Sabtu, 4 Februari 2017
BN milik peribadikan kawasan pilihanraya dan kembali kepada feudalisme?
Adakah Malaysia sedang menuju kembali ke zaman feudalisme? Suatu zaman di mana sesuatu kawasan boleh dijadikan hak milik peribadi dan boleh diwarisi secara turun temurun. Mungkin iya cuma ia berselindung di balik nama demokrasi dan pilihanraya. Pengumuman oleh Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari pada 1 Februari 2017 menguatkan lagi persoalan ini. Pemergian allahyarham Tok Nan pada 11 Januari 2017 menjadikan kerusi untuk DUN Tanjong Datu kosong. Balu beliau, Jamilah Anu dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk DUN tersebut bagi menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Tanjong Datu. Alasan yang diberikan tentang pemilihan Jamilah ialah merupakan pilihan paling sesuai memandangkan beliau sering berada di sisi Adenan ketika allahyarham bergelar sebagai Adun Muara Tang dan Tanjong Datu. "Jamilah sangat aktif dan sering turun padang bersama Tok Nan." kata Abang Johari.
Hmm...bukan menafikan sumbangan Tok Nan. Tetapi adakah aktif dan sering turun padang dalam kapasiti sebagai isteri kepada seorang ADUN itu menjadi justifikasi utama untuk pemilihan calon bagi BN? Ramai lagi pihak atau individu yang sering turun padang bersama seseorang ADUN. Contohnya, pegawai komunikasi, para pengiring (escorts), wartawan dan tidak lupa macai serta pendedak. Dan seandainya Jamilah (mudah-mudahan Puan Sri Jamilah sentiasa sihat walafiat) menang dan suatu masa pula beliau yang dipanggil Ilahi, adakah anaknya pula yang akan menjadi calon? Situasi sebegini jelas menunjukkan betapa feudalisme itu sangat kuat dalam sanubari BN, UMNO dan Najib! Jika begini keadaannya, mengapa tidak kembali kepada Sistem Pemerintahan Beraja sahaja? Bukankah sistem itu lebih menjamin ketuanan Melayu dan UMNO tidak perlu lagi bersusah payah untuk memburuk-burukkan DAP.
'Feudalisme' di Tanjong Datu bukanlah kali pertama dilakukan oleh Barisan Nasional. Mereka telah melakukannya sebelum ini di P185 Batu Sapi, Sabah pada PRK 2010 untuk kawasan tersebut. Ketika itu Linda Tsen Thau Lin dipilih sebagai calon BN bagi mengisi kekosongan kerusi kawasan berkenaan rentetan daripada kematian mendiang suami Linda (mendiang Chong). Pemilihan tersebut berjaya mengekalkan BN di kerusi berkenaan untuk PRK P185 2010 dan juga PRU13. Adakah sentimen 'kematian' suami atau lebih tepatnya undi simpati adalah senjata yang berkesan dalam dunia politik di Malaysia? Tidakkah rakyat melihat yang demokrasi di Malaysia ini sebenarnya adalah feudalisme versi moden? Jika dalam feudalisme versi lama, taun-tuan tanah mendukung raja...dalam feudalisme moden pula ADUN/MP mendukung Perdana Menteri. Skrip yang dihasilkan juga adalah sama iaitu yang kuat atau berpengaruh adalah 'above the law' manakala yang lemah atau tidak punya pengaruh akan 'tertindas'!
PRK P67 Kuala Kangsar pada 2016 juga menceritakan hal yang sama. Jadi apakah justifikasi Zahid Hamidi yang mendakwa pemilihan balu untuk menjadi calon BN dalam PRK bukanlah suatu trend Barisan Nasional? 3 kematian dan 3 balu juga yang telah dipilih oleh Barisan Nasional sebagai calon mereka. Apakah itu bukan satu trend? Adakah ianya hanya akan dianggap sebagai suatu trend jika pihak pembangkang yang melakukannya? Nampaknya Barisan Nasional khasnya UMNO menjadi pemerintah hanya untuk membuat penafian meskipun yang dinafikan itu adalah fakta! Auta, kleptokrasi dan UMNO/BN berpisah tiada! Hakikatnya, berdasarkan beberapa PRK khasnya sejak Najib menjadi Perdana Menteri...Malaysia sebenarnya lebih mengamalkan feudalisme berbanding demokrasi. Apakah tiada calon lain dalam kalangan ahli Barisan Nasional yang layak menggantikan para ADUN/MP yang telah meninggal dunia?
Penulis percaya ramai lagi calon yang lebih layak untuk mewakili Barisan Nasional dalam PRK untuk kawasan-kawasan yang telah disebutkan di atas. Tetapi mengapa 'waris terdekat' juga yang menjadi pilihan Barisan Nasional? Jawabannya mungkin ada pada sejarah politik Perdana Menteri sekarang yang kelihatan maksum pada pandangan para 'penjilatnya'. Kebetulan atau disengajakan? Najib sendiri memulakan karier politiknya secara tiba-tiba pada 1976 apabila bapanya (allahyarham) Tun Abdul Razak dijemput Ilahi. Ketika itu usianya baru 22 tahun (hampir 23 tahun). Dan Perdana Menteri ketika itu ialah Tun Hussein Onn (PM yang sama ketika Kes BMF mula 'dihidu'). Masih mahu menafikan yang ianya bukan satu trend? Hanya sedikit perbezaan dalam situasi Najib dengan para isteri mantan calon Barisan Nasional itu. Najib adalah anak lelaki kepada mantan YB yang telah meninggal itu manakala para isteri itu adalah balu. BN milik peribadikan kawasan pilihanraya dan sedang membawa Malaysia kembali kepada feudalisme? Wallahualam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan