Khamis, 5 Januari 2017

Politik Sabah: Sejarah telah membuktikan



Di sebalik riak wajah tenang yang cuba dipamerkan UMNO untuk menyembunyikan kegusaran mereka, keunikan politik Sabah masih kekal segar dalam galeri sejarah politik negara. Negeri Di Bawah Bayu ini kekal memegang rekod sebagai negeri yang paling banyak bertukar ganti parti pemerintah di Malaysia. Bermula dengan USNO dan diikuti oleh Berjaya, PBS dan UMNO/BN. Sejarah politik Sabah juga telah membuktikan bahawa pada saat rakyat Sabah sedar yang mereka telah 'ditipu/diabaikan' oleh parti pemerintah, mereka akan meledakkan kemarahan itu pada PR Negeri dengan menukar parti pemerintah! Kepada Musa Aman dan UMNO, sebarkanlah auta kalian sementara masih berkesempatan! Rakyat Sabah pastinya akan menuntut keadilan bagi setiap bait penipuan yang kalian telah lakukan. Bayu Sabah Ubah yang kian hari kian meniti di bibir dan hati para Sabahan pastinya cukup merisaukan Musa dan UMNO.

Parti Berjaya (Harris Salleh) dan PBS (Pairin Kitingan) telah membuktikan tiada yang mustahil dalam soal menukar parti pemerintah di Sabah. Kini tugas mencabar kemustahilan dan membawa perubahan digalas pula oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diterajui oleh DS Shafie Apdal, mantan Menteri Persekutuan (pernah menjawat pelbagai portfolio). Seringkali kita mendengar hujah UMNO agar rakyat Sabah menolak Warisan kerana parti tersebut masih 'hingusan' dan belum diuji kemampuannya untuk memerintah. Satu hujah yang jelas menunjukkan bahawa kata-kata 'Umngok dan Bongok memang Secocok' adalah benar. Tidakkah Musa dan UMNO melihat yang Warisan ini dipimpin oleh para ahli politik yang cukup berpengalaman dan ditambah lagi dengan golongan muda yang profesional? Bukankah ketika Berjaya dan PBS mencabar kemustahilan, pihak pemerintah ketika itu mendendangkan nada yang sama?



Suasana seperti dalam gambar di atas pastinya meresahkan Musa dan UMNO. Imej bersih para kepimpinan Warisan memudahkan parti tersebut menarik sokongan rakyat Sabah. Pada masa yang sama, imej bersih tersebut menjadikan Musa dan UMNO 'mati kutu' untuk menimbulkan isu. Almaklum, UMNO dan seks berpisah tiada. Kita telah melihat bagaimana UMNO menggunakan skandal seks sebagai senjata utama untuk menyerang lawan. Rasuah? Siapakah pemimpin Warisan yang boleh diserang dengan isu tersebut? Jawabannya, TIADA! Lalu kerana itulah Musa dan UMNO melalui pencacai/cybertrooper mereka melemparkan tuduhan bahawa Warisan adalah parti PTI. Umngok dan Bongok memang Secocok. Mana mungkin ROS meluluskan penubuhan Warisan jika ia memang parti PTI. Sentimen perkauman/agama adalah satu lagi senjata yang digunakan Musa dan UMNO untuk menyerang lawan. Tetapi ternyata Warisan cukup matang untuk menyerap serangan tersebut.

Hanya 30 kerusi lagi. Itulah angka yang diperlukan untuk menukar parti pemerintah di peringkat Persekutuan. Sabah yang menyediakan 25 kerusi pastinya sangat kritikal bagi pihak pemerintah. Manakala keputusan pilihanraya negeri yang lepas menunjukkan rakyat Sabah sudah mula mempersoalkan kejujuran parti pemerintah. UMNO/BN memenangi 48/60 kerusi yang dipertandingkan. Angka tersebut bukanlah satu jaminan yang boleh digunapakai Musa dan UMNO untuk memperkecilkan kemampuan Warisan. Ledakan teknologi dunia memberi banyak alternatif kepada rakyat khasnya rakyat Sabah untuk mengakses maklumat berkaitan kemungkaran yang dilakukan atau melibatkan Musa dan UMNO. TV3 suku (istilah netizen) tidak lagi menjadi sumber maklumat yang utama. Skandal balak yang melibatkan Musa Aman pastinya sangat menarik perhatian para Sabahan untuk dirungkai. Dan peluang terbaik untuk itu adalah dengan menukar parti pemerintah!



Kepada rakyat Sabah, jangan lagi biarkan diri anda terus diperbodohkan dan menjadi kuda tunggangan sebuah parti pemerintah yang korup dan mengamalkan kleptokrasi. Adakah anda fikir perbuatan 'mencuri' wang rakyat dan negara itu satu perlakuan yang mulia? Sanggupkah anda terus bersekongkol dengan dosa-dosa UMNO? Jika dahulu anda mungkin boleh berkata "saya tiada pilihan. Tiada parti yang benar-benar memperjuangkan rakyat Sabah semenjak UMNO memerintah Sabah". Tetapi kini anda mempunyai alternatif yang lebih baik. Rahsia disebalik kejayan Berjaya dan PBS dahulu ialah kerana mereka tahu akan kemungkaran parti pemerintah. Rahsia yang sama ditambah lagi dengan imej bersih para pemimpinya, menjadikan Warisan satu pilihan yang lebih menjanjikan kebaikan dan perubahan positif kepada rakyat dan negeri Sabah. Jom Sabah Ubah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...