Isnin, 16 Januari 2017

Polemik BR1M bukti UMNO terus 'perbodohkan' Sabah


Ucapan keramat Tun M semasa Pelancaran Rasmi PPBM pada 14 Januari 2017 masih lagi cuba 'dilencongkan' oleh UMNO dan para media pro parti yang kian 'membusuk' dan tidak lagi relevan itu. Ucapan itu jelas mempamer aura lama mantan PM yang memang terkenal sebagai berjiwa rakyat. Memahami denyut nadi rakyat terutamanya rakyat yang telah 'dipukau' dengan prinsip 'Cash is King' ciptaan Najib, Tun M bersedia untuk mengekalkan BR1M andai Pakatan Harapan memenangi PRU14 jika itu yang dikehendaki oleh rakyat tetapi menegaskan ia tidak boleh digunakan sebagai 'umpan' oleh mana-mana parti yang memerintah. UMNO melalui media arus perdana yang dikawalnya, masih lagi berusaha menyebarkan berita palsu mengenai intipati ucapan Tun M itu. Rakyat pastinya tertanya-tanya berapa lamakah media pro UMNO akan menjaja auta tersebut sekaligus memanjangkan lagi polemik mengenai BR1M?

Apakah makna polemik BR1M ini kepada rakyat Sabah? Dari perspektif UMNO, kita dapat melihat ianya satu gambaran bahawa rakyat Sabah adalah tidak penting kepada UMNO. Rakyat Sabah hanya akan diberi perhatian oleh UMNO dikala bayang-bayang PRU mula menjelma. Ini kerana undi rakyat Sabah sangat penting kepada 'survival' UMNO. Manakan tidak, negeri Di Bawah Bayu itu menawarkan 25 buah kerusi parlimen. Satu jumlah yang sangat lumayan untuk UMNO kehilangannya. Kenyataan ini pastinya akan disangkal oleh UMNO dan akan dikatakan hanyalah fitnah untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri. Adakah UMNO dan para media 'pemujanya' berani mengalunkan nada yang sama terhadap negara-negara yang sedang membicarakan/mendakwa Skandal 1MDB? Apa sahaja kenyataan daripada pihak pembangkang akan sentiasa dikatakan oleh media pro UMNO sebagai cubaan untuk menjatuhkan Najib sebagai PM!


Adakah Sabah tidak mempunyai sebarang isu terutamanya isu membabitkan rakyat? Adakah Sabah cukup kaya sehinggakan tidak perlu bagi media arus perdana meyiarkan berita mengenai negeri tersebut agar ia mendapat perhatian pihak pemerintah? Atau UMNO dan media arus perdana khuatir jika mereka membuat liputan mengenai Sabah, 'pekung' mereka akan terdedah? Rakyat Sabah sekalian, bukalah mata hati dan akal anda! Dalam sehari dua ini UMNO dan media arus perdana telah menunjukkan yang 'melencongkan' intipati ucapan Tun M lebih bernilai bagi UMNO daripada anda rakyat Sabah! Tidak cukup dengan menidakkan hak Sabah sebagai 'rakan kongsi' dalam Persekutuan Malaysia, UMNO Najib dan Musa Aman menganggap rakyat Sabah sebagai tidak mempunyai nilai berita. Tidakkah itu satu bentuk penghinaan? Di manakah sudah janji Najib untuk membincangkan pengembalian MA63 kepada status sebenarnya?

Wahai rakyat Sabah, masihkah anda ingat kejadian banjir kilat yang melanda Kota Belud? Anda bandingkanlah sendiri respon UMNO dan para media arus perdana dalam melaporkan kejadian itu dengan kepantasan mereka 'memusing' cerita berkaitan ucapan Tun M. Bandingkan juga ia dengan kejadian banjir kilat di Johor Bahru (JB). Tidak perlu bagi UMNO untuk menunggu hujan berhenti untuk mengeluarkan kenyataan berhubung penyebab banjir di JB (parit tersumbat yang disalahkan). Kes ini mungkin kelihatan remeh terutamanya di mata para 'pemakan dedak'. Tetapi keseriusan terhadap perkara remeh itulah yang akan memberi gambaran tentang setinggi atau serendah mana anda di mata UMNO Najib dan Musa Aman! Tidakkah rakyat Sabah merasa tersinggung bila mana para menteri UMNO seperti Nazri Aziz lebih menghargai orang Bangladesh berbanding Sabahan? Sedarlah wahai rakyat Sabah! Jangan biarkan fatamorgana UMNO terus 'menipu' dan 'memperbodohkan' anda!


Mengapa polemik BR1M ini lebih penting berbanding rakyat Sabah? BR1M adalah manifestasi 'Cash is King' ciptaan Najib. Sudah tentu berjuang dalam polemik BR1M adalah lebih penting kerana bagi UMNO ia bermakna mempertahankan Najib. Bak kata Musa Aman. BR1M adalah hasil usaha kerajaan di bawah pentadbiran Najib. Oleh itu tiada siapa yang berhak mendapat kredit (pujian/penghargaan) daripadanya (BR1M) selain daripada Najib. Pernahkah anda bertanya kepada ahli-ahli politik seperti dalam gambar di atas, apakah yang mereka perjuangkan untuk rakyat Sabah? Tanyakan kepada mereka siapakah yang lebih penting dalam perjuangan politik mereka, Najib atau rakyat Sabah? Sama ada anda adalah 'pemakan dedak' atau tidak, anda pasti tahu jawaban bagi kedua-dua soalan tadi ialah NAJIB! PRU14 semakin menghampiri, pilihan ditangan anda sendiri wahai Sabahan. Terus melukut di tempat sendiri atau bangkit menuntut hak yang sepatutnya! Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...