Selaku Presiden Parti Warisan, DS Shafie Apdal sentiasa mengingatkan bahawa Parti Warisan bukan parti untuk satu kaum sahaja tetapi ianya merupakan parti untuk Bangsa Sabah. Kata-kata seperti dalam gambar di atas adalah antara teras perjuangan Warisan yang membolehkan ia diterima dan mendapat sokongan rakyat Sabah dalam waktu yang begitu singkat. Satu demi satu kawasan DUN Sabah dikunjungi Siri Jelajah Warisan (SJW). Dalam setiap kunjungan itu sambutan hangat diberikan penduduk setempat. Kehadiran rakyat ke SJW bukan sahaja setakat daripada penduduk setempat malahan rakyat daripada kawasan DUN Sabah yang lain. Ini menunjukkan betapa teras perjuangan Parti Warisan yang seringkali berkumandang dalam SJW memang amat dirindukan dan diperlukan oleh rakyat Sabah. Telah hampir 54 tahun Sabah merdeka menerusi Persekutuan Malaysia. Tetapi tanpa disedari sendiri oleh majoriti rakyat Sabah, mereka masih 'dijajah' di negeri sendiri!
Siapakah (parti) di Negeri Di Bawah Bayu sebelum wujudnya Parti Warisan benar-benar menjadi platform perjuangan yang mewakili semua kaum/etnik di Sabah? USNO, BERJAYA, PBS, UPKO, SAPP atau UMNO/BN? Lihat dengan teliti komposisi kepimpinan parti-parti tersebut nescaya anda akan dapati yang mereka sebenarnya hanya mewakili kepentingan kaum/etnik masing-masing! Justeru, kemunculan Warisan memberikan jawaban kepada 'kehausan' rakyat Sabah yang telah sekian lama inginkan sebuah parti yang akan mewakili Bangsa Sabah. Rakyat Sabah yang kian matang dalam berpolitik sedar parti kesukuan tidak akan membantu mereka untuk bebas daripada belenggu 'penjajahan' di bumi sendiri. Tanpa disedari majoriti rakyat Sabah, selama ini sebenarnya UMNO/BN 'menjajah' negeri ini dan berselindung di sebalik auta perpaduan transnasional. Satu soalan mudah untuk membongkar auta transnasional ini...mengapa kadar Elaun Perumahan dan Wilayah (EPW) antara Semenanjung, Sarawak, W.Persekutuan dan Sabah tidak sekata?
Sebagai sebuah parti baharu yang pada awalnya tidak diendahkan parti pemerintah mahupun parti pembangkang tempatan Sabah yang lain, Warisan masih mengekalkan sikap 'low profile' walaupun kini parti itu kian mendapat sambutan rakyat Sabah. Dan sebaik sahaja kemampuan Warisan mula membuka mata parti pemerintah dan parti-parti lain, maka berbondong-bondonglah serangan yang dilemparkan kepada parti tersebut daripada pelbagai arah. Dari macai dan pendedak sehingga kepada pemimpin parti pemerintah serta 'talibarut' mereka di dalam parti pembangkang tempatan Sabah yang lain, pelbagai auta cuba dilontarkan untuk menghentikan sokongan rakyat Sabah terhadap parti Warisan. Jerat gabungan parti pembangkang (USA) juga cuba dijulur agar Warisan dilihat sebagai parti yang pentingkan diri sendiri dan jawatan. Namun itu semua gagal menjerumuskan Warisan ke dalam kancah politik kebencian, perkauman dan sentimen agama.
Kenyataan DS Shafie seperti dalam gambar di atas sudah cukup untuk memberi penjelasan tentang mengapa Warisan memilih untuk bergerak secara bersendirian ketika ini. Mengapa perlu gabungan parti jika benar perjuangan adalah atas landasan yang sama? Itu soalan yang wajar dijawab oleh UMNO/BN dan USA (United Sabah Alliance)! Berjuang untuk rakyat bukan jawatan! Itu satu lagi peringatan yang sering ditegaskan oleh kepimpinan Warisan dalam setiap SJW. Berjuang demi rakyat pastinya sangat berbeza dengan berjuang demi jawatan. Lihat sahaja YB UMNO/BN sekarang. Mereka bukan tidak tahu dan tidak mendengar segala rintihan dan keperluan rakyat tetapi oleh kerana perjuangan mereka sebenarnya adalah demi jawatan maka mereka sanggup berdiri teguh bersama golongan kleptokrat dan oxymoron yang sedang menguasai negeri dan negara! Rakyat hanya menjadi keutamaan bilamana PRU atau PRN mula menyingsing!
Suasana seperti dalam gambar di atas adalah suasana yang sering kelihatan dalam setiap SJW. Bukti yang tidak dapat disangkal lagi yang jelas menunjukkan betapa Warisan dan rakyat Sabah sudah tidak sabar untuk mengubah parti pemerintah pada PRN Sabah nanti. Tentu sahaja suasana seperti ini tidak akan kelihatan dalam mana-mana media pro UMNO. Jika dipaparkan pun pasti beritanya akan 'dispin' agar ia kelihatan sebagai tidak mendapat sambutan. Kehadiran rakyat dalam setiap SJW adalah tanpa paksaan/kerahan dan tanpa 'dedak'! Sangat berbeza dengan pendekatan UMNO/BN yang akan menyelitkan 'program dedak' dalam setiap majlis yang dicanang sebagai majlis bersama rakyat. Tanyakan kepada para kakitangan kerajaan, berapa ramai ketua-ketua jabatan atau wakil mereka yang terpaksa meninggalkan tugas hakiki mereka setiap kali Musa Aman 'turun padang'? Kepada rakyat Sabah, PRN semakin hampir...bulatkan dan kukuhkan tekad untuk menolak UMNO/BN dan memilih Warisan demi kemerdekaan Sabah dalam erti kata sebenar Persekutuan Malaysia! Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan