"Izinkan 1MDB untuk diselesaikan, jika terdapat salah laku (dalam 1MDB) biar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) siasat, dan apa sahaja yang tindakan sewajarnya akan diambil". Itu gesaan yang dibuat Najib yang disiarkan oleh malaymail online pada 18 Oktober 2015. Sudah lebih setahun sejak gesaan tersebut namun rakyat masih belum melihat sesiapa pun yang dihadapkan ke muka pengadilan di negara ini. Sekaligus menimbulkan persoalan, ke mana halatuju siasatan 1MDB? Adakah pihak berkenaan terutamanya IGP Khalid sedang menyiasat salah laku 1MDB atau sedang menyiasat bagaimana Skandal 1MDB boleh terbongkar?
Persoalan ini seharusnya diberikan tumpuan yang sepenuhnya oleh semua pihak. Kita telah melihat bagaimana UMNO cuba mempengaruhi rakyat daripada memikirkan perkara ini. PAU2016 dijadikan sesi mengecam Tun Mahathir dan bukannya membangkitkan persoalan penting seperti 1MDB. Mengapa persoalan ini begitu penting untuk dijawab oleh Najib dan IGP Khalid? Menyiasat salah laku 1MDB dan menyiasat bagaimana Skandal 1MDB boleh terbongkar adalah dua perkara yang sangat berbeza. Ia akan menentukan siapakah yang akan dibawa ke muka pengadilan. Perompak dalam 1MDB termasuk Najib atau pihak yang membongkar kebenaran yang akan dihukum? Rakyat pastinya tidak ingin Skandal NFC berulang lagi. Dalam skandal tersebut, yang mendedahkan penyelewengan yang dihukum di bawah OSA sedangkan pelakunya masih bebas dan lantang mengisytiharkan wala' nya terhadap Najib!
Ketika kebenaran hampir didedahkan (gambar atas), kita dikejutkan dengan berita penamatan perkhidmatan Peguam Negara, TS Abdul Gani Patail atas alasan masalah kesihatan. Mengapa takut pada kebenaran jika memang tidak bersalah wahai Najib dan UMNO? "Evidence speak for itself", itulah yang menggambarkan auta UMNO dalam kes TS Abdul Gani Patail apabila mantan Peguam Negara itu terbukti masih sihat walafiat dan sekarang memulakan kerjayanya sebagai Peguambela dan Peguamcara. Siasatan yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan rakyat ini amat membimbangkan. Tatkala jiran kita Singapura rancak menghukum pesalah Skandal 1MDB di republik tersebut, di Malaysia ianya kekal misteri.
Skandal 1MDB yang masih belum dirungkai di Malaysia terus memberi imej buruk kepada negara. Akibatnya, Ringgit menanggung bahana skandal tersebut. Kejatuhan nilai ringgit disambut baik oleh seorang menteri pasola UMNO iaitu Nazri Aziz. Agak janggal bukan? Itulah hakikat permainan UMNO sekarang. Apakah pihak yang dipertanggungjawabkan menyiasat Skandal 1MDB sekarang (IGP Khalid) masih tidak menyedari bahawa imej negara sekarang menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa? Kelihatan hanya China yang berminat berurusniaga dengan negara kita sejak Skandal ini terbongkar. Berbillion nilai projek diberikan kepada syarikat daripada Negara Tembok Besar itu. Hatta syarikat yang disenarai hitam oleh Bank Dunia pun mendapat kontrak. Nampaknya ungkapan "hanya penyamun yang percayakan penyamun" amat sesuai digunakan untuk pemberian kontrak tersebut.
Mungkinkah gambar di atas memberikan jawaban kepada halatuju siasatan 1MDB? Pelantikan bekas Bendahari UMNO Kelantan sebagai Peguam Negara nampaknya akan mengekalkan siasatan 1MDB dalam keadaan yang penuh persoalan. Nampaknya harapan untuk melihat Skandal 1MDB dibawa ke muka pengadilan sebelum PRU14 tidak akan kesampaian. Adakah sinar selepas PRU14? Atau adakah sandiwara Najib dan UMNO masih mampu mempengaruhi undi rakyat? Sama-samalah kita nantikan dan kita doakan yang terbaik untuk negara. Aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan