Khamis, 2 Februari 2017

Najib.....Anugerah atau Istidraj?


Dalam memberi segala kenikmatan untuk setiap makhluk ciptaanNya, Islam atau Bukan Islam, Allah swt memang Maha Pemurah. Dia sentiasa memberikan limpahan kemewahan yang merangkumi rezeki, kesihatan, kekayaan dan sebagainya. Namun, pemberian Maha Esa itu adakalanya disalah ertikan makhluk ciptaanNya, sehinggakan ada yang sombong, takbur dan tidak menjalani hidup seperti yang diperintahkanNya. Manusia semakin alpa dan tenggelam dengan nikmat kurniaan Ilahi. Kita sering melihat atau mendengar tentang mereka yang mungkar tetapi mewah, tidak peduli batas-batas agama tetapi kaya raya, memperolok-olokkan agama tetapi disanjung tinggi dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan hukum hakam tetapi mereka beroleh pelbagai kesenangan dan keistimewaan. Pastinya anda pernah tertanya-tanya mengapa ia jadi begitu? Adakah Allah redha akan dengan perbuatan mereka? Atau adakah golongan seperti itu adalah anugerah kepada sesebuah masyarakat? Sebenarnya itulah apa yang dikatakan ISTIDRAJ seperti yang diterangkan oleh hadis.


Dalam pada itu mutakhir ini kita sering mendengar laungan UMNO bahawa Najib Razak adalah anugerah daripada Allah. Detik malang politik negara? Itu antara persoalan yang mungkin bermain difikiran rakyat apabila pada 29 November 2016 kita dikejutkan dengan gesaan Zahid Hamidi terhadap ahli UMNO. Zahid menggesa ahli UMNO agar kekal setia kepada Najib Razak kerana Allah telah memilihnya untuk menjadi Presiden UMNO. Kenyataan yang seolah-olah memberikan status sebagai 'The Chosen One' kepada Najib. Kenyataan yang juga berkemungkinan memesongkan akidah! Nauzubillah min zalik. Lupakah Zahid kepada peringatan Allah swt dalam Al-Quran yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” [Ar-Ra'd Ayat 11]. Ayat ini dengan jelas memberi ingatan tentang 'usaha'. Kenyataan Zahid yang seolah-olah menegaskan bahawa Najib menjadi Presiden UMNO dengan sendirinya tanpa sebarang usaha itu jelas bercanggah dengan peringatan Al-Quran tersebut.

Kebarangkalian UMNO terjerumus ke lembah kerosakan akidah tidak berhenti setakat kenyataan Zahid sahaja. Terbaharu, giliran Ketua Menteri Melaka pula memberi kenyataan yang seolah-olah mengangkat darjat Najib setingkat melebihi manusia biasa. Anugerah daripada Allah, itu kenyataan daripada Idris Haron. Astagfirullah. Adakah Idris sedar apa yang dia katakan? Tidakkah dia tahu bahawa anugerah Allah hanyalah perkara yang baik-baik atau yang membawa kebaikan sahaja? Apakah justifikasi Idris untuk menyatakan bahawa Pahlawan Bugis yang terpalit dengan pelbagai skandal yang cuba disembunyikan itu sebagai anugerah daripada Allah? Orang yang membuatkan hutang negara kian menggunung (hampir mencecah RM1 trillion) itu anugerah daripada Allah? Orang yang bernegah-megah dengan keduniaan itu anugerah Allah? Orang yang tegar 'memeras' rakyatnya demi 'keselesaan' dirinya itu anugerah Allah? Renungkan dan fahami dengan mendalam akan maksud Istidraj wahai Idris!


Ke manakah ia membawa kita? Lebih dekat kepada Allah atau semakin jauh daripada perintahNya? Itu persoalan mudah yang boleh diajukan kepada diri sendiri untuk mengenali yang mana anugerah dan yang mana istidraj. Begitu banyak kebejatan yang telah Najib lakukan yang sepatutnya membuka mata, hati dan akal sesiapa sahaja daripada menghampiri kekufuran dengan mengangkat Najib sebagai anugerah daripada Allah! Kita mulakan dengan 1MDB kerana bagi penulis, inilah induk bagi segala permasalahan politik dan ekonomi Malaysia sekarang. Apakah yang telah disumbangkan oleh 1MDB kepada rakyat dan negara? Selain daripada hutang yang bertimbun, sumbangan lain 1MDB kepada rakyat negara ini ialah menghantar mereka menunaikan haji menggunakan sumber yang puncanya diragui! Itukah anugerah daripada Allah? Nauzubillah min zalik. Adakah orang yang sewenangnya menggunakan harta kerajaan atau rakyat demi kepentingan dan kegunaan peribadi atau keluarga itu layak dianggap sebagai anugerah daripada Allah?

Kepada ahli UMNO, macai dan pendedak bawa-bawalah insaf. Bagaimana mungkin orang menolak dan mempolitikkan hukum Allah (hudud) boleh diangkat ke tahap anugerah daripada Allah? Kepada rakyat sekalian, sedarlah bahawa Najib Razak sebenarnya adalah 'bala' yang Allah turunkan kepada rakyat dan negara ini lantaran 'kerakusan' dalam mengejar duniawi. Lihat sahaja BR1M. Demi kesenangan sementara, 'rasuah' dikatakan bantuan. Berapa ramaikah yang telah membuat dosa atas perbuatan menipu sejak BR1M mula diperkenalkan? Adakah anda yakin yang 100% penerima BR1M itu benar-benar layak? Najib dan UMNO juga sering memomokkan rakyat dengan gesaan-gesaan atau peringatan yang sangat bertentangan dengan akidah. Tanpa UMNO Melayu akan merempat, hanya UMNO sahaja yang mampu memajukan rakyat/negara dan UMNO adalah wadah terbaik untuk memperjuangkan Islam adalah antara ungkapan yang sering didendangkan yang bagaikan menidakkan Allah swt. Nauzubillah min zalik. Najib satu anugerah atau istidraj? Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...