Berapa kalikah dalam sehari anda akan melihat, membaca atau mendengar berita seperti dalam gambar di atas dicanang oleh UMNO, para 'pencacainya' dan TV3? Hampir setiap masa bukan? Bagi mereka yang masih buta mata hati dan akal pastinya akan berkata, "Wah banyaknya projek yang dijayakan oleh Najib". Jangan mudah terpedaya. Kerapnya berita seperti dalam gambar di atas dikumandangkan jelas menunjukkan betapa UMNO sekarang berada dalam ketakutan yang amat sangat! UMNO sebenarnya sedar betapa rakyat sudah tidak berkenan lagi dengan parti tersebut. Oleh itu, mereka berusaha keras untuk memperdayakan rakyat daripada mengingati 'dosa-dosa' UMNO. Mereka tahu rakyat tidak akan memaafkan 'dosa-dosa' tersebut dan akan menuntut keadilan apabila tampuk pemerintahan beralih tangan.
UMNO sedang lari dan akan terus melarikan diri daripada isu sebenar di negara ini. KLEPTOKRASI, itulah perkara yang UMNO cuba sorokkan daripada penglihatan rakyat. Skandal seperti 1MDB, FGV, NFC dan banyak lagi tidak diberikan liputan luas oleh media arus perdana yang merupakan rakan subahat UMNO. Menjana keuntungan daripada kesengsaraan pihak lain. Pemimpin UMNO juga sentiasa berdolak dalik apabila diasak dengan isu kleptokrasi. Seringkali menyembunyikan butiran projek (seperti kos sebenar dan proses bidaan), dana projek dan sebagainya. Mengapa harus berdalih jika yakin berada di pihak yang benar? Pembohongan itu dilakukan kerana jika didedahkan/telus, perkara pertama yang akan kelihatan ialah KLEPTOKRASI! UMNO cuba memerangkap pihak pembangkang agar terjerat dalam perdebatan mengenai pembangunan sekaligus berterusan membutakan mata hati dan akal rakyat.
Selain daripada pembangunan, UMNO juga sering memainkan sentimen agama untuk menutup amalan kleptokratnya. Penduduk Malaysia yang majoritinya Islam nampaknya diambil kesempatan oleh UMNO. Memperkudakan agamawan demi mengekalkan kuasa. Lihat sahaja semasa PAU2016, UMNO mengeksploitasi sepenuhnya sentimen agama untuk meraih sokongan para perwakilannya. Wala' dituntut daripada ahlinya. Slogan Wasatiyah Najib dilaungkan oleh TV3. Imej 'Islamic' cuba dipaparkan oleh Najib agar rakyat kebingungan dalam memikirkan benar atau tidak Najib terlibat dalam salahlaku seperti Skandal 1MDB. Jika benar berwasatiyah, mengapa bercuti di Australia dikala rakyat 'dihadiahkan' dengan kenaikan harga minyak sebagai 'hadiah' tahun baharu? Teguran para ulama hanya diberikan liputan jika ianya ditujukan kepada pembangkang. Dan para ulama pula hanya mengunci mulut terhadap kemungkaran pihak UMNO.
Ingatlah wahai rakyat marhaen, apa jua isu yang UMNO cuba timbulkan sekarang ini bukanlah untuk mendengar rintihan rakyat. Tetapi sekadar usaha untuk mengalih tumpuan daripada isu sebenar yang melanda negara ini iaitu KLEPTOKRASI. Gunakan mata hati dan akal anda sebaiknya nescaya anda akan melihat dalam setiap tindakan dan kenyataan UMNO ianya berisi auta yang melebihi fakta. PAU2016 sendiri menjadi bukti betapa UMNO tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat. Mempertahankan kepimpinan mereka adalah objektif utama UMNO. Slogan 'rakyat didahulukan' hanyalah retorik politik semata untuk meraih undi. Janji ditepati menjadi Janji dicapati!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan