Ahad, 5 Februari 2017
'Saman Selasa' berulang lagi?
Dikebanyakan negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi sangat jarang kita mendengar Perdana Menteri atau Presiden melakukan pembohongan yang berulang-ulang. Kebiasaannya mereka akan memohon maaf atau meletak jawatan sebaik sahaja pembohongan mereka terbongkar. Demikian juga jika berjanji atau mengeluarkan suatu kenyataan. Jika janji gagal ditepati atau kenyataan tidak dilaksanakan, kesudahannya sama juga memohon maaf atau meletak jawatan. Tindakan memohon maaf atau meletak jawatan dilakukan bagi menjaga imej negara agar tidak terjejas yang mana ianya juga akan bersangkut paut dengan ekonomi negara. Siapakah atau negara mana yang sanggup berurusniaga dengan negara yang tidak menepati janji atau sentiasa berbohong atau tidak melaksanakan kenyataannya? Umum mengetahui bahawa tindak-tanduk mahupun imej seseorang Perdana Menteri atau Presiden sangat berkait rapat dengan negara. Keperibadian seorang Perdana Menteri atau Presiden biasanya melambangkan keperibadian negara tersebut.
Namun, itu semua jelas berbeza dengan apa yang terjadi di Malaysia. Perdana Menteri yang hampir setiap hari berbohong masih lagi menjadi Perdana Menteri hasil sokongan ahli-ahli Parlimen parti pemerintah. Jika sebelum ini Najib 'memalukan' dirinya dengan 'Hari Selasa' yang tak kunjung tiba, kali ini skrip itu berulang lagi. Cuma tajuk sahaja berbeza. Kali ini ia melibatkan kabinet (gambar atas). Adakah Kabinet telah merujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM)? Telah hampir 2 minggu sejak Najib mengeluarkan kenyataan itu. Atau Kabinet belum memutuskan untuk merujuk kepada BNM kerana khuatir ianya satu tindakan yang akan memakan diri (backfire)? Sebelum Najib membuat kenyataan itu pun, BNM dalam satu kenyataan bagi menjawab dakwaan mantan Penolong Gabenor BNM berkata, institusi itu sudah mencapai kemajuan yang lebih kukuh, telus dan lebih bertanggungjawab sejak kerugian tukaran asing berlaku hampir 25 tahun lepas.
Satu lagi 'Saman Selasa' yang mungkin berulang ialah Kes BMF. Hangat-hangat tahi ayam. Mungkin itu perumpamaan yang boleh digunapakai bagi menggambarkan usaha UMNO dan 'macai' medianya dalam menangguk di air yang keruh berhubung 'declassified' beberapa dokumen lama CIA termasuk Kes BMF. Patutlah Najib 'gila' benar ketika PAU2014 hinggakan melabel laskar maya UMNO sebagai 'bangang'. Jangankan laskar maya, ketua 'macai' media (TV3) pun nampaknya dah semakin 'bangang'. Adakah mereka tidak membuat kajian atau menyelidiki fakta berkaitan BMF terlebih dahulu sebelum menemubual mantan Penolong Gabenor BNM, Abdul Murad Khalid? Sebagaimana 'Saman Selasa' yang nyata cuba digunakan untuk menggertak WSJ agar tidak berterusan membongkar Skandal 1MDB, taktik yang sama cuba digunakan untuk menyerang Tun M sekaligus menghentikan beliau daripada terus memperjuangkan nasib rakyat dan maruah negara.
Namun sebagaimana pantasnya Kes BMF ini ditimbulkan semula oleh UMNO dan 'macai' medianya, begitu pantas juga ia mulai reda daripada dijadikan 'peluru' untuk menyerang Tun M. Mengapa? Bukankah ia boleh digunakan untuk 'mencalar' imej Tun M kerana beliau adalah Perdana Menteri ketika itu (dakwaan UMNO dan macainya)?Mereka yang timbulkan semula kes ini, mereka jugalah yang sedang cuba 'menenggelamkanya' semula. Manakan tidak, Kes BMF sebenarnya bermula pada sekitar tahun 1979-80, ketika itu Perdana Menteri ialah Allahyarham Tun Hussein Onn dan Menteri Kewangan ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Kedua-duanya masih berada dalam UMNO sekarang (Tun Hussein Onn melalui Hishamuddin)! Sebelum dilantik Menteri Kewangan pada tahun 1976, Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Bank Bumiputra. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Nasional (Pernas), Petronas dan Kumpulan Fleet yang memiliki New Straits Times Press Berhad.
Tengku Razaleigh mungkin bukan masalah bagi Najib jika terpaksa dijadikan 'korban' pembangkitan semula Kes BMF. Kerana itu tidak hairanlah pada peringkat awal kes ini dijaja siang dan malam oleh TV3 dan 'macai' media yang lain. Namun apabila semakin ramai yang sedar yang kes ini sebenarnya bermula ketika Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, TV3 dan 'macai' media yang lain secara tiba-tiba mengalihkan tumpuan kepada isu kerugian FOREX 1992 dengan membawa masuk mantan Penolong Gabenor BNM yang juga pernah dikenakan denda atas kegagalan mengisytiharkan harta! Najib pastinya sedar yang 'kembalinya' Kes BMF tidak akan menjejaskan sokongan terhadap Tun Mahathir, sebaliknya ia mampu 'membunuh' Hishamuddin. Walaupun Najib tidak menyatakan secara langsung yang Hishamuddin sebenarnya adalah orang nombor 2 dalam UMNO tetapi serangkap pantunnya ketika PAU2016 yang memuji Hishamuddin menjelaskan kedudukan sepupunya itu!
Hishamuddin adalah anak kepada Tun Hussein Onn. Dan tindakan menimbulkan semula Kes BMF pastinya seolah-olah satu usaha untuk 'memalukan' Hishamuddin sendiri. Nasi sudah menjadi bubur (teruskan isu BMF) atau satu lagi situasi 'Saman Selasa' yang tidak kunjung tiba? Wallahualam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan