Mari kita lihat strategi UMNO yang disebutkan tadi. Pertama, menabur dedak. Tangki biru, BR1M, kenaikan gaji kakitangan awam, memberi jawatan dalam kerajaan dan banyak lagi adalah contoh-contoh dedak yang sering kita dengar. Tiap kali ia ditabur kita akan sering melihat, mendengar atau membaca liputan meluas media pro UMNO tentang betapa UMNO mampu menunaikan janji berbanding pembangkang yang hanya menabur janji kosong. Tidakkah rakyat terfikir bahawa itu semua adalah sememangnya tanggungjawab kerajaan? Dan oleh kerana UMNO adalah parti pemerintah maka semestinya mereka punyai kemampuan untuk mengotakan janji (walaupun banyak juga janji yang tinggal janji). Pembangkang juga sebenarnya mampu mengotakan janji dan melakukannya dengan lebih baik lagi apabila mereka pula yang memegang tampuk pemerintahan seperti yang dibuktikan di Selangor dan Pulau Pinang.
Negara kita telah merdeka selama hampir 60 tahun. Tetapi mengapa rakyat marhaen masih terus enggan menyedari bahawa UMNO (sejak dipimpin oleh Najib) sekadar memperbodohkan dan menggunakan rakyat demi kepentingan mereka? Kita ambil contoh BR1M. Mengapa pemberian ini harus diungkit-ungkit jika ia tiada tujuan yang tersembunyi? Menteri Kewangan II sendiri telah menyatakan bahawa BR1M diberikan untuk membantu rakyat menghadapi GST. Tidakkah ianya dengan jelas memperbodohkan rakyat? Memberi bantuan tetapi mengambilnya semula tanpa kekerasan jelas menunjukkan betapa liciknya UMNO. Harga minyak (petrol/diesel) adalah satu lagi contoh betapa UMNO sebenarnya sudah tidak jujur lagi. Naik 20 sen kemudian turun 5 sen adalah senario biasa yang kita lalui di bawah pentadbiran Najib. Tidakkah rakyat sedar bahawa UMNO sedang memperbodohkan mereka?
Strategi kedua UMNO, menakut-nakutkan rakyat. Kita seringkali mendengar bahawa tanpa UMNO rakyat akan muflis atau merempat terutamanya orang Melayu. PAU2016 jelas menunjukkan betapa strategi ini terus diulang-ulang. Mengecam DAP dan menyebarkan pemikiran bahawa jika DAP berkuasa, orang Melayu akan ditindas dan negara akan menjadi negara Komunis. Bagaimana mungkin DAP akan memegang tampuk pemerintahan dengan hanya 50+ kerusi parlimen? Mendakwa DAP sebagai komunis kerana mereka adalah parti Cina (walaupun parti tersebut dianggotai oleh bangsa yang lain-lain). Bagaimana pula dengan MCA dan Gerakan? Tidakkah berbillion nilai projek yang diberikan kepada China akan lebih mengkomuniskan negara? Tanyalah diri sendiri wahai rakyat marhaen. Siapakah yang akan merempat jika UMNO tumbang, anda atau UMNO? Jangan benarkan UMNO terus memanipulasi anda.
PAU2016 menjadi saksi betapa UMNO sebenarnya dalam ketakutan. Bimbang segala dosa dan nista akan dihukum oleh rakyat marhaen jika tampuk pemerintahan bukan lagi UMNO. Wala' dituntut daripada ahli dan menakut-nakutkan mereka dengan azab Allah jika mereka ingkar kepada Presiden parti. Bagaimana dengan wala' kepada Allah swt dan rakyat marhaen? Adakah tiada azab jika mengkhianati rakyat marhaen? PAU2016 yang sepatutnya menjadi medan membangkitkan masalah rakyat marhaen digunakan untuk mengecam mantan PM, Tun Mahathir. Tidakkah rakyat melihat siapakah yang sebenarnya racist, pengkhianat dan pengadu domba? UMNO bukan sahaja berdepan dengan persoalan intergriti tetapi juga melibatkan soal akidah. Ungkapan bahawa "setiap butir beras yang kita makan datang daripada UMNO" sepatutnya sudah cukup untuk membuka kesedaran rakyat marhaen tentang betapa pentingnya UMNO disingkirkan.
Strategi ketiga UMNO, mengalih tumpuan rakyat daripada isu sebenar. Strategi ini kita dapat lihat dengan jelas dalam isu 1MDB. Apabila isu ini "leaked", UMNO cuba menyamakannya dengan era pemerintahan Tun Mahathir. Mengapa begitu? Harapan UMNO sudah tentunya agar rakyat marhaen memandang isu ini bukanlah sebagai perkara yang serius. Rakyat yang sedar dan celik akal akan mudah membuat penilaian bahawa 1MDB langsung tidak boleh disamakan dengan apa jua isu di era Tun Mahathir. Berbagai sekatan dan larangan diperkenalkan agar 1MDB tidak dibincangkan dimana atas alasan masih dalam siasatan. Mengapa isu Lim Guan Eng dilaporkan secara terus menerus oleh media terutamanya TV3 walaupun pada ketika kes masih disiasat? Jawapannya mudah sahaja, agar rakyat melupakan 1MDB. Relakah rakyat marhaen dengan situasi ini? Banyak lagi yang kita boleh perkatakan tentang UMNO namun dikesempatan ini cukup setakat ini sahaja. Kepada rakyat marhaen, gunakanlah kesempatan sebelum PRU14 untuk membina dan mengukuhkan prinsip untuk tidak lagi dimanipulasi oleh UMNO.
Fikir-fikirkanlah.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan