Belum pun sampai 100 hari sejak 'wajah baru' Parti Warisan Sabah pada 17 Oktober 2016 yang lalu. Namun, kian hari nama dan perjuangan Warisan kian meniti di bibir para Sabahan. Keahlian pelbagai kaum dan agama membuktikan betapa jelas halatuju yang ingin diperjuangkan oleh Warisan. Bayu slogan 'Sabah Ubah' menghembus kencang di setiap ceruk rantau Negeri Sabah. Penulis sendiri merasa teruja mengikuti perkembangan Warisan di media sosial (media arus perdana seperti TV3 takut nak buat coverage). Di negara yang dicengkam kleptokrasi ini, penulis merasa lega melihat rupanya masih ada sinar harapan untuk rakyat marhaen. Jika di Semenanjung, PPBM mendepani perjuangan menentang kleptokrasi...di Negeri Bawah Bayu, Warisan terus gah memperjuangkan rakyat yang berterusan dihimpit kleptokrasi dan auta UMNO/BN.
Setiap hari, ada sahaja ahli/cawangan UMNO/BN yang insaf dan menyertai Warisan setelah dikunjungi Siri Jelajah Warisan (SJW). Meskipun tanpa sebarang hamburan wang ringgit dan intan permata, setiap SJW sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Sabah. Meskipun berada nun jauh daripada setiap lokasi SJW Warisan, penulis masih dapat merasakan hembusan Bayu Sabah Ubah. Melihat kepada kecekalan Warisan berjuang menyedarkan rakyat tentang betapa kleptokrasi perlu dihapuskan, adakalanya penulis menitiskan airmata. Situasi sekarang memberi gambaran kepada penulis tentang suasana dan keperitan semasa menuntut kemerdekaan daripada penjajah British (meskipun penulis tidak lahir pada zaman itu).
Sebuah perjuangan pastinya akan mengharungi pelbagai dugaan dan penuh liku. Itulah hakikat perjuangan. Warisan juga tidak terlepas daripada asam garam sebuah perjuangan. Tentangan bukan sahaja datang daripada pihak pemerintah yang menggunakan media arus perdana seperti TV3, Berita Harian dan Utusan untuk menyebarkan auta malah para 'pencacai' UMNO/BN juga turut sama berauta melalui media sosial. Bak kata pepatah, Bapa Borek Anak Rintik. Pelbagai kecaman dan fitnah dilemparkan kepada Warisan. Parti PATI, kroni UMNO, parti individu, parti DSSA adalah antara auta yang sedang dicanang oleh UMNO dan 'pencacai' (aka ahli politik facebook) mereka. Auta yang langsung tidak mengentarkan Warisan. Sebaliknya auta tersebut menunjukkan betapa sempit dan rendahnya pemikiran politik UMNO dan 'pencacainya'. Bila diminta kemukakan bukti, para 'pencacai' akan kelu membisu. Bak kata pepatah, Baling Batu Sembunyi Tangan.
Apapun auta atau tohmahan yang dilemparkan, Warisan telah menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan dalam berpolitik. Lihat sahaja pada logo parti tersebut. Jelas berbeza dan keluar dari kepompong lama parti-parti tempatan Sabah. Jika sebelum ini kita akan melihat dua elemen yang sama dalam setiap logo parti tempatan Sabah iaitu 'Peta Sabah' dan 'Gunung Kinabalu' tetapi Warisan bijak memilih logonya agar mudah dikenali dan tidak dibayangi perjuangan parti tempatan Sabah yang lain. Warisan juga bijak memilih pendekatan untuk menarik lebih banyak sokongan. Pendekatan perkauman dan kebencian ditolak jauh-jauh oleh Warisan. Pendekatan kesamarataan dan parti milik bersama menjadi pilihan Warisan dalam setiap SJW yang dijalankan. Tidak terbawa-bawa dengan sentimen perkauman dan agama juga menjadi amalan Warisan. Bukan sahaja diamalkan oleh para pimpinannya malahan oleh para ahli dan penyokongnya.
Tindakan untuk tidak terpedaya dengan desakan menyertai United Sabah Alliance (USA) juga jelas mempamerkan keteguhan prinsip dan kebijaksanaan Warisan. USA diterajui oleh ahli-ahli politik yang digelar 'katak' kerana gemar lompat parti. Di mana ada 'kolam duit' di situ ada 'katak' politik. USA sebenarnya hanya menangguk di air yang keruh. Cuba mengambil kesempatan disebalik Bayu Sabah Ubah yang sedang menghembus kencang! Daripada mempersoalkan mengapa Warisan enggan menyertai USA, bukankah lebih baik jika USA dibubarkan dan sertai Warisan? Warisan tampil dengan imej bersih, seputih warna bendera parti tersebut. Bergerak sendirian (tidak menyertai USA) memastikan UMNO tidak mendapat ruang untuk memalitkan Warisan dengan sebarang isu atau skandal USA. Sabah Ubah! #RespectandSaluteWarisan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan