Khamis, 29 Disember 2016

Selasa yang tak kunjung tiba

Najib akan fail saman terhadap WSJ Selasa ini...Itulah tajuk berita Astro Awani (memetik berita The Star Online) pada 05 Julai 2015. Tajuk berita yang dicanang UMNO dan penyokongnya ke seluruh pelusuk Malaysia. Tajuk berita yang sama juga membuatkan kelompok atas pagar dan pembangkang teruja menantikan saat realiti. Namun, Selasa berganti Selasa dan bulan berganti bulan sehinggalah 2016 hampir menutup tirainya, SELASA yang dicanang tidak kunjung tiba. Seseorang yang berjawatan Perdana Menteri 'kecut' untuk mengotakan kata-katanya? Ia tampak biasa jika kata-kata itu hanya dibisikkan Najib ke telinga para Menteri Pasola. Mendapat liputan luas pelbagai media dan kemudian tiada penjelasan tentang mengapa 'Selasa' itu tidak kunjung tiba, agak luar biasa! Mungkinkah apabila Trump menduduki White House secara rasmi, 'Selasa' itu akan tiba? Dan bila 'Selasa' itu muncul, adakah saman yang akan berbicara atau sekadar menjadi sesi bermain golf bersama Trump?

Rasulullah bersabda: "Ada tiga perkara dan barang siapa terdapat di dalamnya maka ia termasuk munafik, sekalipun puasa, solat, haji dan umrah, serta ia berkata:"sungguh saya orang islam." Tiga perkara itu ialah Jika berbicara ia berdusta. Jika berjanji ia melanggarnya. Dan jika dipercayai/diberi amanat ia berkhianat." [Hadis Riwayat Muslim].

Renungkanlah hadis di atas. Tidakkah ketiga-ketiga perkara itu menjadi amalan dan pegangan Najib? Hmm...nampak gayanya 'Selasa' itu memang tidak akan tiba. Ketidak tibaan itu tentu sahaja tidak boleh dipandang sepi oleh rakyat. Ketidak tibaan itu membawa dan menghuraikan pelbagai makna. Makna yang paling asas ialah Najib seorang yang munafik. Nauzubillah min zalik. Haruskah kita mentaati seorang yang munafik? Layakkah seorang munafik menuntut wala' daripada parti dan rakyat? Apakah para YB UMNO/BN sudah buta mata, akal dan hati sehingga kekal bersama dan sanggup menuruti Najib walau ke lubang biawak? Ke manakah perginya para mufti yang berlumba-lumba mengeluarkan fatwa berkaitan Tun M dan kenyataan-kenyatan beliau? Masihkah masyarakat Felda sanggup bertuankan munafik? Tanyalah akal dan hati masing-masing, moga akan mendapat cahaya untuk meninggalkan UMNO/BN.

Makna yang kedua, kenyataan Peguam Negara, Pak Apandi yang membebaskan Najib daripada isu RM2.6 billion ternyata auta semata-mata. Sandiwara seseorang yang pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari UMNO Kelantan! Jika benar dan yakin berada di pihak yang benar, mengapa takut untuk saman? Sekadar berani menyaman penganggur yang tidak berdaya. Bacul sebaculnya! Hatta memalukan 'Pahlawan Bugis'. Jika dengan Allah swt pun Najib tidak malu apatah lagi dengan rakyat marhaen. Kerana itulah 'Selasa' tidak wujud dalam kalendar Najib. Dan Apandi pula terlalu sibuk menikmati habuannya sehinggakan tidak sempat untuk sentiasa mengingatkan Najib tentang 'Selasa'. Auta Pak Apandi itu terus menerus merobek imej negara. Seorang Peguam Negara bersetongkol dengan seorang munafik untuk memperbodohkan dan menghina rakyat dan negara.

Makna yang ketiga dan terakhir yang penulis sempat nukilkan pada catatan kali ini ialah semua tuduhan berkaitan 1MDB baik di luar dan dalam negara adalah benar. Skandal yang menjadi pokok pangkal kleptokrasi dan induk segala permasalahan politik dan ekonomi di Malaysia ini sedang cuba disembunyikan daripada pengetahuan dan ingatan seluruh rakyat. Pak Arab manalah yang malang yang sanggup mengaku memberi derma. Najib yang kemaruk populariti tidak mengambil kesempatan untuk mengukuhkan populariti dengan mengotakan saman kepada WSJ. Sebaliknya ia memilih untuk menjadi liabiliti kepada UMNO dan negara. Bagi memaksa rakyat melupakan 'Selasa' WSJ ini mungkinkah Najib akan mengarahkan agar agihan BR1M dijadualkan pada hari Selasa? Sedarlah wahai rakyat sekalian, Selasa yang tak kunjung tiba ini sahaja sudah memadai untuk membantu anda menilai siapakah Najib yang sebenarnya.

Dunia memang telah melabel Perdana Menteri Malaysia sekarang sebagai seorang 'penyamun'! Mahukah rakyat sekalian juga dilabel sebagai 'bodoh' dengan berterusan mengundi UMNO/BN? Cukuplah para Menteri Pasola sahaja yang 'bodoh'. Jangan pernah biarkan diri anda terus dalam 'kebodohan'. Tidak usah menantikan hari Selasa untuk meninggalkan dan menolak UMNO/BN selamanya. Lakukannya sekarang! #SelamatkanMalaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...