Ahad, 11 Disember 2016

Lagakan Najib dan Zahid, UMNO terus salahkan pembangkang.


Isu surat Zahid yang didakwa mendesak Najib untuk meletak jawatan masih hangat diperkatakan. Pimpinan UMNO terus menuding jari kepada pembangkang bahawa merekalah dalang disebalik surat tersebut. Jika benar dakwaan itu, mengapa tiada laporan polis yang dibuat oleh UMNO mahupun NGO pro UMNO terutamanya yang diketuai oleh Jamal Pak Tongkol? Apakah UMNO masih enggan menerima hakikat bahawa sumber maklumat tidak lagi datang semata-mata daripada media yang pro atau dikawal UMNO? Atau adakah mereka masih memandang rendah tahap pemikiran politik rakyat marhaen? PRU sebelum ini telah menjadi saksi bahawa pemberian tangki biru atau BR1M atau yang sepertinya kepada rakyat bukan lagi satu jaminan bahawa undi rakyat adalah untuk UMNO.

Kejayaan pembangkang menawan Selangor dan Pulau Pinang serta mengekalkan kemenangan di Kelantan, ditambah dengan menawan Perak untuk seketika membuktikan bahawa rakyat marhaen bertambah bijak dalam membuat keputusan undi. Kemenangan tipis UMNO/BN di Terengganu mengukuhkan lagi persoalan adakah Strategi UMNO untuk menyalahkan pembangkang dengan sewenangnya masih relevan? Tidak kah mereka risau dengan peningkatan kerusi pembangkang di Parlimen? Menuding jari kepada pembangkang tanpa melakukan siasatan dalaman terlebih dahulu atau tanpa laporan polis mungkin akan membakar diri UMNO. Tindakan ini seolah-olah memperlekeh pertimbangan lojik rakyat marhaen.






Kewujudan pelbagai media sosial menawarkan akses alternatif kepada rakyat marhaen untuk mendapatkan maklumat berkaitan sesuatu isu. Zaman UMNO serba tahu dan penjelasan sebelah pihak telah lama berlalu. Sikap menuding jari ini mampu menjadi 'backfire' kepada UMNO. Salahlaku berterusan pimpinan UMNO yang terus menerus dipertahankan oleh ahlinya menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat marhaen terhadap parti tersebut. Tidakkah UMNO sedar bahawa rakyat marhaen akan mempersoalkan tuduhan tersebut? Pembangkang bukannya terlalu naif atau daif dalam merencana perjuangan mereka. Perbuatan mengarang surat mendesak PM meletak jawatan (bersama senarai kabinet baharu), jelas menunjukkan yang Si Pelaku terlalu tergesa-gesa dan kehabisan idea.

Adakah rakyat marhaen ingin terus diperkotak katik oleh UMNO? Terpulanglah kepada anda para pembaca untuk mentafsir dan membuat kesimpulan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...