Khamis, 12 Januari 2017

UMNO kian berasap, menunggu saat untuk lebur?


Sekian lama Skandal 1MDB cuba dibenamkan oleh Najib dan para subahatnya daripada terus diketahui rakyat. Namun pada 11 Januari 2017, kejayaan awal mula memihak perjuangan menentang kleptokrasi Najib apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan MB Selangor, DS Azmin Ali dan bekas ahli UMNO M.Zahid Md Arif untuk mencabar tindakan Ketua Audit Negara yang sebelum ini mengklasifikasikan Skandal 1MDB sebagai rahsia rasmi. Mahkamah memutuskan kedua-dua permohonan itu mempunyai merit untuk didengar sekaligus menolak bantahan awal pencacai Najib. Pencacai Najib memfailkan bantahan awal atas alasan permohonan itu adalah remeh dan menyusahkan. Hmm...remeh dan menyusahkan? Nampak sangat Najib dan pencacainya menghina rakyat dan negara. Tang mana keinginan rakyat untuk mengetahui kebenaran mengenai Skandal 1MDB itu dianggap remeh dan menyusahkan?

Azmin dan Zahid memohon agar Skandal 1MDB diklasifikasikan semula sebagai dokumen awam. Jika permohonan tersebut diluluskan mahkamah, maka rakyat buat pertama kalinya boleh mengetahui dari A hingga Z berhubung Skandal 1MDB daripada sumber Audit Negara. Namun timbul satu persoalan, sekian lama dokumen tersebut berada dalam genggaman para pencacai Najib...adakah ia masih dokumen yang asal atau dokumen yang telah diubahsuai mengikut kehendak Najib? Sarawak Report pada 30 Mei 2015 mendedahkan bahawa Singapura mendakwa 1MDB memberikan maklumat palsu berhubung akaun anak syarikatnya di BSI Singapura. Tidak mustahil dokumen asal Skandal 1MDB juga akan menerima nasib yang sama. Jika ia masih dokumen yang asal (kita berharap ianya yang asal), maka Najib bolehlah mengucapkan selamat tinggal kepada PRU14 kerana dokumen tersebut akan membuka jalan kepada pendakwaan di mahkamah!


Selain Skandal 1MDB, polemik Annuar Musa dan TMJ terus membuatkan UMNO berasap. Manakan tidak, tindakan Ketua Penerangan UMNO, Annuar 'Panamera' Musa terus menggunakan bolasepak untuk kepentingan politiknya termasuk mencampuri urusan JDT seringkali menerima sindiran sinis daripada TMJ. Menuju gerbang PRU14, sangat jelas tindakan para Menteri Pasola yang seringkali menggunakan media demi kepentingan peribadi mereka bukan sahaja mengorbankan media itu sendiri (seperti Utusan yang berhadapan dengan kebangkrapan) tetapi juga mula memakan diri. Terbaharu, dalam catatan facebook Johor Southern Tigers, TMJ memberi amaran kepada Annuar Musa (gambar atas, petikan kata-kata TMJ) agar jangan mengejutkan harimau yang sedang tidur. 'Harimau' yang dimaksudkan sudah tentu merujuk kepada Baginda Sultan Johor, TMJ dan Johor sendiri.

Status Johor sebagai 'fixed deposit' UMNO/BN pastinya dalam persoalan jika amaran TMJ itu diperhalusi dengan teliti. Apakah jika kemurkaan TMJ meledak, baginda akan menggesa rakyat Johor untuk menolak UMNO/BN? Sudah tentu amaran TMJ itu membuatkan UMNO yang sudah busuk bertambah lembik. Dan Annuar juga jelas membahayakan peluangnya sendiri untuk bertanding dalam PRU14 kerana jelas semakin hari dia semakin menjadi liabiliti kepada UMNO. Majoriti undi hanya 974 pada PRU13 di P26 Ketereh bukanlah suatu yang boleh dibanggakan. Mungkinkah Annuar akan meninggalkan Ketereh sebagaimana dia meninggalkan KAFA dikala persatuan itu sudah tidak selamat lagi untuknya. Kawasan Parlimen manakah yang akan menjadi kuda tunggangan Annuar pada PRU14 nanti? Annuar adalah seorang nakhoda yang akan lari meninggalkan kapal dan kelasinya bila ombak besar datang melanda.


Polemik terbaharu Annuar dengan TMJ membawa kepada pendedahan beberapa dokumen (gambar atas). Agak menarik, adakah ia diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi? Dan jika ya, beranikah IGP Khalid untuk menyiasat TMJ? Pendedahan ini jelas menunjukkan siapakah Annuar Musa khususnya dan UMNO amnya. Untuk apa UniKL dan MARA menaja pasukan bolasepak Kelantan? MARA yang diberitakan baru-baru ini telah menjual satu daripada empat asetnya di Australia untuk membayar hutang pinjamannya, mempunyai wang untuk menaja sebuah pasukan bolasepak? Siapakah Pengerusi MARA? Annuar Musa! Annuar juga Presiden KAFA ketika itu. Agensi yang dipengerusikan oleh Annuar menaja sebuah pasukan bolasepak yang mana presidennya adalah Annuar sendiri. Siapakah yang untung? MARA, Kelantan atau Annuar? Dan jika terbukti ada unsur salah laku dalam dokumen-dokumen tersebut siapakah yang akan menerima padah? Najib, UMNO atau Annuar?

UMNO kian berasap hanya menanti masa untuk melebur! Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...