Skandal 1MDB yang membuka pekung kleptokrasi UMNO terus memalukan Malaysia. Manakan tidak memalukan, tatkala di negara kelahiran skandal ini masih belum ada pihak yang diheret ke muka pengadilan, negara luar terus rancak mengadili mereka yang terlibat. Terbaharu, mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Yeo Jiawei iaitu bekas pegawai bank BSI Singapura. Yeo didapati bersalah atas tuduhan mengganggu saksi berhubung dengan penyiasatan penggubahan wang haram 1MDB di republik itu. Bekas pegawai bank itu berdepan hukuman penjara tujuh tahun maksimum.
Sebelum ini, dua lagi bekas kakitangan BSI iaitu Yak Yew Chee dan Yvonne Seah didapati bersalah dan sedang menjalani hukuman mereka. Yak dijatuhi hukuman penjara 18 minggu manakala Yvonne dipenjarakan selama dua minggu. Kedua-duanya dijatuhkan hukuman atas kesalahan pemalsuan dan kegagalan untuk mendedahkan transaksi yang mencurigakan. Sepanjang perbicaraan Yeo Jiawei, saksi pendakwaan mengesahkan hubungan rapat antara Yeo dan Jho Low.
Agak membimbangkan apabila di Malaysia masih tiada tindakan diambil ke atas Jho Low. Bahkan TV3 suku (istilah netizen) tidak pernah membuat liputan tentang pernah atau tidak Jho Low dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan Skandal 1MDB. Apakah hanya kerana hubungan rapat Jho Low dengan MO1 memberikan status "above the Law" kepada anak kelahiran Pulau Pinang itu? Dikala para menteri UMNO berlagak superhero dan seringkali mengingatkan parti pembangkang tentang "NO one is above the Law", individu kesayangan MO1 ini terus bebas sebebasnya seolah-olah 'immune' terhadap undang-undang!
Dimanakah ketegasan Khalid Abu Bakar (IGP) dalam Skandal 1MDB? Mengapa SOSMA, OSA dan pelbagai lagi Akta tidak mampu menyentuh Jho Low dan Riza Aziz? Adakah keberanian Khalid hanya pada wanita yang berumur 60an seperti Maria Chin? IGP yang sepatutnya menjaga kesejahteraan rakyat dan negara tampaknya lebih berminat melindungi MO1 dan para pendampingnya. Tiada perkembangan semasa berkaitan siasatan 1MDB di Malaysia sekaligus menimbulkan persoalan, adakah IGP ingin melupakan Skandal 1MDB? TV3 suku yang begitu beriya-iya membuat liputan harian berkaitan kes Lim Guan Eng (LGE) tidak melakukan perkara yang sama terhadap Skandal 1MDB.
Harapan rakyat marhaen untuk melihat kebenaran dan keadilan ditegakkan berkaitan Skandal 1MDB tampak musnah apabila penjaga gol terbaik dalam Skuad MO1, Pandikar menunjukkan kependekarannya dengan menghalang sebarang perbahasan mengenai 1MDB di Parlimen. Jika pelaksana undang-undang seperti IGP dan Speaker Parlimen tidak membenarkan skandal ini berkumandang, ke mana lagi rakyat marhaen boleh bergantung harapan untuk menuntut jawaban? Benarkah rakyat marhaen akan tewas dalam perjuangan menentang Skandal 1MDB? Hanya rakyat marhaen yang dapat menjawabnya. Jika projek-projek seperti MRT, Pan Borneo dan ECRL dapat mengaburi mata dan hati rakyat marhaen maka memang perjuangan menentang Skandal 1MDB akan terkulai. Relakah rakyat marhaen membiarkan kleptokrasi memenangi perjuangan ini?
Tepuk dada tanya iman.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan