Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Bahri M.Zain (gambar atas) memilih untuk bersara dua tahun lebih awal daripada yang sepatutnya. Persaraan beliau berkuatkuasa 30 Disember 2016. Persaraan beliau dikatakan didorong oleh kekecewaan terhadap undang-undang 'sarang labah-labah' yang sedang berlaku di Malaysia. 'Pesalah kecil' diambil tindakan sedangkan 'pesalah besar' bebas bermaharajalela. Bahri merupakan teraju utama dalam siasatan kes SRC International (SRC) yang membawa kepada penemuan RM42 juta dana SRC di dalam akaun Najib. Kes seperti ini biasanya boleh dibawa ke muka pengadilan tetapi lenyap begitu sahaja, ujar beliau. Kenyataan Bahri ini merupakan satu tamparan kepada Najib dan UMNO. Beliau pastinya mengetahui dengan jelas pesalah-pesalah terlibat dalam SRC. Jika beliau berani mengambil keputusan untuk bersara awal, tidak mustahil beliau juga akan membuat pendedahan mengenai kes SRC.
Sebelum bersara, pastinya gerak geri Bahri sudah diperhatikan UMNO. Ini terbukti apabila salah seorang Menteri Pasola, Rahman Dahlan (gambar atas) tidak menunggu lama untuk membuat kenyataan balas. Kenyataan Rahman yang disiarkan oleh Malaysia Outlook ternyata paling sesuai ditujukan kepada dirinya sendiri dan UMNO. Rakyat memang tahu tentang doktrin pengasingan kuasa dalam negara ini. Yang menjadi persoalan, pelaksanaannya di era Najib! Sejak akhir-akhir ini sebarang kes yang melibatkan pimpinan UMNO mahupun ahlinya seringkali diklasifikasikan sebagai 'tiada kes' atau disiasat dibawah seksyen yang tidak sepatutnya. Keadaan seperti ini seolah-olah memberi gambaran bahawa doktrin pengasingan kuasa hanyalah sandiwara semata-mata kerana hakikat yang kelihatan ialah UMNOlah penyiasat, pendakwa dan hakim! Rakyat mengkritik UMNO dikatakan menghina tetapi Pemimpin UMNO menghina rakyat dikatakan hak.
'Bahri next move' pastinya akan menjadi perhatian selepas kenyataan terbaharunya (gambar atas). Kenyataan Bahri itu adalah reaksi kepada kenyataan balas Rahman Dahlan berhubung persaraan awal Bahri daripada SPRM. Malaysiastylonews turut memuatkan kenyataan Bahri yang sinis tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam iaitu 'pemakan dedak berada di mana-mana'. Kenyataan tersebut pastinya satu tamparan hebat kepada Rahman Dahlan yang seringkali tampil dengan kenyataan-kenyataan mempertahankan Najib. Bahri juga memberi peringatan agar perasuah jangan berlagak sebagai juara rakyat. Peringatan yang cukup pedas dan pastinya akan membuatkan Rahman Dahlan seperti disimbah lada. Siapakah yang sering berlagak sebagai juara rakyat? Pastinya orang yang berbangga dengan pengikut twitter seramai 3.2 juta itulah yang seringkali berlagak sebagai juara rakyat. Bahkan ketika PAU2016, orang itu berucap bahawa dia adalah 'juara'.
Dengan janjinya untuk menjawab setiap kenyataan Rahman Dahlan terhadapnya pada masa akan datang (pulih daripada sakit), Bahri menghangatkan lagi kancah politik Malaysia. Mungkinkah beliau akan menyertai politik? Jika ya, parti mana yang akan menjadi pilihan beliau? Najib pastinya tidak gembira dengan perkembangan ini. Seperti juga Annuar Musa, Rahman Dahlan dilihat sebagai liabiliti kepada UMNO dengan auta-auta yang tidak bernas. Diam membisu ketika Kota Belud dilanda banjir kilat tetapi memilih untuk menyalak lantang dalam isu persaraan awal Bahri, itulah Rahman Dahlan. Sementara itu, satu lagi kenyataan Bahri yang disiarkan malaysiastylonews dalam ruangan yang sama ialah "saya tahu semua pemberi rasuah dan juga pengambil rasuah". Ini pastinya merujuk kepada kes SRC. Ayuh Bahri dedahkan pekung dan tembelang UMNO berhubung kes SRC!
Apakah langkah Bahri yang seterusnya dan sama ada beliau akan menyertai politik atau tidak, sama-samalah kita nantikan.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan