Sabtu, 31 Disember 2016

2017: Antara Sinar dan Sirna


2016 semakin hampir melabuhkan tirainya dan tidak akan kembali selamanya. 2017 pula bagaikan tidak sabar  untuk mengambil tempatnya menjadi saksi ragam kehidupan manusia. Pelbagai kisah suka dan duka (banyaknya duka) dilalui rakyat marhaen sepanjang 2016. Suka atau duka, sedar atau tidak...rakyat marhaen tetap memulakan tahun baharu dengan bebanan hutang negara. 'Hadiah istimewa' daripada Najib dan UMNO. Bukti bahawa rakyat memang didahulukan. Didahulukan untuk menderita!. 1MDB, FGV, NFC dan GST adalah antara 'hadiah' terbesar Najib dan UMNO kepada rakyat marhaen. Manakala Pan Borneo, MRT dan BR1M adalah antara retorik politik Najib dan UMNO yang digunakan untuk mengaburi mata, akal dan hati rakyat marhaen.


Desas-desus politik bertiup kencang bahawa kemungkinan PRU14 akan diadakan pada 2017. Khabar yang mempunyai asas yang kukuh. Mungkin Najib tidak ingin menunggu sehingga 'pencabar baharu' seperti PPBM dan WARISAN menjadi lebih kuat. Adakah Najib dan UMNO yakin rakyat akan terus menyokong mereka? Adakah juga bukti-bukti untuk semua skandal mereka telah dihapuskan sehingga mereka cukup yakin untuk mengadakan PRU pada 2017 dan bersedia dengan kemungkinan kekalahan? Apapun teka-teki yang dilontarkan berkaitan benar atau tidak PRU pada 2017, sekurang-kurangnya ia memberi harapan kepada rakyat untuk menamatkan penderitaan yang datang bertalu. Mutakhir ini, undang-undang kelihatannya turut disalahguna untuk mengekalkan pihak pemerintah. Mereka yang membuat laporan polis (bukan pro pemerintah) akan disoalsiasat. Bahkan ada yang dilokap bersama peguamnya.

Situasi seperti itu membuatkan rakyat marhaen sangat ternantikan PRU14. Itulah sahaja pilihan yang masih tinggal yang mampu memberikan sinar pada 2017. Harapkan para YB UMNO/BN yang telah mereka undi pada PRU13 nampaknya hanya tinggal ilusi. Para YB itu memilih kekal dan wala' pada Najib. Kepentingan parti mengatasi kepentingan rakyat marhaen! Poket sendiri lebih utama daripada rintihan dan tangisan rakyat marhaen. Pemimpin berjiwa rakyat dikatakan 'pengkhianat', 'penyamun' dianggap suci dan menjadi satu dosa jika tidak menyokongnya!. Namun harus diingat dalam keghairahan menantikan PRU14...sistem pilihanraya Malaysia bukanlah berdasarkan undi popular. Ia berteraskan 'kerusi' kawasan. Peranan dan intergriti SPR turut menjadi perhatian. Adakah sinar menjelang PRU14? Penulis tidak ingin megulas lanjut tentang SPR pada catatan kali ini.




Perlantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 pada 13 Disember yang lalu memberi inspirasi kepada rakyat marhaen untuk mengharungi keperitan hidup di era kleptokrasi. Seorang sultan yang berjiwa rakyat dan berperwatakan 'humble'. Penulis berharap dan berdoa agar keperibadian Baginda Tuanku dapat membuka mata, hati dan akal para YB UMNO/BN terhadap kemungkaran Najib. Semoga keperibadian Baginda Tuanku juga akan mencetus satu usul tidak percaya terhadap Najib di Parlimen. Keperibadian Baginda Tuanku sememangnya jauh berbeza dengan keperibadian Najib yang jelas terbukti bertunjangkan duniawi semata-mata. Mempunyai seseorang seperti Baginda Tuanku sebagai 'Payung Negara' adalah satu rahmat bagi rakyat marhaen dalam menempuh dugaan 2017 nanti.




Berita seperti dalam gambar di atas pastinya igauan ngeri buat rakyat marhaen. Menjelang ketibaan 2017, tahun 2016 menutup tirainya dengan pelbagai jangkaan daripada pelbagai pakar tentang kenaikan harga barangan rentetan daripada kenaikan harga pasaran minyak dunia yang dijangka pada Januari 2017. Auta berterusan Najib dan UMNO. Menyalahkan iklim ekonomi dunia secara berterusan tanpa sedikit pun rasa malu bahawa pelbagai skandal seperti Skandal 1MDB itulah sebenarnya yang menekan ekonomi negara. Imej Perdana Menteri yang rasuah menyebabkan nilai ringgit terus merudum. Sekaligus mengurangkan kuasa beli rakyat yang sebenarnya. BR1M dihulur tetapi pada masa yang sama GST dijulur. Gembira seketika derita tak terkata, itulah situasi rakyat marhaen sekarang!

2017.....Sinar atau Sirna?


Khamis, 29 Disember 2016

Selasa yang tak kunjung tiba

Najib akan fail saman terhadap WSJ Selasa ini...Itulah tajuk berita Astro Awani (memetik berita The Star Online) pada 05 Julai 2015. Tajuk berita yang dicanang UMNO dan penyokongnya ke seluruh pelusuk Malaysia. Tajuk berita yang sama juga membuatkan kelompok atas pagar dan pembangkang teruja menantikan saat realiti. Namun, Selasa berganti Selasa dan bulan berganti bulan sehinggalah 2016 hampir menutup tirainya, SELASA yang dicanang tidak kunjung tiba. Seseorang yang berjawatan Perdana Menteri 'kecut' untuk mengotakan kata-katanya? Ia tampak biasa jika kata-kata itu hanya dibisikkan Najib ke telinga para Menteri Pasola. Mendapat liputan luas pelbagai media dan kemudian tiada penjelasan tentang mengapa 'Selasa' itu tidak kunjung tiba, agak luar biasa! Mungkinkah apabila Trump menduduki White House secara rasmi, 'Selasa' itu akan tiba? Dan bila 'Selasa' itu muncul, adakah saman yang akan berbicara atau sekadar menjadi sesi bermain golf bersama Trump?

Rasulullah bersabda: "Ada tiga perkara dan barang siapa terdapat di dalamnya maka ia termasuk munafik, sekalipun puasa, solat, haji dan umrah, serta ia berkata:"sungguh saya orang islam." Tiga perkara itu ialah Jika berbicara ia berdusta. Jika berjanji ia melanggarnya. Dan jika dipercayai/diberi amanat ia berkhianat." [Hadis Riwayat Muslim].

Renungkanlah hadis di atas. Tidakkah ketiga-ketiga perkara itu menjadi amalan dan pegangan Najib? Hmm...nampak gayanya 'Selasa' itu memang tidak akan tiba. Ketidak tibaan itu tentu sahaja tidak boleh dipandang sepi oleh rakyat. Ketidak tibaan itu membawa dan menghuraikan pelbagai makna. Makna yang paling asas ialah Najib seorang yang munafik. Nauzubillah min zalik. Haruskah kita mentaati seorang yang munafik? Layakkah seorang munafik menuntut wala' daripada parti dan rakyat? Apakah para YB UMNO/BN sudah buta mata, akal dan hati sehingga kekal bersama dan sanggup menuruti Najib walau ke lubang biawak? Ke manakah perginya para mufti yang berlumba-lumba mengeluarkan fatwa berkaitan Tun M dan kenyataan-kenyatan beliau? Masihkah masyarakat Felda sanggup bertuankan munafik? Tanyalah akal dan hati masing-masing, moga akan mendapat cahaya untuk meninggalkan UMNO/BN.

Makna yang kedua, kenyataan Peguam Negara, Pak Apandi yang membebaskan Najib daripada isu RM2.6 billion ternyata auta semata-mata. Sandiwara seseorang yang pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari UMNO Kelantan! Jika benar dan yakin berada di pihak yang benar, mengapa takut untuk saman? Sekadar berani menyaman penganggur yang tidak berdaya. Bacul sebaculnya! Hatta memalukan 'Pahlawan Bugis'. Jika dengan Allah swt pun Najib tidak malu apatah lagi dengan rakyat marhaen. Kerana itulah 'Selasa' tidak wujud dalam kalendar Najib. Dan Apandi pula terlalu sibuk menikmati habuannya sehinggakan tidak sempat untuk sentiasa mengingatkan Najib tentang 'Selasa'. Auta Pak Apandi itu terus menerus merobek imej negara. Seorang Peguam Negara bersetongkol dengan seorang munafik untuk memperbodohkan dan menghina rakyat dan negara.

Makna yang ketiga dan terakhir yang penulis sempat nukilkan pada catatan kali ini ialah semua tuduhan berkaitan 1MDB baik di luar dan dalam negara adalah benar. Skandal yang menjadi pokok pangkal kleptokrasi dan induk segala permasalahan politik dan ekonomi di Malaysia ini sedang cuba disembunyikan daripada pengetahuan dan ingatan seluruh rakyat. Pak Arab manalah yang malang yang sanggup mengaku memberi derma. Najib yang kemaruk populariti tidak mengambil kesempatan untuk mengukuhkan populariti dengan mengotakan saman kepada WSJ. Sebaliknya ia memilih untuk menjadi liabiliti kepada UMNO dan negara. Bagi memaksa rakyat melupakan 'Selasa' WSJ ini mungkinkah Najib akan mengarahkan agar agihan BR1M dijadualkan pada hari Selasa? Sedarlah wahai rakyat sekalian, Selasa yang tak kunjung tiba ini sahaja sudah memadai untuk membantu anda menilai siapakah Najib yang sebenarnya.

Dunia memang telah melabel Perdana Menteri Malaysia sekarang sebagai seorang 'penyamun'! Mahukah rakyat sekalian juga dilabel sebagai 'bodoh' dengan berterusan mengundi UMNO/BN? Cukuplah para Menteri Pasola sahaja yang 'bodoh'. Jangan pernah biarkan diri anda terus dalam 'kebodohan'. Tidak usah menantikan hari Selasa untuk meninggalkan dan menolak UMNO/BN selamanya. Lakukannya sekarang! #SelamatkanMalaysia

Rabu, 28 Disember 2016

Politik Sabah: WARISAN terus gah

Belum pun sampai 100 hari sejak 'wajah baru' Parti Warisan Sabah pada 17 Oktober 2016 yang lalu. Namun, kian hari nama dan perjuangan Warisan kian meniti di bibir para Sabahan. Keahlian pelbagai kaum dan agama membuktikan betapa jelas halatuju yang ingin diperjuangkan oleh Warisan. Bayu slogan 'Sabah Ubah' menghembus kencang di setiap ceruk rantau Negeri Sabah. Penulis sendiri merasa teruja mengikuti perkembangan Warisan di media sosial (media arus perdana seperti TV3 takut nak buat coverage). Di negara yang dicengkam kleptokrasi ini, penulis merasa lega melihat rupanya masih ada sinar harapan untuk rakyat marhaen. Jika di Semenanjung, PPBM mendepani perjuangan menentang kleptokrasi...di Negeri Bawah Bayu, Warisan terus gah memperjuangkan rakyat yang berterusan dihimpit kleptokrasi dan auta UMNO/BN.

Setiap hari, ada sahaja ahli/cawangan UMNO/BN yang insaf dan menyertai Warisan setelah dikunjungi Siri Jelajah Warisan (SJW). Meskipun tanpa sebarang hamburan wang ringgit dan intan permata, setiap SJW sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Sabah. Meskipun berada nun jauh daripada setiap lokasi SJW Warisan, penulis masih dapat merasakan hembusan Bayu Sabah Ubah. Melihat kepada kecekalan Warisan berjuang menyedarkan rakyat tentang betapa kleptokrasi perlu dihapuskan, adakalanya penulis menitiskan airmata. Situasi sekarang memberi gambaran kepada penulis tentang suasana dan keperitan semasa menuntut kemerdekaan daripada penjajah British (meskipun penulis tidak lahir pada zaman itu).

Sebuah perjuangan pastinya akan mengharungi pelbagai dugaan dan penuh liku. Itulah hakikat perjuangan. Warisan juga tidak terlepas daripada asam garam sebuah perjuangan. Tentangan bukan sahaja datang daripada pihak pemerintah yang menggunakan media arus perdana seperti TV3, Berita Harian dan Utusan untuk menyebarkan auta malah para 'pencacai' UMNO/BN juga turut sama berauta melalui media sosial. Bak kata pepatah, Bapa Borek Anak Rintik. Pelbagai kecaman dan fitnah dilemparkan kepada Warisan. Parti PATI, kroni UMNO, parti individu, parti DSSA adalah antara auta yang sedang dicanang oleh UMNO dan 'pencacai' (aka ahli politik facebook) mereka. Auta yang langsung tidak mengentarkan Warisan. Sebaliknya auta tersebut menunjukkan betapa sempit dan rendahnya pemikiran politik UMNO dan 'pencacainya'. Bila diminta kemukakan bukti, para 'pencacai' akan kelu membisu. Bak kata pepatah, Baling Batu Sembunyi Tangan.

Apapun auta atau tohmahan yang dilemparkan, Warisan telah menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan dalam berpolitik. Lihat sahaja pada logo parti tersebut. Jelas berbeza dan keluar dari kepompong lama parti-parti tempatan Sabah. Jika sebelum ini kita akan melihat dua elemen yang sama dalam setiap logo parti tempatan Sabah iaitu 'Peta Sabah' dan 'Gunung Kinabalu' tetapi Warisan bijak memilih logonya agar mudah dikenali dan tidak dibayangi perjuangan parti tempatan Sabah yang lain. Warisan juga bijak memilih pendekatan untuk menarik lebih banyak sokongan. Pendekatan perkauman dan kebencian ditolak jauh-jauh oleh Warisan. Pendekatan kesamarataan dan parti milik bersama menjadi pilihan Warisan dalam setiap SJW yang dijalankan. Tidak terbawa-bawa dengan sentimen perkauman dan agama juga menjadi amalan Warisan. Bukan sahaja diamalkan oleh para pimpinannya malahan oleh para ahli dan penyokongnya.

Tindakan untuk tidak terpedaya dengan desakan menyertai United Sabah Alliance (USA) juga jelas mempamerkan keteguhan prinsip dan kebijaksanaan Warisan. USA diterajui oleh ahli-ahli politik yang digelar 'katak' kerana gemar lompat parti. Di mana ada 'kolam duit' di situ ada 'katak' politik. USA sebenarnya hanya menangguk di air yang keruh. Cuba mengambil kesempatan disebalik Bayu Sabah Ubah yang sedang menghembus kencang! Daripada mempersoalkan mengapa Warisan enggan menyertai USA, bukankah lebih baik jika USA dibubarkan dan sertai Warisan? Warisan tampil dengan imej bersih, seputih warna bendera parti tersebut. Bergerak sendirian (tidak menyertai USA) memastikan UMNO tidak mendapat ruang untuk memalitkan Warisan dengan sebarang isu atau skandal USA. Sabah Ubah! #RespectandSaluteWarisan.

Najib khianati 5 Prinsip Rukunegara

Rukunegara (gambar atas), satu falsafah kebangsaan yang bertujuan memupuk perpaduan dalam masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia. Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak telah memperkenalkannya pada 1970 selepas tragedi 1969. Alhamdulillah, Rukunegara mencapai matlamatnya selama berdekad. Malaysia hidup dalam harmoni dan terus membangun. Kejayaan demi kejayaan dikongsi dan diraikan pelbagai bangsa secara bersama. Perdana Menteri silih berganti namun masih mendukung 5 Prinsip Rukunegara. Tetapi kini, ia menjadi tanya. Apakah yang telah Najib lakukan pada Rukunegara? Tidakkah sepatutnya Najib lebih bersungguh meneruskan peranan dan sumbangan Rukunegara dalam politik, ekonomi dan sosial di Malaysia? Apapun yang diperkatakan oleh para Menteri UMNO dan media pro UMNO seperti TV3, ia tidak dapat menyembunyikan hakikat tentang apa yang telah Najib lakukan pada Rukunegara. KHIANATI!. Itulah kesimpulan yang penulis dapat katakan. Mari kita lihat satu demi satu prinsip tersebut.

1. Kepercayaan Kepada Tuhan

Prinsip asas dan utama dalam kehidupan setiap masyarakat yang mempunyai agama. Tanpa mengira apa jua agama yang dianuti, Tuhan itu wajib dipercayai (menurut agama masing-masing). Malangnya, di era Najib prinsip ini semakin diperlekeh malah semakin dipinggirkan (bukan oleh rakyat tetapi pemerintah). Ia sedang cuba digantikan dengan prinsip duniawi semata-mata iaitu 'Cash is King'. Kita melihat betapa Najib melakukan pelbagai cara dan menggunakan pelbagai pihak untuk membentuk kepercayaan bahawa 'Duit adalah Raja'. GST digunakan sebagai satu cara untuk menekan rakyat kemudian menghulurkan BR1M dan menyatakan ia bukan rasuah agar rakyat tidak berfikir tentang kesan buruknya. Anda hanya akan dapat 'melihat' maksud tersirat disebalik GST dan BR1M jika anda memahami dengan jelas maksud 'Cash is King'.

2. Kesetiaan Kepada Raja & Negara

Raja dan Negara yang satu ketika dahulu menjadi sumber perjuangan kini tidak lagi menjadi keutamaan. Sebaliknya, prinsip Kesetiaan Kepada Najib & UMNO secara perlahan cuba ditanamkan. Ungkapan seperti ILovePM, RespectMyPM, Tanpa UMNO Melayu Merempat dan banyak lagi sering dilaung-laungkan. Media arus perdana seperti TV3 seringkali hanya membuat liputan berkenaan isu atau perkara yang boleh meningkatkan Kesetiaan Kepada Najib dan UMNO. Bahkan ulama pro najib dan UMNO dari seluruh ceruk Malaysia ditemuramah semata-mata untuk menyebarkan fatwa yang boleh meneguhkan Kesetiaan Kepada Najib dan UMNO. Skandal yang mencalar imej negara ditutup serapatnya. Permasalahan rakyat tidak diberi liputan yang secukupnya. Masalah rakyat hanya diwar-warkan jika ia terjadi di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang!

3. Keluhuran Perlembagaan

Perlembagaan yang menjadi tulang belakang kewujudan sesebuah negara juga menjadi mangsa kerakusan Najib. Ianya sedang cuba digantikan dengan Keluhuran Skandal 1MDB. Siasatan berkenaan 1MDB dijadikan Rahsia Rasmi Negara. Parlimen ditegah daripada membahaskannya walhal Parlimen lah tempat Perlembagaan digubal. Skandal 1MDB mengatasi keluhuran perlembagaan. Sesiapa sahaja termasuk Ahli Parlimen yang cuba membongkar kebenaran berkaitan Skandal 1MDB akan disoal siasat. Bahkan yang membuat laporan polis agar ia disiasat secara terbuka pun akan dilokap bersekali dengan peguamnya. Begitulah luhurnya suatu skandal di era Najib. Mungkin suatu hari nanti anak-anak kita akan dipaksa menerima betapa luhurnya Skandal 1MDB hinggakan ke tahap tidak boleh dibincangkan di parlimen. Mungkin juga akan ada 'silibus' khusus untuk 1MDB dalam sistem pendidikan negara.

4. Kedaulatan Undang-Undang

Prinsip yang keempat ini semakin hari semakin tinggal kenangan. Bayang-bayang Kedaulatan UMNO dan Ahlinya semakin menjelma. Lihat sahaja apa yang Jamal Yunos (Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor) lakukan. Undang-undang bagaikan tidak mampu menyentuhnya. SOSMA pun hanya menutup mata terhadapnya biarpun secara lantang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. Seorang penganggur didenda mahkamah hanya kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa jelik terhadap Najib. Tetapi individu seperti Jamal bebas sebebasnya meperlekeh undang-undang. Kita juga telah melihat beberapa orang pimpinan UMNO seperti 'Pasir Salak' yang terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang lantaran disiasat dibawah seksyen/kanun yang tidak sepatutnya.

5. Kesopanan & Kesusilaan

Prinsip ini juga sedang meniti hari-hari akhirnya. Kebiadapan & Perkauman sedang cuba ditanamkan di era Najib ini. Biadap, Pengkhianat, Babi, Bodoh dan banyak lagi adalah perkataan yang sering kedengaran dari mulut para Menteri UMNO dan TV3 sentiasa menyiarkannya selama berhari-hari dan berulang-ulang. Dalam usahanya untuk kekal berkuasa, Najib juga meniupkan api perkauman dengan berterusan menyatakan bahawa Melayu akan menerima nasib yang sama dengan Melayu Singapura jika DAP berkuasa. 55/222 kerusi Parlimen boleh memerintah? UMNO dan TV3 juga sentiasa rancak menjajah cerita untuk membentuk generasi yang tidak mengenang budi pemimpin terdahulu seperti jasa mantan PM, Tun Mahathir.

Fikir-fikirkanlah...Jika kita tidak mengubah pemerintah pada PRU14 nanti, tidak mustahil 5 Prinsip Rukunegara akan menjadi seperti gambar di bawah. Nauzubillah min zalik.

Selasa, 27 Disember 2016

KWSP: Sikap pencarum atau sikap MO1 yang wajar dibimbangkan?


Setelah terpalit dengan beberapa skandal pelaburan yang merugikan, KWSP cuba memperbaiki imejnya agar pencarum tidak hilang keyakinan. Selepas melepaskan pegangan saham dalam FGV lantaran tidak berdaya lagi menahan bahana kerugian FGV, KWSP tampil sekali lagi dalam lensa liputan media. 'KWSP: Sikap pencarum habiskan simpanan membimbangkan', itulah tajuk yang disiarkan oleh SinarOnline. Nak alihkan tumpuan kah wahai KWSP? "Lebih membimbangkan apabila terdapat kes yang mana pesara mengeluarkan 70 peratus wang simpanan mereka dan tidak sampai 30 hari telah menghabiskan wang tersebut, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku". Itulah antara kata-kata Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP Cawangan Kuala Lumpur, Nornisah Mohd Yusof, yang dipetik Bernama.

Hmm...berprasangka baik amalan yang mulia. Tetapi dalam situasi sekarang dan dikala imej negara dilabel sebagai kleptokrasi, rakyat tidak boleh mengambil mudah setiap kenyataan yang disiarkan oleh media. Lebih-lebih lagi jika kenyataan itu datangnya daripada agensi atau kumpulan seperti KWSP. Apakah KWSP fikir dengan mengeluarkan kenyataan berhubung 'kebimbangan' mereka, para pencarum akan melupakan 'dosa' mereka begitu sahaja? Mengapa KWSP hanya mengangguk apabila MO1 mengarahkan berbillion ringgit wang pencarum dilaburkan dalam pelaburan yang pada hari ini telah terbukti menjadi satu kerugian dan skandal? Nak jawatan dalam kabinet juga kah KWSP? Rakyat harus sedar dan sentiasa beringat bahawa UMNO sekarang amat terdesak untuk menutup segala 'dosa-dosa' mereka. Pelbagai isu dilontarkan agar rakyat menjadi lalai dan tidak akan bertanya tentang salah laku UMNO.

Kita telah melihat bagaimana pelbagai agensi dan para menteri berlumba-lumba untuk mempertahankan MO1 dan UMNO sekalipun dalam perkara yang jelas menjahanamkan negara seperti Skandal 1MDB dan FGV. Nampak gayanya KWSP pun ingin menyertai kumpulan pengampu tersebut dan bersekongkol untuk terus menghina rakyat. Tidak cukup dengan melaburkan berbillion wang pencarum untuk kepentingan MO1, KWSP ingin menuding jari pula kepada pencarum. Hakikat tersirat yang cuba digambarkan dalam kenyataan KWSP itu ialah 'kesengsaraan rakyat pada hari ini bukanlah angkara MO1 tetapi angkara rakyat sendiri'! Bijak tak KWSP? Rakyat sekalian, jangan pernah biarkan putar belit UMNO terus mempermainkan anda. Sudah terlalu banyak kebejatan UMNO yang berterusan membinasakan rakyat.

Apalah sangat yang KWSP nak bimbangkan dengan sikap pencarum. Duit pencarum dan untuk keperluan pencarum juga. Lainlah dengan sikap MO1. Duit orang lain untuk kepentingan peribadinya. Tak bimbang dengan sikap MO1? Kah RM6.5 billion yang dipinjamkan kepada FGV tu jumlah yang kecil sahaja wahai KWSP? RM1.72 billion yang disonglap 1MDB apa cerita? Bak kata Harussani, Mufti Perak, berhentilah daripada membuat kerja yang sia-sia wahai KWSP. Lebih baik diamkan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan dengan niat tersirat untuk memperbaiki imej korporat dan MO1. Jika tidak mampu membawa kebaikan, jangan ditambah dengan meneguhkan kejahatan! KWSP = Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bukannya Kumpulan Wajib Songlap Pencarum. Sebelum nasihatkan pencarum tu, nasihatkan diri sendiri dan MO1 dahulu. Wallahualam.

Alahai Harussani


Dari Sahabat Abu Dzar ra, dia berkata:
"Aku bersama Nabi suatu hari dan aku mendengar baginda bersabda: Ada hal yang aku takutkan pada umatku melebihi dajjal. Kemudian aku merasa takut sehingga aku berkata, Ya Rasulullah apakah itu? Baginda bersabda: Ulama yang sesat lagi menyesatkan". [Musnad Ahmad (5/145) no 21334 dan 21335]

Nauzubillah min zalik.

27 Disember 2016, Harussani Zakaria (gambar atas), Mufti Perak menghangatkan perdebatan semasa mengenai BR1M apabila menyifatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebagai orang yang kecewa dan putus asa. Harussani juga menasihatkan Tun M agar menghentikan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai. Kenyataan Harussani disiarkan oleh BHOnline. Bukan sekadar mempertahankan BR1M sebagai bukan rasuah, Harussani juga menyelar Tun M sebagai orang yang tidak faham takrif rasuah. Hmm...mengingatkan penulis tentang perkataan viral netizen bulan-bulan yang lepas, 'membalak bersama ulamak'. Penulis dengan rendah diri menasihatkan agar Harussani tontonlah Iklan Rasuah Animasi Pak Abu yang satu ketika dulu acapkali disiarkan RTM untuk memahami takrif rasuah dalam bahasa yang sangat simple. Jangan sampai timbul pula ungkapan 'Rasionalisasi Rasuah Bersama Harussani'!

Apakah rasuah dalam kamus Harussani bermaksud 'duit bawah meja' sahaja? Yang dilakukan secara terang-terangan bukan rasuah? Harussani menyatakan BR1M menepati konsep Negara Kebajikan tanpa mengulas atau mengambil kira cara ia dilaksana atau diagihkan. Lupakah dia ucapan penggulungan PAU2016 di mana Najib mengumumkan pemberian BR1M fasa 3 dan akhir diberikan melalui UMNO bahagian? Sedarlah wahai Harussani, matlamat tidak menghalalkan cara! Adakah keempukan kerusi dan kedinginan bilik mufti Perak telah melekakan mu? Sehingga yang batil dibela, yang hak dipersenda? Mengapa tidak keluarkan fatwa tentang 1MDB, FGV dan NFC? Takut hilang habuan duniawi? Sekali lagi, penulis dengan rendah hati menasihatkan Harussani agar rujuk semula ucapan penggulungan PAU2016 dan bandingkanlah dengan Iklan Rasuah Animasi Pak Abu.


Kenyataan ulama seperti Harussani ini berkemungkinan akan menambahkan persepsi negatif masyarakat bukan Islam terhadap Islam. Harussani bersuara dalam isu yang melibatkan Tun M tetapi hanya membisu dalam soal 1MDB dan kleptokrasi! Sekaligus menyokong wala' dalam perkara mungkar! Apa sahaja yang dilakukan Najib dan UMNO, Harussani akan keluarkan hujah/kenyataan paling 'least' ianya HARUS. Kenyataan Tun M berkaitan BR1M dikatakan menghina rakyat. Adakah Skandal 1MDB itu satu penghargaan untuk rakyat wahai Harussani? FGV dan NFC itu satu hadiah kepada rakyat? Ternyata kesenangan duniawi telah memukau mata, hati dan akal Harussani. Mungkinkah Harussani telah terpedaya oleh slogan-slogan UMNO? Tanpa UMNO Melayu akan merempat/bangsat! Tak gitu Harussani?

Sama-Samalah kita renungkan hadis dalam gambar di bawah...


Isnin, 26 Disember 2016

Politik Sabah: Nasir Sakaran sertai senarai YB 'mangkuk hayun'


"Mereka (pembangkang) hanya (tahu tabur) janji-janji sahaja tetapi kemampuan mereka untuk mengatasi dan memenangi kerusi sama ada di Sabah atau peringkat nasional adalah jauh sekali dapat menyaingi kerajaan BN, maka jangan sampai salah pilih".

Kata-kata di atas adalah antara ucapan Nasir Sakaran, ADUN N53 Senallang yang dipaparkan dalam BERNAMA.com. pada 24 Disember 2016. Hmm...agak lama juga penulis tak mendengar atau membaca kenyataan-kenyataan Nasir ni. Tup tup keluar kenyataan yang 'mangkuk hayun' juga. Sama level atau lebih rendah lagi daripada level Salleh Keruak dan Abdul Rahman Dahlan. Alahai Pak Nasir kalau ya pun nak backup MO1 tu biarlah keluar kenyataan yang nampak bijak. Bak kata Rafizi Ramli terhadap Pak Johari, jangan sampai level tu turun ke tahap Ahmad Maslan. Penulis percaya rakyat Sabah terutamanya di Semporna lebih mengenali Nasir. Adakah sumbangan Nasir yang boleh dibanggakan rakyat Sabah di kawasannya? Penulis nak tahu juga ni.

Tidakkah Nasir melihat betapa UMNO sekarang telah banyak merosakkan negara dan menyusahkan rakyat? Skandal 1MDB, FGV, NFC, hutang negara yang bertimbun, kos sara hidup yang membebankan rakyat dan banyak lagi. Nasir tak nampak kah? Atau adakah dia menutup mata terhadap 'Bayu Sabah Ubah' yang dibawa oleh Parti Warisan? Kelihatannya ucapan Nasir sekadar cuba selindungkan kegusarannya terhadap 'Bayu Sabah Ubah'. Mungkin juga Nasir mengambil contoh daripada beberapa YB UMNO yang mendapat jawatan dalam Kabinet setelah mengeluarkan sepatah dua kenyataan 'bodoh'. Jika benar Nasir memperjuangkan rakyat maka sudah tentu kita tidak melihat dia bersama UMNO lagi. Kepentingan rakyat atau kepentingan parti yang didahulukan Pak Nasir?

Janganlah hendaknya rakyat marhaen terpedaya dengan kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Nasir Sakaran ini. Dengan imej negara yang dilabel sebagai negara kleptokrasi dan terpalit dengan pelbagai skandal, satu-satunya penjelasan tentang kesetiaan ADUN kepada UMNO seperti Nasir ini ialah kerana jawatan dan 'poketnya'. Penulis percaya, Nasir tidak setabah dan segagah rakyat marhaen untuk mengharungi kesengsaraan. Kerana itu dia tidak sanggup untuk 'bercerai' dengan UMNO! Almaklum prinsip bahawa tanpa UMNO tiada siapa yang boleh hidup di Malaysia sudah sebati dengan dirinya. Adakah dia lupa sebelum UMNO bertapak di Sabah, rakyat Sabah tetap meneruskan perjuangan hidup? Jangan pernah takut untuk berubah wahai Sabahan!

Ingatlah sentiasa wahai Sabahan. Apa juga projek yang ditaburkan oleh UMNO/BN di Sabah, lebih-lebih lagi ketika ambang PRU14 semakin menghampiri ianya hanyalah untuk mendapatkan undi Sabahan. Kerana PRU yang lepas-lepas telah membuktikan bahawa Sabah adalah 'fixed deposit' UMNO/BN. Tetapi apakah mereka melayan 'fixed deposit' ini dengan sepatutnya? Jika benar UMNO ikhlas membantu dan membangunkan Sabah, kembalikan MA63! Mana mungkin Nasir begitu berani untuk menuntut MA63 dikembalikan. Tidakkah rakyat Sabah merasa kecewa dan tertindas dengan ketidakpatuhan UMNO/BN terhadap MA63? Anggaran kira-kira RM100 billion kekayaan yang sepatutnya menjadi milik Sabah telah 'dicuri' akibat ketidakpatuhan UMNO/BN terhadap MA63!

Kekalkan warisan Sabah!Berjuang bersama Parti Warisan! Bantulah diri anda dan saudara kalian di PPBM untuk merubah Kerajaan Negeri dan Pusat!

FGV: Satu lagi bukti mengapa kleptokrasi harus ditolak


Felda Global Ventures (FGV) adalah anak syarikat Felda Holdings Berhad yang ditubuhkan pada 2007. Selaras dengan keinginan Najib untuk menyenaraikannya di Bursa Saham maka pada 2012 ia telah ditukar taraf menjadi syarikat berhad. Initial Public Offering (IPO) nya pada tahun itu menjadi yang kedua terbesar selepas Facebook. Satu kejayaan besar untuk Najib. Ianya dicanang selama mungkin dan digunakan sebagai bukti untuk memperolok-olokkan pembangkang yang menyuarakan kebimbangan tentang pemyenaraiannya di Bursa Saham akan membahayakan para peneroka Felda selama bergenerasi. Hmm..bunyi seperti penulis ingin menjadi penganalisis ekonomi? Itu hanya pengenalan sepintas lalu tentang apa yang penulis ingin nukilkan kali ini.

Seperti juga 1MDB, 'panas tidak sampai ke petang' dan 'bangkai gajah tidak akan dapat disembunyikan'. Itulah perumpamaan yang tepat untuk FGV yang menjadi satu lambang keegoan Najib dan UMNO. Satu demi satu masalah dan kerugian mulai datang. FGV adalah satu lagi 'hadiah' daripada Najib dan UMNO untuk mendahulukan rakyat mendepani kesengsaraan. Kerugian bersihnya pada suku ketiga 2016 ialah sebanyak RM94.87 juta seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunannya (yang tak lapor tak tahulah berapa). Siapa yang akan menanggung beban kerugian ini? Sudah tentu para peneroka yang telah 'dipancing' untuk melabur dalam FGV. Peneroka sengsara Pengurusan FGV gembira! Tahniah Presiden UMNO terbaik kata Sharizat dan #RespectMyPM kata cybertooper UMNO.


Siapa yang tidak kenal dengan individu dalam gambar di atas? Isa Samad yang pernah disabitkan dengan skandal politik wang telah dilantik untuk 'mengepalai' FGV oleh Najib. Bagaimana mungkin seseorang seperti Isa Samad boleh dilantik untuk menguruskan FGV? Jawabannya mudah sahaja, hanya penyamun yang percayakan penyamun! Akibatnya, bukan keuntungan yang ditaburkan tetapi kerugian yang jelas menunjukkan kelemahan pengurusan FGV. Tetapi seperti biasa UMNO dan Najib enggan mengakui kelemahan diri. Pelbagai putar belit disiarkan untuk mengelirukan rakyat. Iklim ekonomi global terus dicanang sebagai penyebab utama. Hakikatnya, siapakah yang ingin berusniaga dengan kleptokrat? China sahaja? 


Keegoan Najib diteruskan. Daripada memikul tanggungjawab atas kerugian yang dialami FGV, pilihan lain dilaksanakan. Iaitu membeli PT Eagle, Indonesia pada harga lebih kurang RM2 billion. Tindakan seperti ini dilakukan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa FGV masih kukuh. Kukuh tang kepala bana depa! Adakah rakyat sedar yang RM6.5 billion telah 'dipinjamkan secara paksa' oleh KWSP kepada mereka? Pembohongan tipikal UMNO dan Najib. Berhutang kemudian mencanangnya sebagai hasil/perolehan. Tindakan KWSP baru-baru ini untuk menjual sahamnya dalam FGV adalah satu bukti bahawa tiada lagi keyakinan terhadap FGV! Bukan setakat rakyat marhaen, kumpulan sebesar KWSP pun dah tak tahan dengan sandiwara Najib!


Lihatlah gambar di atas. Najib, UMNO dan Isa terus mendabik dada disebalik kerugian yang ditanggung oleh pelabur-pelabur tempatan seperti dalam gambar. Ada yang rugi hampir mencecah billion ringgit! Berapa banyak lagi kekayaan rakyat dan negara perlu disonglap untuk memuaskan hati Najib dan UMNO? Para YB UMNO/BN yang sebelum ini rakyat harapkan untuk memperjuangkan rakyat nampaknya kekal teguh bersama Najib. Berwala' dalam perkara mungkar hatta golongan agamawan dalam UMNO pun diam membisu. Kukuhkan iltizam mu wahai rakyat marhaen untuk menolak UMNO/BN pada PRU14 nanti!

Kita sedia maklum, tunjang sokongan UMNO selain daripada Sabah ialah masyarakat Felda. Untuk itu, penulis mohon kepada para pembaca agar share banyak-banyak catatan yang kerdil ini. Moga ia dapat membantu membuka mata, hati dan akal masyarakat Felda. #SelamatkanMalaysia


Ahad, 25 Disember 2016

Politik Sabah: Giliran Musa Aman tidak lena


Selepas UMNO secara keseluruhan, kini giliran Musa Aman secara individu tidak dapat menyembunyikan 'ketakutan' terhadap gelombang kebangkitan politik di Negeri Sabah. Negeri Di Bawah Bayu yang sering dilabel 'fixed deposit' UMNO/BN ini sedang dilanda 'Bayu Sabah for Sabahan'! Bayu perjuangan yang diterajui Parti Warisan itu jelas bagaikan satu halilintar yang mengejutkan Musa dari lenanya. Manakan tidak, nakhoda kapal yang mengemudi bayu tersebut bukanlah ahli politik hingusan atau tempelan sahaja. DS Shafie Afdal mempunyai pengalaman yang cukup luas di dalam UMNO. Beliau pastinya sudah kenal resmi dan strategi politik UMNO. Dalam masa yang singkat sahaja, Parti Warisan berjaya menambat hati pelbagai etnik rakyat Sabah. Dengan mesej dan halatuju perjuangan Warisan yang jelas sudah pasti Musa begitu cemas menghitung detik tibanya PRU14.



Kegusaran Musa terhadap 'Bayu Sabah for Sabahan' jelas terpapar apabila mengeluarkan kenyataan yang melabel media sosial sebagai ancaman baharu perpaduan (gambar atas). Bukankah Musa sendiri mempunyai akaun/halaman di media sosial seperti facebook dan twitter? Berhenti berkongsi cerita yang tidak disahkan kebenarannya adalah antara 'key point' Musa dalam kenyataan tersebut. Apakah kenyataan daripada UMNO sahaja yang sahih? 1MDB, FGV, NFC bahkan Skandal RM40 juta Musa itu tidak benar? Kes Jabatan Air Negeri Sabah itu tidak benar? Beberapa kes berprofil tinggi yang sedang disiasat SPRM itu tidak benar? Bayang-bayang kemenangan untuk rakyat nampaknya mula kelihatan. Apa jua reaksi balas UMNO dan Musa sama ada diam atau lantang hanya mendedahkan auta mereka.



Tindakan ahli-ahli UMNO meninggalkan Musa dan menyertai Parti Warisan seperti gambar di atas saban hari terpapar di media sosial. Mungkin kerana itu Musa cuba menyembunyikan kegusaran dengan memainkan isu perpaduan. Taktik tipikal UMNO untuk menakut-nakutkan rakyat. Orang Sabah kata berani kerana benar bah! Media arus perdana seperti TV3 suku (istilah netizen) tidak lagi menjadi pilihan utama rakyat. Sejarah telah membuktikan betapa rakyat Sabah tidak mudah mengalah kepada sebarang pemjajahan. Penulis percaya penjajahan dalam bentuk UMNO dan Musa Aman ini juga akan ditolak dan ditentang habis-habisan oleh rakyat Sabah!

Pastinya Musa begitu gusar jika tampuk pemerintahan bertukar tangan selepas PRU14 nanti. Ke manakah kekayaannya yang dikatakan mencecah RM1.5 billion hendak disembunyikan? Itu hanya sebahagian daripada kegusaran Musa. Penulis yakin pelbagai lagi salah laku yang akan terdedah andai kerajaan negeri bertukar tangan nanti. Masih sudikah rakyat Sabah mempertahankan golongan kleptokrasi ini? Penulis juga tidak terkejut jika selepas ini Musa akan bertambah sibuk menabur 'dedak' dan menyebar auta untuk mengelirukan rakyat Sabah.


Jika di Semenanjung Siri Jelajah PPBM berterusan menggoncangkan UMNO dan Najib, di Sabah...Siri Jelajah Warisan tampaknya membuatkan UMNO dan Musa seperti cacing yang kepanasan. Manakan tidak, dalam setiap siri jelajah, media sosial melaporkan ribuan ahli UMNO/BN menyertai Parti Warisan. Jika anda hanya bergantung sumber maklumat kepada media arus perdana seperti TV3 suku, maka anda akan mudah dikaburi oleh UMNO. Penulis begitu tertarik dengan slogan 'Sabah Ubah' yang nampaknya menjadi asas kepada 'Bayu Sabah for Sabahan'. Penulis percaya rakyat Sabah juga masih segar dengan ingatan betapa 'baculnya' Musa Aman. Hanya berani mengaitkan Shafie dengan kes Jabatan Air Negeri Sabah di dalam Sidang DUN Sabah tetapi 'menikus' apabila dicabar untuk membuat kenyataan di luar Sidang DUN Sabah. Respect for Sabahan!

Sabtu, 24 Disember 2016

BR1M: Bantuan atau Rasuah?


Ambang tahun 2017 hanya tinggal beberapa hari lagi. Selepas itu, pastinya ramai yang ternantikan kehadiran Februari 2017. Bulan pertama pembayaran/pemberian BR1M 2017 dijadualkan. Untuk itu, penulis merasa terpanggil untuk mengukir tinta berkaitan BR1M. Tujuan penulis hanya untuk mengingatkan rakyat marhaen agar sentiasa sedar bahawa ini satu lagi bentuk 'gula-gula' yang ditaburkan UMNO agar rakyat lupa tentang kemungkaran/kedurjanaan yang UMNO lakukan kepada rakyat dan negara. Namun, penulis tidak bermaksud untuk menggesa rakyat agar tidak menerima BR1M. Orang dah bagi, ambil jaklah.

Persoalan yang sering dilontarkan berkaitan BR1M ialah adakah ia bantuan atau rasuah? Dari perspektif UMNO sudah tentu jawabannya ialah bantuan. Bantuan untuk apa? Atau kenapa rakyat perlukan bantuan sebegini? Jawaban Najib dan UMNO ialah bantuan untuk meringankan beban rakyat. Hmm...meringankan beban rakyat? Apakah yang membebankan rakyat? Bukankah Najib dan para Menteri Pasola sering melaungkan ekonomi negara adalah dalam keadaan yang baik dan GST tidak membebankan rakyat? Lalu apakah justifikasi jawaban meringankan beban rakyat itu? Penulis percaya, Najib dan para Menteri Pasola akan memberikan pelbagai jawaban yang berbeza jika diajukan soalan sebegini. Bagi rakyat marhaen yang berakal sihat dan celik hati, jawabannya hanya satu iaitu ia hanyalah retorik politik UMNO!


"BR1M diberi untuk tampung bayar GST". Itulah pengakuan Menteri Kewangan II, Johari Baharom (gambar atas). Tidakkah kenyataan seperti ini jelas menunjukkan bahawa BR1M itu memang jelas untuk mengaburi mata rakyat? Penulis percaya kenyataan Johari itu masih segar dalam ingatan rakyat marhaen. Kenyataan Johari itu juga sekaligus satu pengesahan bahawa GST memang membebankan rakyat. Daripada jawaban Johari itu juga rakyat boleh melihat yang sebenarnya BR1M hanyalah satu propaganda UMNO untuk mendapatkan undi rakyat. Tidakkah lebih efektif jika kerajaan mengambil tindakan untuk menurunkan kos sara hidup? Bak kata pepatah 'memberikan pancing lebih baik daripada memberikan ikan kepada seseorang'. Kerana dengan pancing, seseorang itu boleh mendapatkan lebih banyak ikan dan secara berterusan berbanding dengan hanya mengharapkan bantuan.


Renungkanlah wahai rakyat marhaen kata-kata Tun M dalam gambar di atas. Tidakkah anda melihat bahawa BR1M ini memang duit rakyat? Jadi mengapa harus Najib dan UMNO menyatakan bahawa ia adalah bantuan daripada kerajaan? Seperti yang telah penulis sebutkan sebelumnya, ia hanyalah retorik politik Najib dan UMNO. Popular! Itulah tujuan sebenar Najib mewujudkan BR1M. Rasa dipermainkan? Kita semua sedang dipermainkan oleh Najib dan UMNO wahai rakyat marhaen. BR1M, Skandal 1MDB, FGV, NFC dan banyak lagi adalah antara penghinaan yang dilontarkan oleh Najib dan UMNO kepada rakyat marhaen dan negara tercinta ini!

Kenyataan terbaharu Tun M yang disiarkan dalam beberapa media, "BR1M adalah satu rasuah", jelas menunjukkan bahawa Najib dan UMNO berterusan menghina rakyat dan negara dalam skala yang besar. Demi kepentingan politik mereka, maruah rakyat dan negara sanggup dipermainkan. UMNO berterusan menanam pemikiran bahawa tanpa UMNO rakyat tidak boleh hidup. Benar atau tidak hanya rakyat yang dapat menjawabnya. Dan pentas terbaik untuk menjawabnya pastinya adalah PRU14 nanti. Rakyat yang bermaruah atau rakyat yang tertunduk layu pada sandiwara UMNO? Undi anda akan menentukannya nanti!

Politik Sabah: UMNO semakin gentar



Jarang sekali kita melihat, mendengar atau membaca media-media pro UMNO seperti Utusan Online menyiarkan sesuatu berkaitan pembangkang apatah lagi pembangkang yang bertapak di Sabah. Jadi apabila Utusan Online menyiarkan artikel yang bertajuk "Pakatan pembangkang terus berbalah" (gambar atas), anda pasti dapat mengagak apakah niatnya. Udang di sebalik batu (bukan menteri udang). Itulah hakikat berita tersebut. Tujuannya hanya satu iaitu mengelirukan pemikiran rakyat Sabah dengan memberi gambaran bahawa pembangkang adalah tidak sepakat. Sekaligus akan melontarkan persoalan bagaimana nak mentadbir Sabah jika tidak sepakat?


Fokus mereka adalah United Sabah Alliance (USA) dan memetik kenyataan Presiden Parti Harapan, Lajim Ukin (gambar atas). Siapakah rakyat Sabah yang tidak kenal dengan Lajim? Ahli politik yang pernah dilabel UMNO sebagai "Raja Katak" lantaran hobinya "lompat parti berganti-ganti". Lajim mendesak agar parti pembangkang daripada Semenanjung tidak bertanding di Sabah pada PRU14 nanti. Mengapa UMNO melalui Utusan Online memberi liputan terhadap USA? Ia sedang cuba menggambarkan kepada rakyat Sabah bahawa itulah kumpulan pembangkang utama di Sabah. Sekaligus menyembunyikan ketakutan sebenar UMNO.


Siapakah yang UMNO takuti di Sabah sekarang? Rakyat Sabah yang bebas "dedak" atau tidak dikaburi "dedak" pasti tahu jawabannya. Parti Warisan (gambar atas), yang diterajui oleh DS Shafie Afdal. Mantan menteri Persekutuan itu berjaya menarik perhatian rakyat Sabah dengan perjuangan yang jelas halatujunya. Pengalaman beliau selama bertahun-tahun dalam Kabinet Persekutuan memberikan beliau cukup bukti tentang penganiyaan UMNO dan Najib terhadap Sabah. Kerana itu, kebetulan atau suratan...UMNO melalui SPRM cuba mencari kesalahan Shafie apabila beliau memutuskan untuk meninggalkan UMNO. Shafie cuba dijadikan "kambing hitam" dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah.

Tetapi, seperti yang seluruh rakyat Malaysia dapat perhatikan, kes tersebut dah semakin senyap lantaran siasatan yang jika terus didedahkan bakal menghala kepada para Menteri UMNO dalam Kabinet Sabah. Zaman dah berubah. Era pihak pemerintah serba tahu sudah lama berlalu. Rakyat sekarang mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengakses maklumat berkaitan suatu isu. Tidak lagi berharap semata-mata kepada TV3 suku (istilah netizen)! Rakyat Sabah tahu bahawa sebarang projek daripada Kementerian Persekutuan tidak boleh dilaksanakan jika tanpa kelulusan daripada Ketua Menteri Sabah iaitu Musa Aman. Dan peruntukan daripada KKLW (Kementerian yang bekas diterajui Shafie) disalurkan terus kepada Menteri Kewangan Negeri Sabah, yang juga dipegang oleh Musa Aman!


Kerana itulah media-media pro UMNO berusaha keras menyembunyikan kewujudan Parti Warisan. Jarang sekali mereka membuat liputan mengenai parti tersebut. Apa yang sering kedengaran adalah kenyataan-kenyataan IQ rendah daripada menteri-menteri pasola (seperti gambar di atas). Kemampuan Parti Warisan mengembleng tenaga pelbagai etnik di Sabah di bawah satu kapal jelas membuatkan UMNO tidak senang duduk. Bangkitlah wahai Sabahan! Tumbangkan UMNO/BN di Sabah! Kuburkan status sebagai "fixed deposit" UMNO/BN untuk selamanya! Buktikan siapakah yang akan merempat, UMNO atau rakyat Sabah?

Ringgit: Nilainya terus merudum


Ringgit meneruskan prestasi "cemerlangnya" untuk merudum, terkini ia mencecah paras RM4.50/1USD. Menurut Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, sehingga minggu depan ringgit dijangka akan terus berdepan tekanan. Paras terkini ringgit adalah yang terendah sejak Krisis Kewangan 1998. Penyusutan nilai ringgit ni baik atau tidak? Budak sekolah menengah pun tahu ianya sangat tidak baik. Kejatuhan nilai matawang akan memberi persepsi yang negatif terhadap ekonomi sesebuah negara. Dalam bahasa mudah, wang tak laku. Siapa yang nak berdagang dengan kita? China sahaja?


Dan seperti biasa kita akan didendangkan dengan jawaban menteri pasola seperti gambar di atas. Adakah kegembiraan Nazri itu benar-benar kerana pelancong yang dimaksudkan itu ialah mereka yang benar-benar melancong atau pelancong di bawah perancangan menjadikan Malaysia sebagai rumah ke dua rakyat Bangladesh? Tidakkah kejatuhan berterusan nilai ringgit akan meningkatkan lagi kos projek-projek gula-gula PRU? Hutang negara juga akan bertambah "membesar dengan sihat" akibat kejatuhan nilai ringgit. UMNO gembira rakyat derita! Memang benarlah slogan "rakyat didahulukan", didahulukan untuk menderita!

Seringkali Najib dan UMNO mencanang bahawa kejatuhan nilai ringgit dipengaruhi oleh iklim ekonomi dunia terutamanya harga pasaran minyak dunia. Tetapi telah terbukti dikala harga pasaran minyak dunia meningkat, nilai ringgit terus "tunduk malu". Nilaikanlah sendiri wahai rakyat marhaen, jika ringgit pun "malu nak angkat muka" dek angkara Skandal 1MDB, Najib, UMNO dan Kleptokrasi, apatah lagi kita sebagai rakyat marhaen? Jawaban tidak berakal seringkali dikeluarkan para menteri pasola hatta menteri dengan CGPA 3.85. Najib dan UMNO masih beranggapan rakyat marhaen kini tetap hidup di zaman tv hitam putih. Pembohongan demi pembohongan terus disebarkan. Auta dijadikan fakta!


Realitinya, kejatuhan nilai ringgit bukan semata-mata kerana iklim ekonomi global. Tetapi didorong oleh tiada lagi keyakinan pelabur terhadap negara ini. Dengan status sebagai negara kleptokrasi, siapakah yang anda fikir sudi melabur? Hanya "penyamun yang percayakan penyamun". Negara sedang berada dalam situasi kepimpinan yang tidak lagi boleh dibaiki. Ianya perlu digantikan! Dan tiap kali pembangkang menyatakan perkara ini tiap kali juga UMNO menyebar auta bahawa pembangkang menghasut rakyat untuk mengkhianati demokrasi. Hakikatnya, Najib dan UMNOlah yang mengkhianati dan menodai demokrasi! Mengkhianati kepercayaan dan undi rakyat marhaen! 


Sedarlah wahai rakyat sekalian, nilai ringgit yang terus menjunam juga terus menekan ekonomi negara. Dan apabila ekonomi negara tertekan, yang akan menggalas deritanya ialah rakyat marhaen. kenyataan mantan Gabenor Bank Negara (gambar atas), mengesahkan betapa di bawah era Najib, Malaysia terus mencipta rekod ekonomi. Banggakah rakyat marhaen dengan status hutang seisi rumah yang tertinggi di Asia? Kah nak lagi yang tertinggi di dunia? Melukut di tepi gantang di negara sendiri sedang menanti rakyat marhaen. Suka atau tidak itulah hakikat yang harus ditelan!



Jumaat, 23 Disember 2016

UMNO dan MCA terus berbalah


UMNO dan MCA terus berbalah sekaligus menunjukkan betapa intergriti dan kredibiliti UMNO semakin dipersoalkan. Terbaharu, tindakan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon mengeluarkan kenyataan bahawa MCA tidak akan berkompromi dalam soal peruntukan RM50 juta untuk SJKC seperti yang telah diperuntukan dalam bajet tahun lalu. Kenyataan Chong itu mengundang tindakbalas yang tipikal daripada UMNO apabila ada pihak yang mempersoalkan tindak tanduk parti itu. Perkataan "BIADAP" memang sudah menjadi trademark UMNO. Kali ini perkataan itu keluar daripada mulut Exco Pemuda UMNO, Anuar Abd Manap. Anuar menyelar Chong sebagai biadap kerana enggan menerima peruntukan yang kurang daripada RM50 juta.

Hmm.....bukankah Najib baru sahaja menjimatkan RM2 billion daripada projek MRT? Takkan RM50 juta pun tak boleh bagi kat MCA tu? Kah penjimatan tu guna untuk cover 1MDB lagi? Pertikaian terbaharu ini jelas menunjukkan bahawa UMNO memang "pelakon" yang tidak boleh dibantah. Geng keras sendiri pun balun kaw kaw juga? UMNO sering mencanang bahawa ia adalah tulang belakang Barisan Nasional. Tidakkah MCA merasa diperkecilkan oleh kenyataan seperti itu? Isu ini juga makin mendedahkan warna sebenar UMNO sekarang (sejak Najib menjadi Presiden). UMNO sering mengatakan bahawa sesiapa yang tidak setuju dengan cara pimpinan mereka boleh "blah". Dengan tirai PRU14 semakin hampir dibuka, pertikaian dengan MCA pasti menambah lagi imej buruk UMNO yang memang sudah busuk.


Sebelum pertikaian terbaharu ini, MCA telah beberapa kali dikritik secara terbuka oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Nazri Aziz. Pelbagai bidasan Nazri tujukan kepada MCA termasuk melabel parti itu sebagai "takut" kepada DAP. Menurut Nazri, Sindrom "takut" DAP adalah punca utama prestasi buruk MCA pada PRU13. Berapakah lama lagi MCA boleh bertahan dengan karenah UMNO? Retak menanti belah? Mungkinkah sekarang adalah waktu yang terbaik bagi MCA meninggalkan UMNO jika ingin diterima semula oleh masyarakat Cina. Adakah UMNO juga menuntut wala' daripada MCA sehinggakan UMNO tidak senang dengan sebarang bantahan MCA?


Tidak berhenti setakat itu, Nazri juga meragui kemampuan MCA dan MIC menjelang PRU14 nanti. Secara tidak langsung, ia memberi gambaran seolah-olah tanpa UMNO parti komponen BN yang lain pun tidak boleh hidup sebagaimana ungkapan PAU2016 yang berbunyi "tumbang UMNO tumbang Orang Melayu"! Banyak mana lagi hinaan daripada UMNO yang boleh MCA terima? Benarkah MCA hanya menumpang tuah UMNO? Perkembangan semasa UMNO-PAS pasti membuatkan MCA tidak tidur lena. Apakah MCA akan menjadi seperti "habis madu sepah dibuang"? 

Fikir-fikirkanlah wahai MCA.....UMNO dah jadi kacang lupakan kulit.




Malaysia: Ke mana halatuju siasatan 1MDB?


"Izinkan 1MDB untuk diselesaikan, jika terdapat salah laku (dalam 1MDB) biar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) siasat, dan apa sahaja yang tindakan sewajarnya akan diambil". Itu gesaan yang dibuat Najib yang disiarkan oleh malaymail online pada 18 Oktober 2015. Sudah lebih setahun sejak gesaan tersebut namun rakyat masih belum melihat sesiapa pun yang dihadapkan ke muka pengadilan di negara ini. Sekaligus menimbulkan persoalan, ke mana halatuju siasatan 1MDB? Adakah pihak berkenaan terutamanya IGP Khalid sedang menyiasat salah laku 1MDB atau sedang menyiasat bagaimana Skandal 1MDB boleh terbongkar? 

Persoalan ini seharusnya diberikan tumpuan yang sepenuhnya oleh semua pihak. Kita telah melihat bagaimana UMNO cuba mempengaruhi rakyat daripada memikirkan perkara ini. PAU2016 dijadikan sesi mengecam Tun Mahathir dan bukannya membangkitkan persoalan penting seperti 1MDB. Mengapa persoalan ini begitu penting untuk dijawab oleh Najib dan IGP Khalid? Menyiasat salah laku 1MDB dan menyiasat bagaimana Skandal 1MDB boleh terbongkar adalah dua perkara yang sangat berbeza. Ia akan menentukan siapakah yang akan dibawa ke muka pengadilan. Perompak dalam 1MDB termasuk Najib atau pihak yang membongkar kebenaran yang akan dihukum? Rakyat pastinya tidak ingin Skandal NFC berulang lagi. Dalam skandal tersebut, yang mendedahkan penyelewengan yang dihukum di bawah OSA sedangkan pelakunya masih bebas dan lantang mengisytiharkan wala' nya terhadap Najib!


Ketika kebenaran hampir didedahkan (gambar atas), kita dikejutkan dengan berita penamatan perkhidmatan Peguam Negara, TS Abdul Gani Patail atas alasan masalah kesihatan. Mengapa takut pada kebenaran jika memang tidak bersalah wahai Najib dan UMNO? "Evidence speak for itself", itulah yang menggambarkan auta UMNO dalam kes TS Abdul Gani Patail apabila mantan Peguam Negara itu terbukti masih sihat walafiat dan sekarang memulakan kerjayanya sebagai Peguambela dan Peguamcara. Siasatan yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan rakyat ini amat membimbangkan. Tatkala jiran kita Singapura rancak menghukum pesalah Skandal 1MDB di republik tersebut, di Malaysia ianya kekal misteri.




Skandal 1MDB yang masih belum dirungkai di Malaysia terus memberi imej buruk kepada negara. Akibatnya, Ringgit menanggung bahana skandal tersebut. Kejatuhan nilai ringgit disambut baik oleh seorang menteri pasola UMNO iaitu Nazri Aziz. Agak janggal bukan? Itulah hakikat permainan UMNO sekarang. Apakah pihak yang dipertanggungjawabkan menyiasat Skandal 1MDB sekarang (IGP Khalid) masih tidak menyedari bahawa imej negara sekarang menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa? Kelihatan hanya China yang berminat berurusniaga dengan negara kita sejak Skandal ini terbongkar. Berbillion nilai projek diberikan kepada syarikat daripada Negara Tembok Besar itu. Hatta syarikat yang disenarai hitam oleh Bank Dunia pun mendapat kontrak. Nampaknya ungkapan "hanya penyamun yang percayakan penyamun" amat sesuai digunakan untuk pemberian kontrak tersebut.



Mungkinkah gambar di atas memberikan jawaban kepada halatuju siasatan 1MDB? Pelantikan bekas Bendahari UMNO Kelantan sebagai Peguam Negara nampaknya akan mengekalkan siasatan 1MDB dalam keadaan yang penuh persoalan. Nampaknya harapan untuk melihat Skandal 1MDB dibawa ke muka pengadilan sebelum PRU14 tidak akan kesampaian. Adakah sinar selepas PRU14? Atau adakah sandiwara Najib dan UMNO masih mampu mempengaruhi undi rakyat? Sama-samalah kita nantikan dan kita doakan yang terbaik untuk negara. Aamiin.





Khamis, 22 Disember 2016

Apa khabar MA63?


"Saya tak nak ambil hak orang Sabah. Hak orang Sabah saya nak ia dipertahankan. Saya sedar akan kepentingan perkara ini dan dengan adanya ruang perbincangan ini, saya mahu hak untuk negeri ini diperbaharui"

Kenyataan di atas adalah antara isi ucapan Najib ketika merasmikan Konvensyen UPKO 2016. Kata-kata yang sungguh manis terutamanya untuk rakyat Sabah. Tapi, seperti juga janjinya untuk menyiasat Skandal 1MDB, perkara ini nampaknya sepi begitu sahaja. Persoalannya, adakah Najib ikhlas dan benar-benar ingin mengotakannya ketika ia dilafazkan? Adakah janji itu hanya untuk UPKO? Almaklum, PRU14 semakin kelihatan. Kenalah buat janji manis kan? Penjimatan (kononyalah) Projek MRT sebanyak RM2 billion dicanang Najib dan para penyokongnya sehingga ke hari ini. Bagaimana dengan janji di atas? TV3 suku (istilah netizen) buat liputan berkaitan perkara ini pun sepintas lalu jer. Najib terlalu sibuk lancarkan pelbagai projek gula-gula PRU sehingga tiada masa untuk membincangkan MA63 dengan serius?

Rakyat Sabah sekalian, mari kita lihat sejenak gambar di bawah


Gambar di atas dengan jelas menunjukkan kedudukan Sabah sebagai "rakan kongsi" dalam pembentukan Persekutuan Malaysia. Hmm...dengan 1MDB pun Najib tak tahu apa yang dia tandatangan dan sebagai PM dia hanya mampu berhimpun di Stadium Titiwangsa untuk membantah keganasan ke atas Rohingya Myanmar. Adakah rakyat Sabah fikir yang Najib benar-benar mementingkan anda? Negeri yang diiktiraf UMNO sebagai "fixed deposit" ini amat mudah untuk mempercayai janji manis yang ditabur Najib dan disokong oleh Musa Aman. Tidakkah Sabahan menyedari yang kedudukan Sabah sekarang tidaklah seperti yang sepatutnya sebagaimana yang termaktub dalam MA63? Adakah janji ini dan Pan Borneo itu lebih daripada cukup untuk mengaburi akal sihat anda?

Sedarlah wahai Sabahan yang ketika ini anda sedang ditadbir oleh kleptokrat UMNO. Najib dan Musa Aman sama-sama terpalit dengan skandal mencuri kekayaan negara. Mereka tidak akan berhenti untuk mempermainkan anda selagi anda tidak bangkit mengubahnya! Mana mungkin Najib akan membuka sebarang ruang untuk "fixed deposit" ini menyedari haknya kembali. Janjinya semasa konvensyen UPKO 2016 hanyalah gimik politiknya untuk mengalihkan tumpuan terhadap skandal yang melibatkannya. Sedarlah bahawa Najib sedang berusaha melakukan apa sahaja agar Skandal 1MDB tidak memburunya. Mana mungkin juga Musa Aman akan memperjuangkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63. Almaklum kekayaan Musa sekarang dikatakan mencecah RM1.5 billion!



Lihatlah gambar di atas wahai Sabahan. Ada mirip cerita RM2.6 billion? Skandal ini hanyalah satu daripada pelbagai lagi persamaan Musa dengan Najib. Janji semasa Konvensyen UPKO tidak mungkin dikotakan Najib. Mana mungkin Najib akan sanggup berhutang lagi dengan China semata-mata untuk mengembalikan kekayaan yang sepatutnya diterima Sabah yang dianggarkan berjumlah RM100 billion. Jadi mengapa perlu rakyat Sabah bergantung harapan lagi pada UMNO? MA63 hanya akan disebut Najib berulang-ulang apabila tirai PRU14 hampir disingkap. Tetapkan dan kukuhkan azam mu wahai Sabahan untuk terus menolak UMNO/BN! Bak kata Najib ketika berhimpun di Stadium Titiwangsa, "enough is enough"! Jangan relakan diri anda seperti wanita dalam gambar di bawah.


SABAH UBAH!


Apakah peranan Jamal Yunos anak emas UMNO?


Jamal Yunos, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor telah berulang kali menimbulkan pelbagai kontroversi yang memalukan sebagai seorang ahli politik mahupun NGO. Keahliannya dalam UMNO tidak pernah tergugat meskipun berterusan bertindak melulu dan berlagak samseng. Berselindung atas nama NGO juga tampak membuatkan UMNO memberikan layanan istemewa kepada Mat Royan ini. Mengapakah UMNO merestui setiap tindakan Mat Royan? Mudah sahaja jawabannya, Bapa Borek Anak Rintik. Jika dah parti dan pimpinannya pun bertindak "Above the Law", tidak menghairankan jika ahli-ahlinya pun berperangai sama. Benarkah Mat Royan ini merupakan anak emas UMNO? Kita telah maklum UMNO dibawah MO1 telah mewujudkan pelbagai portfolio baik dalam kabinet mahupun dalam parti untuk berperanan mengukuhkan kleptokrat UMNO. Jadi apakah peranan yang dimainkan oleh anak emas UMNO ini? Ada beberapa kemungkinan, penulis akan melihatnya satu persatu.


Peranan yang pertama ialah mewujudkan "racial unrest" dengan harapan mengekalkan undi golongan Melayu kepada UMNO. Gambar di atas membuktikan niatnya dengan jelas. Tiada hukuman undang-undang yang dikenakan kepada Mat Royan berhubung kenyataan di atas menimbulkan persoalan adakah memang benar bahawa MO1 merancang untuk menimbulkan "racial unrest" sebagai Plan B jika Plan A (dedak) gagal? Plan B ini sangat penting dalam usaha MO1 untuk terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sekaligus Skandal 1MDB kekal dalam kepitan langkah MO1. Jika "racial unrest" ini menimbulkan rusuhan kaum, maka sudah tentu darurat akan diisytiharkan dan MO1 akan kekal duduk di kerusi PM tanpa perlu melalui PRU.


Peranan yang kedua, menimbulkan pelbagai kontroversi sekalipun tindakan itu tampak kebudak-budakan untuk mengalihkan tumpuan rakyat marhaen terhadap Skandal 1MDB yang menjadi pokok pangkal kecelaruan politik dan ekonomi negara. Tindakan TV3 suku (istilah netizen) yang bagaikan menyediakan slot berita khas berkenaan Mat Royan ini mengukuhkan lagi andaian tersebut. Liputan meluas TV3 suku berkaitan apa jua yang dilakukan Mat Royan ini tidak dapat disangkal lagi. MO1 dan UMNO juga diam seribu bahasa. Terbaharu, tindakan Mat Royan meminta air untuk mandi daripada MB Selangor dengan hanya bertuala langsung tidak dibincangkan oleh Lembaga Disiplin UMNO. Konon jaguh memperjuangkan Melayu. Apakah UMNO dan Mat Royan telah lupa tatasusila Melayu?


Peranan yang ketiga, menjadi Ketua atau AJK atau ahli biasa dalam Sayap Samseng UMNO. Selain daripada Cybertrooper dan menteri pasola UMNO, Sayap Samseng nampaknya satu lagi portfolio atau unit yang diwujudkan oleh MO1 untuk menjadi barisan hadapan UMNO menjawab pelbagai isu yang melanda parti tersebut. Pastinya MO1 tidak akan mengakui hakikat ini. Tetapi apabila perlakuan samseng UMNO terus bebas daripada undang-undang, tidakkah anda terfikir yang andaian ini mempunyai asas? Siapakah ahli UMNO yang telah dikenakan tindakan undang-undang sejak meledaknya Skandal 1MDB? Jika adapun mereka adalah ahli (bekas ahli) yang memperjuangkan rakyat dan ingin mencari kebenaran! 

Apapun peranan yang dimainkan oleh Mat Royan ini tetap tidak mengubah hakikat yang UMNO sekarang telah menjadi parti samseng, perkauman, ketandusan idea, mempersenda agama dan pendukung kleptokrasi. Jamal Yunos adalah gambaran lengkap tentang UMNO MO1. Untuk melihat keperibadian UMNO sekarang lihat Jamal Yunos (selain daripada MO1 dan menteri pasola). Matlamat menghalalkan cara jelas dipraktikkan dalam UMNO MO1.

fikir-fikirkanlah.....

Dividen ASB 2016 bukti UMNO parti Auta


Let evidence reveal the truth! Itulah ungkapan tepat yang dapat menggambarkan Auta UMNO sejak MO1 menerajui kepimpinan parti. Sejak terbongkarnya tembelang 1MDB, ekonomi negara memang menjadi perhatian ramai baik dalam negara mahupun luar negara. Kebimbangan tentang kemungkinan ekonomi negara akan mengalami kebankrapan acap kali disuarakan oleh pemimpin atau bekas pemimpin yang memahami rintihan rakyat marhaen. Namun acap kali juga kita mendengar para menteri UMNO yang disokong oleh TV3 suku (istilah netizen) melaungkan bahawa ekonomi negara adalah baik. Malah seperti orang yang hilang akal, hutang demi hutang terus dibebankan kepada rakyat!

Tetapi hari ini, Amanah Saham Nasional Bhd sendiri secara tidak langsung menempelak kenyataan para menteri UMNO dan TV3 suku. Dividen dan bonus bagi tahun kewangan berakhir 2016 yang diumumkan adalah yang terendah berbanding agihan sejak enam tahun lalu (gambar atas). Dividen sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus sebanyak 50 sen yang diumumkan itu jelas menunjukkan betapa ekonomi negara memang dalam masalah. Masihkah lagi rakyat ingin mempertahankan UMNO? Dan seperti biasa kita pasti akan mendengar para menteri UMNO akan berkata ia tiada kaitan dengan krisis ekonomi. TV3 suku pula pastinya akan melupakan perkara ini dan lebih memfokuskan kepada isu Jamal Tongkol yang beberapa hari tidak mandi!


Anda lihatlah sendiri kadar dividen ASB dan Bonus dalam gambar di atas. Hatta ketika era Krisis Kewangan 1998, kerajaan yang dipimpin oleh Tun Mahathir masih mampu mengagihkan kadar dividen dan bonus ASB yang jauh lebih tinggi berbanding apa yang kleptokrat MO1 dan UMNO sekarang lakukan (2015 & 2016). Mengapa begitu? Jawaban mudah sahaja, Tun Mahathir tidak mencuri wang rakyat dan negara selama 22 tahun pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. "Nothing to Hide" memang beliau kotakan bilamana tiada sebarang isu kerugian pelaburan kerajaan yang disembunyikan. Mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan tiada siapa yang "Above the Law" dalam penyiasatan. Salah tetap salah!

Malahan jika kita perhatikan dengan teliti gambar di atas, sejak 1990 ASB tidak pernah membayar dividen di bawah kadar 7.00 sen seunit. Seteruk mana pun cabaran ekonomi yang dihadapi negara ketika era Tun Mahathir, para pelabur tetap berminat berniaga di Malaysia kerana tidak timbul isu Krisis Keyakinan Pelaburan. Berbeza dengan MO1 yang gah mencanang berbillion pelaburan yang dibawa masuk daripada China tetapi meyembunyikan hakikat daripada rakyat yang kesemua pelaburan itu adalah dalam bentuk HUTANG! Kita menantikan apakah ulasan yang bakal dikeluarkan oleh para menteri pasola (istilah netizen) berhubung dividen dan bonus ASB 2016 ini.


Dengan Skandal 1MDB masih lagi cuba disembunyikan oleh kleptokrat UMNO dan para pendampingnya, ia akan terus menimbulkan pelbagai persoalan. Penulis sendiri tertanya-tanya adakah ASNB turut "didera" oleh 1MDB? Dikala para menteri pasola lantang menabur "minyak pengasih" dan mempertahankan bahawa ekonomi negara adalah kukuh, mengapa dividen ASB 2016 hanya sekadar 6.75 sen per unit? Bukankah MO1 sering berkata "Cash is King"? Adakah dividen terendah ini sejajar dengan falsafah itu? Tidakkah ini mula menunjukkan bahana berhutang secara sembrono? Rakyat Marhaen, jangan biarkan negara tercinta ini menerima nasib yang sama seperti Argentina yang muflis! Bersama kita Say NO to MO1 dan UMNO!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...