Sabtu, 24 Disember 2016

Politik Sabah: UMNO semakin gentar



Jarang sekali kita melihat, mendengar atau membaca media-media pro UMNO seperti Utusan Online menyiarkan sesuatu berkaitan pembangkang apatah lagi pembangkang yang bertapak di Sabah. Jadi apabila Utusan Online menyiarkan artikel yang bertajuk "Pakatan pembangkang terus berbalah" (gambar atas), anda pasti dapat mengagak apakah niatnya. Udang di sebalik batu (bukan menteri udang). Itulah hakikat berita tersebut. Tujuannya hanya satu iaitu mengelirukan pemikiran rakyat Sabah dengan memberi gambaran bahawa pembangkang adalah tidak sepakat. Sekaligus akan melontarkan persoalan bagaimana nak mentadbir Sabah jika tidak sepakat?


Fokus mereka adalah United Sabah Alliance (USA) dan memetik kenyataan Presiden Parti Harapan, Lajim Ukin (gambar atas). Siapakah rakyat Sabah yang tidak kenal dengan Lajim? Ahli politik yang pernah dilabel UMNO sebagai "Raja Katak" lantaran hobinya "lompat parti berganti-ganti". Lajim mendesak agar parti pembangkang daripada Semenanjung tidak bertanding di Sabah pada PRU14 nanti. Mengapa UMNO melalui Utusan Online memberi liputan terhadap USA? Ia sedang cuba menggambarkan kepada rakyat Sabah bahawa itulah kumpulan pembangkang utama di Sabah. Sekaligus menyembunyikan ketakutan sebenar UMNO.


Siapakah yang UMNO takuti di Sabah sekarang? Rakyat Sabah yang bebas "dedak" atau tidak dikaburi "dedak" pasti tahu jawabannya. Parti Warisan (gambar atas), yang diterajui oleh DS Shafie Afdal. Mantan menteri Persekutuan itu berjaya menarik perhatian rakyat Sabah dengan perjuangan yang jelas halatujunya. Pengalaman beliau selama bertahun-tahun dalam Kabinet Persekutuan memberikan beliau cukup bukti tentang penganiyaan UMNO dan Najib terhadap Sabah. Kerana itu, kebetulan atau suratan...UMNO melalui SPRM cuba mencari kesalahan Shafie apabila beliau memutuskan untuk meninggalkan UMNO. Shafie cuba dijadikan "kambing hitam" dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah.

Tetapi, seperti yang seluruh rakyat Malaysia dapat perhatikan, kes tersebut dah semakin senyap lantaran siasatan yang jika terus didedahkan bakal menghala kepada para Menteri UMNO dalam Kabinet Sabah. Zaman dah berubah. Era pihak pemerintah serba tahu sudah lama berlalu. Rakyat sekarang mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengakses maklumat berkaitan suatu isu. Tidak lagi berharap semata-mata kepada TV3 suku (istilah netizen)! Rakyat Sabah tahu bahawa sebarang projek daripada Kementerian Persekutuan tidak boleh dilaksanakan jika tanpa kelulusan daripada Ketua Menteri Sabah iaitu Musa Aman. Dan peruntukan daripada KKLW (Kementerian yang bekas diterajui Shafie) disalurkan terus kepada Menteri Kewangan Negeri Sabah, yang juga dipegang oleh Musa Aman!


Kerana itulah media-media pro UMNO berusaha keras menyembunyikan kewujudan Parti Warisan. Jarang sekali mereka membuat liputan mengenai parti tersebut. Apa yang sering kedengaran adalah kenyataan-kenyataan IQ rendah daripada menteri-menteri pasola (seperti gambar di atas). Kemampuan Parti Warisan mengembleng tenaga pelbagai etnik di Sabah di bawah satu kapal jelas membuatkan UMNO tidak senang duduk. Bangkitlah wahai Sabahan! Tumbangkan UMNO/BN di Sabah! Kuburkan status sebagai "fixed deposit" UMNO/BN untuk selamanya! Buktikan siapakah yang akan merempat, UMNO atau rakyat Sabah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...