbelas tahun menempuhi cabaran pendidikan dengan majoriti mereka sudah pun dijerut dengan hutang PTPTN hanya untuk berakhir sebagai penganggur. Tidakkah Najib dan UMNO-PAS merasai penderitaan ibu bapa graduan yang berkenaan (penganggur)? Betapa hancur luluh harapan seorang ibu dan ayah yang berkorban harta dan tenaga untuk memastikan anak mereka beroleh pendidikan yang tertinggi, tetapi pulangannya ialah melihat anak mereka menjadi penganggur. Pada 19 Januari 2017, Najib begitu berbangga mengumumkan bahawa Malaysia akan menyumbang RM10 juta untuk bantuan kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di Rakhine, Myanmar. Jika mampu menyumbang sebanyak itu untuk 'kera di hutan', mengapa tidak mampu 'menyusukan anak di rumah' agar mereka bebas daripada zon pengangguran dengan kos sebanyak itu? Wallahualam.
Kemaruk 'dakwa', 'akuan sumpah' dan 'saman'
Engkau ni dah kenapa? Soalan biasa yang akan kita tanyakan kepada seseorang yang tak habis-habis 'inginkan' perhatian. Di dalam dunia politik, inginkan perhatian ini dapatlah kita samakan dengan peribahasa hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Sejak akhir-akhir ini Tunku Aziz kelihatan memiliki sikap seperti ini. Kelakuannya itu turut menimbulkan persoalan adakah dia seorang yang kemaruk 'dakwa' 'saman' dan 'akuan sumpah'? Seringkali membuat kenyataan yang gagal disertakan dengan bukti apabila diminta berbuat demikian. Terbaharu, Tunku Aziz mendakwa bahawa Lim Kit Siang telah dibeli oleh Tun Mahathir. Satu kenyataan yang pelik kerana sebelumnya dia mendakwa bahawa Tun Mahathir 'diperkudakan' oleh Lim Kit Siang. Hmm...mungkin dia lebih layak menerima gelaran 'sudah nyanyuk' daripada UMNO berbanding dengan Tun Mahathir. Bagaimana seseorang yang dilabel sebagai 'diperkudakan' boleh pula membeli orang yang 'memperkudakan' itu?
Apakah kenyataan atau dakwaan yang terbaharu itu menandakan bahawa dia mengakui yang autanya sebelum ini telah gagal menimbulkan 'perang' dikalangan pembangkang? Entah sudah berapa kali kita mendengar media pro UMNO menyiarkan 'dakwaan' Tunku Aziz terhadap pemimpin parti-parti pembangkang. Mungkin Harussani perlu mengingatkan orang seperti ini tentang dosa fitnah. Dakwaan-dakwaan tanpa bukti yang sering dilaungkan oleh Tunku Aziz ternyata tidak membantu untuk memperbaiki kualiti berpolitik di negara ini khasnya dari 'sebelah' parti pemerintah. Adakah Tunku Aziz menyokong kleptokrasi secara rela atau sebenarnya Najib telah membeli harga dirinya? Satu perbuatan yang sungguh 'malang' bagi dirinya. Bak kata Nazri Aziz, diusia yang sudah melepasi angka 80 adalah lebih baik bagi Tunku Aziz menghabiskan masa bersama cucu-cucunya jika masih enggan membuka hati untuk lebih beramal ibadah.
Selain daripada 'dakwa', 'akuan sumpah' adalah satu lagi kegianan ketara yang ditonjolkan oleh Tunku Aziz. Dah macam lampiran sokongan untuk pengisian borang-borang tanpa dokumen yang lengkap pula. Apakah kapasiti Tunku Aziz yang melayakkan dia menuntut akuan sumpah daripada para pembangkang? Barua UMNO? Kah dia berharap dengan adanya akuan sumpah Najib akan kekal sebagai Perdana Menteri meskipun (seandainya) UMNO/BN tersungkur pada PRU14 nanti. Ingatlah wahai Tunku Aziz, negara ini adalah negara demokrasi (walaupun sekarang dah jadi kleptokrasi)! Apakah menjadi kesalahan dalam Perlembagaan jika sekalipun memang benar Lim Kit Siang ingin menjadi Timbalan Perdana Menteri? Sedarlah tiada di mana-mana bahagian dalam Perlembagaan yang menyatakan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu hak mutlak pemimpin daripada parti UMNO sahaja!
Hmm...kemaruk akuan sumpah ya. Apa kata Tunku Aziz menuntut akuan sumpah daripada Hishamuddin yang menyatakan dia tidak akan 'memintas' Zahid Hamidi sebagai 'the next' Perdana Menteri. Ada berani? Atau beranikah Tunku Aziz menuntut akuan sumpah daripada Najib Razak yang menyatakan bahawa Zahid Hamidi dengan pasti akan menggantikannya sebagai MO1 bila tiba masanya? Bagaimana dengan RUU 355? Berani menuntut akuan sumpah daripada UMNO yang menyatakan bahawa parti tersebut akan 100% menyokong hajat PAS berhubung perkara itu tanpa mempedulikan bantahan MCA dan Gerakan? Hakikatnya, kegusaran UMNO terhadap sokongan positif rakyat terhadap Pakatan Pembangkang khasnya PPBM jelas terpapar melalui 'serangan-serangan' Tunku Aziz ini. Berani kerana benar, berdolak-dalik kerana penuh auta! Jelas sekali 'penyakit' UMNO telah menjangkiti mantan Naib Pengerusi DAP ini.
'Saman'. Satu lagi kegilaan Tunku Aziz. Apakah dia ingat yang setiap orang dalam negara ini akan membuang masa mereka dengan urusan saman menyaman hanya untuk perkara atau tuduhan yang memang tidak berasas? Bukankah lebih baik bagi dirinya untuk bertindak terus menyaman pihak yang didakwanya itu berbanding mencabar pihak berkenaan agar menyamannya bagi membuktikan mereka tidak bersalah. Mungkin keinginannya untuk disaman akan menjadi kenyataan dalam waktu yang terdekat. 'Dateline' yang diberikan DS Mukhriz kepadanya telah lama berakhir. Melihat kepada 'kegilaan' Tunku Aziz untuk disaman membuatkan penulis terfikir, adakah dia memang telah dijanjikan akan berada di pihak yang menang andainya mahkamah menjadi gelanggang perlawanan? Kerana jika benar dia memang mempunyai bukti untuk setiap autanya itu pasti laporan polis telah dilakukan olehnya. Adakah permainan 'dakwa', 'akuan sumpah' dan 'saman' oleh Tunku Aziz ini hanyalah helah untuk memerangkap mangsanya? Wallahualam.
Khamis, 2 Februari 2017
Najib.....Anugerah atau Istidraj?
Dalam memberi segala kenikmatan untuk setiap makhluk ciptaanNya, Islam atau Bukan Islam, Allah swt memang Maha Pemurah. Dia sentiasa memberikan limpahan kemewahan yang merangkumi rezeki, kesihatan, kekayaan dan sebagainya. Namun, pemberian Maha Esa itu adakalanya disalah ertikan makhluk ciptaanNya, sehinggakan ada yang sombong, takbur dan tidak menjalani hidup seperti yang diperintahkanNya. Manusia semakin alpa dan tenggelam dengan nikmat kurniaan Ilahi. Kita sering melihat atau mendengar tentang mereka yang mungkar tetapi mewah, tidak peduli batas-batas agama tetapi kaya raya, memperolok-olokkan agama tetapi disanjung tinggi dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan hukum hakam tetapi mereka beroleh pelbagai kesenangan dan keistimewaan. Pastinya anda pernah tertanya-tanya mengapa ia jadi begitu? Adakah Allah redha akan dengan perbuatan mereka? Atau adakah golongan seperti itu adalah anugerah kepada sesebuah masyarakat? Sebenarnya itulah apa yang dikatakan ISTIDRAJ seperti yang diterangkan oleh hadis.
Dalam pada itu mutakhir ini kita sering mendengar laungan UMNO bahawa Najib Razak adalah anugerah daripada Allah. Detik malang politik negara? Itu antara persoalan yang mungkin bermain difikiran rakyat apabila pada 29 November 2016 kita dikejutkan dengan gesaan Zahid Hamidi terhadap ahli UMNO. Zahid menggesa ahli UMNO agar kekal setia kepada Najib Razak kerana Allah telah memilihnya untuk menjadi Presiden UMNO. Kenyataan yang seolah-olah memberikan status sebagai 'The Chosen One' kepada Najib. Kenyataan yang juga berkemungkinan memesongkan akidah! Nauzubillah min zalik. Lupakah Zahid kepada peringatan Allah swt dalam Al-Quran yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” [Ar-Ra'd Ayat 11]. Ayat ini dengan jelas memberi ingatan tentang 'usaha'. Kenyataan Zahid yang seolah-olah menegaskan bahawa Najib menjadi Presiden UMNO dengan sendirinya tanpa sebarang usaha itu jelas bercanggah dengan peringatan Al-Quran tersebut.
Kebarangkalian UMNO terjerumus ke lembah kerosakan akidah tidak berhenti setakat kenyataan Zahid sahaja. Terbaharu, giliran Ketua Menteri Melaka pula memberi kenyataan yang seolah-olah mengangkat darjat Najib setingkat melebihi manusia biasa. Anugerah daripada Allah, itu kenyataan daripada Idris Haron. Astagfirullah. Adakah Idris sedar apa yang dia katakan? Tidakkah dia tahu bahawa anugerah Allah hanyalah perkara yang baik-baik atau yang membawa kebaikan sahaja? Apakah justifikasi Idris untuk menyatakan bahawa Pahlawan Bugis yang terpalit dengan pelbagai skandal yang cuba disembunyikan itu sebagai anugerah daripada Allah? Orang yang membuatkan hutang negara kian menggunung (hampir mencecah RM1 trillion) itu anugerah daripada Allah? Orang yang bernegah-megah dengan keduniaan itu anugerah Allah? Orang yang tegar 'memeras' rakyatnya demi 'keselesaan' dirinya itu anugerah Allah? Renungkan dan fahami dengan mendalam akan maksud Istidraj wahai Idris!
Ke manakah ia membawa kita? Lebih dekat kepada Allah atau semakin jauh daripada perintahNya? Itu persoalan mudah yang boleh diajukan kepada diri sendiri untuk mengenali yang mana anugerah dan yang mana istidraj. Begitu banyak kebejatan yang telah Najib lakukan yang sepatutnya membuka mata, hati dan akal sesiapa sahaja daripada menghampiri kekufuran dengan mengangkat Najib sebagai anugerah daripada Allah! Kita mulakan dengan 1MDB kerana bagi penulis, inilah induk bagi segala permasalahan politik dan ekonomi Malaysia sekarang. Apakah yang telah disumbangkan oleh 1MDB kepada rakyat dan negara? Selain daripada hutang yang bertimbun, sumbangan lain 1MDB kepada rakyat negara ini ialah menghantar mereka menunaikan haji menggunakan sumber yang puncanya diragui! Itukah anugerah daripada Allah? Nauzubillah min zalik. Adakah orang yang sewenangnya menggunakan harta kerajaan atau rakyat demi kepentingan dan kegunaan peribadi atau keluarga itu layak dianggap sebagai anugerah daripada Allah?
Kepada ahli UMNO, macai dan pendedak bawa-bawalah insaf. Bagaimana mungkin orang menolak dan mempolitikkan hukum Allah (hudud) boleh diangkat ke tahap anugerah daripada Allah? Kepada rakyat sekalian, sedarlah bahawa Najib Razak sebenarnya adalah 'bala' yang Allah turunkan kepada rakyat dan negara ini lantaran 'kerakusan' dalam mengejar duniawi. Lihat sahaja BR1M. Demi kesenangan sementara, 'rasuah' dikatakan bantuan. Berapa ramaikah yang telah membuat dosa atas perbuatan menipu sejak BR1M mula diperkenalkan? Adakah anda yakin yang 100% penerima BR1M itu benar-benar layak? Najib dan UMNO juga sering memomokkan rakyat dengan gesaan-gesaan atau peringatan yang sangat bertentangan dengan akidah. Tanpa UMNO Melayu akan merempat, hanya UMNO sahaja yang mampu memajukan rakyat/negara dan UMNO adalah wadah terbaik untuk memperjuangkan Islam adalah antara ungkapan yang sering didendangkan yang bagaikan menidakkan Allah swt. Nauzubillah min zalik. Najib satu anugerah atau istidraj? Wallahualam.
Langgan:
Catatan (Atom)