Selain politik perkauman dan sentimen agama, menangguk di air yang keruh adalah satu lagi ciri tipikal UMNO dalam berpolitik. Dan di kala menangguk di air yang keruh itu 'kebodohan' para pemimpin UMNO, ahli serta pencacainya seringkali terdedah. Terbaharu, tindakan Ahli Parlimen Sri Gading Aziz Kaprawi cuba mengheret Sultan Johor ke dalam kancah politik. Berselindung disebalik kesetiaan kepada Sultan Johor, Aziz Kaprawi mempersoalkan kesetiaan Presiden PPBM TS Muhyiddin Yassin terhadap Sultan Johor berhubung isu projek pembangunan Forest City, Johor Bahru. 'Kebodohan' Aziz terserlah apabila dia melihat isu itu dari perspektif kesetiaan sedangkan hakikatnya isu yang berbangkit ialah kedaulatan dan prinsip. Hmm...Aziz persoalkan kesetiaan ya. Mari kita tanyakan soalan yang sama kepada Aziz untuk melihat bagaimanakah reaksinya dan sebijak mana dia menjawab soalan berkaitan 'kesetiaan'.
Umum mengetahui tentang polemik antara TMJ dan Annuar 'Panamera'. Tindakan 'raja putar belit dan u-turn' untuk mencampuri urusan JDT telah menimbulkan kemurkaan TMJ. Jika benar Aziz Kaprawi jujur dalam kenyataannya bahawa tindakan Tun M yang mempersoalkan Forest City menyinggung perasaan Sultan Johor dan dia semdiri turut tersinggung kerana itu adalah satu bentuk campurtangan dalam urusan Negeri Johor, sudah pasti dia akan mempunyai perasaan yang sama apabila Annuar 'Panamera' menyatakan bahawa kenyataan TMJ berhubung penajaan pasukan bolasepak Kelantan sebagai 'hujah-hujah yang bodoh'. Rakyat tidak mendengar walau sekelumit pun ungkapan tersinggung daripada Aziz ekoran kenyataan Annuar 'Panamera' itu. Sebaliknya hanya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau yang bersuara menegur Annuar 'Panamera' agar lebih fokus kepada kerja-kerja parti.
Di manakah Aziz Kaprawi ketika Ismail Sabri membuat pengakuan seperti dalam gambar di atas? Tidak mendapat akses kepada berita tersebut kerana sibuk dengan aktiviti memancing seperti Annuar 'Panamera'? Atau 'kelajuan internet yang perlahan' menjadi pilihanmu wahai Aziz seperti mana dakwaan karut Salleh Keruak tentang kecenderungan kelajuan internet pilihan rakyat Malaysia? Sudah terang lagikan bersuluh, Pak Menteri pun mengakui MARA terjejas dengan tajaan Red Warriors (Kelantan). Jika benar kesetiaanmu tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Johor, mengapa tidak bersuara tentang perkara ini wahai Aziz Kaprawi? Desaklah Annuar 'Panamera' untuk memohon maaf secara terbuka kepada TMJ. Pengakuan Pak Menteri itu membuktikan dakwaan TMJ terhadap Annuar 'Panamera' adalah benar! Jangan hanya berkokok jika ia melibatkan pembangkang tetapi memilih untuk menikus dan 'mengepit' bila ia melibatkan parti sendiri!
Sikap membisu Aziz Kaprawi berhubung polemik TMJ dan Annuar 'Panamera' membuktikan betapa desakannya terhadap TS Muhyiddin Yassin hanyalah sandiwara politik UMNO semata-mata yang jelas bertujuan memainkan sentimen kenegerian bagi meraih undi simpati khasnya daripada para pengundi FELDA. Ini bukanlah kali pertama Aziz kaku membisu jika suatu isu melibatkan UMNO dan Johor (UMNO vs Johor). Ketika Sultan Johor meluahkan pandangan Baginda tentang GST, Aziz Kaprawi juga memilih untuk menyembunyikan 'telurnya' di belakang topeng kesetiaan kepada presiden UMNO. Tembelang kesetiaan Aziz Kaprawi kepada Sultan dan negeri Johor sebenarnya sudahpun 'pecah berderai' ketika dia memilih untuk tidak berjuang bersama TS Muhyiddin Yassin menentang kleptokrasi dan oxymoron Najib! Layakkah orang yang tidak setia kepada prinsip sebenar demokrasi untuk mempersoalkan kesetiaan orang lain?
Gambar atas merupakan cerita terbaharu melibatkan JDT yang dimiliki oleh TMJ. Inilah peluang terbaik bagi Aziz Kaprawi untuk membuktikan kesetiannya kepada Sultan Johor, TMJ dan Negeri Johor memang tidak berbelah bahagi. Beri amaran awal secara terus kepada Annuar 'Panamera' agar tidak cuba menangguk di air yang keruh berhubung 'perpisahan' jurulatih JDT Mario Gomez dengan JDT! Dan jadilah orang yang pertama yang akan 'membelasah' Annuar 'Panamera' jika 'raja putar belit dan u-turn' itu melakukannya juga. Ada berani Aziz? Penulis tidak percaya Aziz Kaprawi akan melakukannya. Jika benar dia memang seorang yang setia, mengapa memilih untuk berwala dengan Najib dan membelakangkan kepentingan rakyat? Apakah janji Aziz semasa PRU? Mementingkan rakyat atau Najib? Kekal setia bersama parti yang sudah tidak relevan lagi hanya membawa satu makna iaitu individu berkenaan juga sudah TIDAK relevan lagi! Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan