Sabtu, 24 Disember 2016

BR1M: Bantuan atau Rasuah?


Ambang tahun 2017 hanya tinggal beberapa hari lagi. Selepas itu, pastinya ramai yang ternantikan kehadiran Februari 2017. Bulan pertama pembayaran/pemberian BR1M 2017 dijadualkan. Untuk itu, penulis merasa terpanggil untuk mengukir tinta berkaitan BR1M. Tujuan penulis hanya untuk mengingatkan rakyat marhaen agar sentiasa sedar bahawa ini satu lagi bentuk 'gula-gula' yang ditaburkan UMNO agar rakyat lupa tentang kemungkaran/kedurjanaan yang UMNO lakukan kepada rakyat dan negara. Namun, penulis tidak bermaksud untuk menggesa rakyat agar tidak menerima BR1M. Orang dah bagi, ambil jaklah.

Persoalan yang sering dilontarkan berkaitan BR1M ialah adakah ia bantuan atau rasuah? Dari perspektif UMNO sudah tentu jawabannya ialah bantuan. Bantuan untuk apa? Atau kenapa rakyat perlukan bantuan sebegini? Jawaban Najib dan UMNO ialah bantuan untuk meringankan beban rakyat. Hmm...meringankan beban rakyat? Apakah yang membebankan rakyat? Bukankah Najib dan para Menteri Pasola sering melaungkan ekonomi negara adalah dalam keadaan yang baik dan GST tidak membebankan rakyat? Lalu apakah justifikasi jawaban meringankan beban rakyat itu? Penulis percaya, Najib dan para Menteri Pasola akan memberikan pelbagai jawaban yang berbeza jika diajukan soalan sebegini. Bagi rakyat marhaen yang berakal sihat dan celik hati, jawabannya hanya satu iaitu ia hanyalah retorik politik UMNO!


"BR1M diberi untuk tampung bayar GST". Itulah pengakuan Menteri Kewangan II, Johari Baharom (gambar atas). Tidakkah kenyataan seperti ini jelas menunjukkan bahawa BR1M itu memang jelas untuk mengaburi mata rakyat? Penulis percaya kenyataan Johari itu masih segar dalam ingatan rakyat marhaen. Kenyataan Johari itu juga sekaligus satu pengesahan bahawa GST memang membebankan rakyat. Daripada jawaban Johari itu juga rakyat boleh melihat yang sebenarnya BR1M hanyalah satu propaganda UMNO untuk mendapatkan undi rakyat. Tidakkah lebih efektif jika kerajaan mengambil tindakan untuk menurunkan kos sara hidup? Bak kata pepatah 'memberikan pancing lebih baik daripada memberikan ikan kepada seseorang'. Kerana dengan pancing, seseorang itu boleh mendapatkan lebih banyak ikan dan secara berterusan berbanding dengan hanya mengharapkan bantuan.


Renungkanlah wahai rakyat marhaen kata-kata Tun M dalam gambar di atas. Tidakkah anda melihat bahawa BR1M ini memang duit rakyat? Jadi mengapa harus Najib dan UMNO menyatakan bahawa ia adalah bantuan daripada kerajaan? Seperti yang telah penulis sebutkan sebelumnya, ia hanyalah retorik politik Najib dan UMNO. Popular! Itulah tujuan sebenar Najib mewujudkan BR1M. Rasa dipermainkan? Kita semua sedang dipermainkan oleh Najib dan UMNO wahai rakyat marhaen. BR1M, Skandal 1MDB, FGV, NFC dan banyak lagi adalah antara penghinaan yang dilontarkan oleh Najib dan UMNO kepada rakyat marhaen dan negara tercinta ini!

Kenyataan terbaharu Tun M yang disiarkan dalam beberapa media, "BR1M adalah satu rasuah", jelas menunjukkan bahawa Najib dan UMNO berterusan menghina rakyat dan negara dalam skala yang besar. Demi kepentingan politik mereka, maruah rakyat dan negara sanggup dipermainkan. UMNO berterusan menanam pemikiran bahawa tanpa UMNO rakyat tidak boleh hidup. Benar atau tidak hanya rakyat yang dapat menjawabnya. Dan pentas terbaik untuk menjawabnya pastinya adalah PRU14 nanti. Rakyat yang bermaruah atau rakyat yang tertunduk layu pada sandiwara UMNO? Undi anda akan menentukannya nanti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...