Isnin, 6 Februari 2017

Malaysia dipimpin oleh munafik?


Renungkanlah 4 sifat orang munafik seperti dalam gambar di atas. Berapa ramai di antara kita pada hari ini yang tidak memiliki sifat-sifat tersebut? Era yang dicengkam kleptokrasi dan oxymoron serta 'bertuhankan' kebendaan agak mustahil bagi rakyat mahupun pemimpin bebas daripada sifat seperti ini. Apatah lagi dalam konteks Malaysia, negara ini sedang ditadbir dan dipimpin oleh Perdana Menteri yang menerapkan pemikiran 'Cash is King'. Dikelilingi pula oleh para penasihat dan menteri yang hanya mengutamakan 'dedak' berbanding nasib rakyat dan maruah negara serta agama. Disokong pula oleh media arus perdana yang hanya mengadu domba mahupun menyebarkan auta. Anda fikir tiada keperluan untuk merubah semua ini? Anda fikir dengan hanya berdiam diri dan tidak melakukan sesuatu, Allah akan mengubah situasi ini? "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya" [Ar-Ra'd : 11].


Masih tidak mahu berfikir yang Malaysia sedang dipimpin oleh munafik? Sudah berapa kali media pro UMNO sendiri yang merekodkan kenyataan atau bicara Najib yang akhirnya adalah berbentuk pembohongan? Tentunya ramai dikalangan rakyat yang masih ingat isu dana SRC dalam akaun peribadi Najib. Bagaimana mungkin seorang Perdana Menteri tidak melakukan usaha untuk mengetahui tentang siapakah yang memasukkan dana tersebut atau dari mana dana tersebut dimasukkan ke akaun peribadinya? Najib ketika menafikan salah lakunya dalam kes tersebut menyatakan bahawa memang benar ada dana SRC yang berjumlah RM42 juta di dalam akaun peribadinya tetapi dia tidak tahu siapa yang masukkannya. Hmm...semudah itu melakukan pembohongan. Dan semudah itu juga AG Apandi menerima alasan tersebut dan membebaskan Najib daripada sebarang salah laku.

Terbaharu, Najib berbohong lagi. Kali ini dalam soal harga kereta di negara ini. Pada tahun 2013, Najib dengan yakinnya menyatakan bahawa harga kereta di Malaysia akan diturunkan! Namun pada bulan ini kata-kata itu terbukti hanyalah bohong semata apabila dia bersetuju dengan kenaikan harga kereta Proton untuk semua model berkuatkuasa pada 15 Februari 2017. Apakah itu bukan satu pembohongan? Dan jika dia bersetuju dengan kenaikan harga kereta Proton, adakah anda fikir yang Najib akan membuat keputusan yang berbeza bagi model dan pemgeluar kereta yang lain? Sekali berbohong, selamanya akan berbohong selagi tidak taubat nasuha! Lihat sahaja dalam soal harga minyak di Malaysia. Sudah berapa kali kenaikan sejak janjinya untuk tidak menaikkan harga minyak? Sudah 16 kali setakat sehingga Februari 2017! Dalam soal harga minyak sahaja, Najib telah berbohong sebanyak 16 kali! Anda fikir berapa banyak lagi pembohongan yang telah, sedang dan akan dilakukannya?


Kemunafikan Najib juga terserlah dalam pertelingkahan politik di negara ini. Saling bertentangan antara parti pemerintah dan parti pembangkang adalah suatu yang normal dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi (walaupun akhir-akhir ini Malaysia seakan-akan menjadi negara diktator). Namun yang merisaukan ialah keperibadian Najib dalam berhujah sudah menyamai taraf ahli poltik facebook, macai dan pendedak UMNO! 20 Januari 2017 yang lalu menjadi saksi betapa dalam pertelingkahan, Najib memilih untuk bersifat melampau. Gelaran atau anugerah tertinggi negara yang dikurniakan oleh Baginda Agong menjadi bahan hinaan Najib. Gelaran 'Tun' diperlekeh dan digantikan oleh Najib dengan perkataan 'U-Turn'. Inikah akhlak seorang Perdana Menteri yang mengaku Islam? Akhlak sedemikian rupa hanyalah milik golongan munafik! Melampau-lampau dalam suatu pertelingkahan merupakan suatu sifat orang-orang munafik. Nauzubillah min zalik.

Sebelum ungkapan ini, Najib juga menampakkan kemunafikannya apabila menyelar Tun Mahathir sebagai pengkhianat negara hanya kerana Tun Mahathir memilih untuk tidak lagi bersama UMNO. Apakah setiap individu atau kumpulan yang tidak tunduk pada UMNO itu pengkhianat negara? Ini juga bukan kali pertama Najib menggelar pihak lain sebagai pengkhianat. Pada tahun 2013, Najib juga telah menyelar rakyat yang tidak membayar atau mengelak daripada membayar cukai sebagai pengkhianat! Bagaimana pula dengan dirinya yang terpalit dengan Skandal 1MDB, FGV, SRC, Pembunuhan Altantuya dan banyak lagi. Bukan pengkhianat? Enggan melaksanakan Perjanjian Persekutuan Malaysia bukan satu pengkhianatan? Laporan 1MDB diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi bukan satu pengkhianatan kepada rakyat dan undang-undang negara? Mengganggu kebebasan bersuara di Parlimen bukan satu pengkhianatan? Fikir-fikirkanlah wahai rakyat sekalian. Mahu terus berketuakan orang munafik? Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...