Jumaat, 3 Februari 2017
Kera di hutan disusui, Anak sendiri dibiarkan kebuluran
Menuju PRU14, apa sahaja isu yang boleh dieksploitasi pastinya tidak akan dilepaskan oleh Najib dan UMNO. Rohingya, nama yang tak kering dibibir media pro UMNO ketika ini. Dan seperti biasa, tanpa segan silu...Najib tidak mahu menunggu pihak lain menilai penglibatan UMNO dalam isu seperti ini. Angkat bakul sendiri terus dipersembahkan. Yakin Misi Food Flotilla For Myanmar akan memberi kesan yang besar kepada etnik Rohingya, itu 'bakul' yang diangkat sendiri oleh Najib pada kali ini. Almaklum sambutan terhadap media arus perdana kian 'mengecut' dan Geng 6.6 pula tidak boleh diharapkan sangat oleh Najib. Maka tidak hairan Najib memuji diri sendiri dengan kerap sejak akhir-akhir ini. Tetapi dengan tindakan seperti ini adakah Najib yakin bahawa ianya mampu 'mengghaibkan' segala kebejatan yang dia lakukan? Keyakinan Najib tentang flotilla itu adalah berdasarkan kesungguhan misi yang disertai 230 aktivis dan sukarelawan lebih 10 negara yang akan belayar ke Yangon, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.
Tiap kali isu Rohingya timbul dikala PRU14 semakin menghampiri, penyertaan Najib akan diberikan liputan meluas oleh media pro UMNO. Seolah-olah yang tiada lagi permasalahan rakyat dalam negara ini untuk ditonjolkan. Dah macam peribahasa kera di hutan disusui, anak sendiri dibiarkan kebuluran. Teringat kembali isu kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen baru-baru ini yang tidak diberikan liputan sebagaimana isu beg plastik di Selangor (yang jelas 'dispin' oleh TV3). Serius nak bantu etnik Rohingya? Mengapa tidak berani bertindak dengan lebih tegas? Kata pentadbiran Najib jauh lebih baik daripada pentadbiran era Tun Mahathir. Mengapa tidak berani bertindak melebihi apa yang Tun Mahathir lakukan untuk menyelamatkan etnik Bosnia ketika Perang Balkan di era 90an? Risau undi pos tidak dapat dikawal jika hantar tentera ke sana? Tidakkah Najib pernah mengambil ikhtibar daripada misi seumpama flotilla ini yang dilakukan untuk Palestin dan Syria? Bukankah rakyat di kedua-dua negara masih ditindas?
Adakah Najib dan UMNO-PAS menganggap bahawa isu Rohingya itu jauh lebih penting daripada MA63? Sibuk berlagak sebagai hero untuk etnik Rohingya sehingga sentiasa lari daripada MA63! Etnik Rohingya lebih bernilai daripada Bangsa Sabah dan Sarawak? Penindasan di seberang laut sibuk dicampuri sedangkan pada masa yang sama penindasan dalam negara sendiri terus dihalalkan. Adakah dalam kamus UMNO, penindasan itu hanya terhad kepada pembunuhan secara besar-besaran sahaja? Ketidaksamarataan politik dan ekonomi itu bukan satu bentuk penindasan? Pencabulan ke atas perkara-perkara dalam suatu perjanjian itu juga bukan penindasan? Tindak-tanduk UMNO-PAS sejak akhir-akhir ini seolah-olah berterusan mengakui yang etnik Rohingya memang jauh lebih penting daripada Sabah dan Sarawak. Malang sungguh bagi rakyat Sabah dan Sarawak apabila majoriti Wakil Rakyat yang telah mereka berikan kepercayaan untuk mewakili kehendak mereka, memilih untuk kekal teguh bersama 'pembelotan' yang Najib lakukan!
Apa yang Najib buat berhubung MA63? Dia hanya bermain dengan waktu! Hanya sentuhan sipi dilakukan terhadap isu ini setiap kali PRU atau PRN Sabah/Sarawak menjelma. Dan media pro UMNO sendiri sekadar memberi liputan yang boleh 'dispin' agar menjadi bukti bahawa pentadbiran Najib mengambil serius akan isu tersebut. Penulis percaya isu ini akan kerap disebut oleh Najib dan UMNO dikala pilihanraya semakin hampir. Dan perkataan yang akan kedengaran ialah 'kerajaan BN bersedia untuk mendengar dan berunding tentang MA63'. Masa berunding sebenarnya telah lama tamat kerana ia telah dimuktamadkan pada hari Persekutuan Malaysia ditubuhkan secara rasmi. Sekarang seharusnya hanyalah fasa pelaksanaan! Sibuk bersolidariti demi etnik Rohingya dan sibuk mendesak Myanmar agar menghormati hak etnik Rohingya. Walhal pada masa yang sama hak sebenar rakyat Sabah dan Sarawak terus dinafikan!
Membantu pihak lain memang sebahagian daripada tuntutan Islam. Tetapi Islam juga menganjurkan agar bantu diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu sebelum membantu orang lain. Adakah penderitaan etnik Rohingya itu lebih perit daripada penderitaan beratus ribu graduan yang berstatus penganggur? Berbelas tahun menempuhi cabaran pendidikan dengan majoriti mereka sudah pun dijerut dengan hutang PTPTN hanya untuk berakhir sebagai penganggur. Tidakkah Najib dan UMNO-PAS merasai penderitaan ibu bapa graduan yang berkenaan (penganggur)? Betapa hancur luluh harapan seorang ibu dan ayah yang berkorban harta dan tenaga untuk memastikan anak mereka beroleh pendidikan yang tertinggi, tetapi pulangannya ialah melihat anak mereka menjadi penganggur. Pada 19 Januari 2017, Najib begitu berbangga mengumumkan bahawa Malaysia akan menyumbang RM10 juta untuk bantuan kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di Rakhine, Myanmar. Jika mampu menyumbang sebanyak itu untuk 'kera di hutan', mengapa tidak mampu 'menyusukan anak di rumah' agar mereka bebas daripada zon pengangguran dengan kos sebanyak itu? Wallahualam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan