6 Oktober 2016 negara dikejutkan dengan berita rampasan terbesar yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM. RM114.5 juta dirampas SPRM daripada 2 Pegawai Kanan Jabatan Air Negeri Sabah. Pegawai yang masing-masing berpangkat Pengarah dan Timbalan Pengarah itu direman selama satu minggu untuk membantu siasatan pada ketika itu. Sepantas kilat juga macai dan pendedak UMNO 'menjatuhkan' hukuman rasuah kepada mantan Menteri KKLW, DS Shafie Apdal. Siasatan SPRM baru hendak bermula tetapi macai dan pendedak UMNO sudah menjatuhkan hukuman kepada DSSA kononnya ia merupakan penyelewengan beliau dalam Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah. Seperti juga para pemimpin UMNO, macai dan pendedak sering berhujah tanpa menyelidiki fakta terlebih dahulu. BALB adalah satu projek yang dilaksanakan secara rundingan terus. Dan dalam rundingan terus, pihak yang bertanggungjawab ialah Menteri Kewangan Persekutuan dan Menteri Kewangan Sabah. Anda pasti tahu siapa mereka!
Harapan rakyat Sabah begitu menggunung untuk melihat skandal rasuah ini dibicarakan. Harapan ini diperkukuhkan lagi apabila media seperti Astro Awani memuatkan berita mengenainya dengan tajuk seperti dalam gambar di atas (kiri). Namun harapan tersebut berderai apabila pendakwaan dibuat atas pertuduhan penggubahan wang haram! Begitu banyak wang tunai dan harta yang dirampas dan kesudahnnya penggubahan wang haram? Itu antara reaksi majoriti rakyat apabila pendakwaan bermula. Dan kemudian surat jawaban SPRM kepada Pemuda Amanah yang tersebar di facebook menambah kekecewaan rakyat terhadap skandal tersebut. SPRM mengesahkan tiada unsur rasuah dan ia diluar bidang kuasa mereka. Jika bukan bidang kuasa SPRM, bidang kuasa siapa? Menteri Kewangan Persekutuan dan Menteri Kewangan Sabah? Atau bidang kuasa UMNO? Adakah Skandal JANS ini hanyalah satu permainan politik?
Permainan politik? Mungkin juga. Kebetulan atau sudah dirancang, Skandal JANS terbongkar selepas DS Shafie meninggalkan UMNO yang semakin korup dan 'gila'. DS Shafie pastinya sangat merisaukan UMNO kerana sekian lama bersama parti itu pastinya banyak rahsia dan salah laku UMNO yang diketahui oleh beliau. Tidak mungkin UMNO akan membiarkan DS Shafie mendedahkan itu semua kepada rakyat khasnya rakyat Sabah. Cubaan menimbulkan skandal palsu DS Shafie dengan Zahida Rafik gagal kerana ditolak rakyat. Maka timbullah Skandal JANS! Pada peringkat awal media pro UMNO bagaikan senada seirama dengan para macai dan pendedak. Laporan mereka seringkali cuba menggambarkan bahawa ia memang tanggunjawab Menteri KKLW secara 100%. Namun mereka terlupa yang zaman pemerintah dan 'macai' media serba tahu sudah lama berkubur! Jawaban mudah dan bersahaja DS Shafie Apdal mematahkan auta mereka. Rujuk Treasury Instruction, itu jawaban DS Shafie yang menyebabkan tumpuan beralih kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.
Jawaban DS Shafie dan halatuju siasatan SPRM mula merisaukan UMNO khasnya Musa Aman. Anifah Aman yang juga adik kepada Musa Aman adalah yang pertama bertindak melepaskan onar. Menteri Luar itu membuat penafian bahawa Pengarah JANS adalah merupakan Bendahari UMNO Bahagian Kimanis. Terasa kah Anifah? Ia disusuli dengan kenyataan 'bacul' Musa dalam Sidang DUN Sabah yang menuduh DS Shafie bertanggungjawab dalam BALB. Hanya satu pernyataan dan tidak pernah diulangi lagi oleh Musa terutama selepas DS Shafie mencabarnya untuk mengulangi kenyataan itu di luar DUN. Satu demi satu suspek ditangkap SPRM untuk membantu siasatan dan ia semakin menghala kepada Musa dan seorang lagi 'pengampunya' iaitu Ramlee Marhaban. Dan dikala seluruh negara begitu teruja untuk melihat kesudahan 'drama' siasatan SPRM berhubung Skandal JANS, 'spin' berlaku disaat akhir apabila pendakwaan adalah dibawah pertuduhan penggubahan wang haram!
DS Shafie cuba dijadikan 'mangsa' dan 'pemangsa' (Musa Aman) juga hampir menjadi mangsa. Menarik sungguh Skandal JANS ini. Timbul satu persoalan, siapakah yang sebenarnya akan mendapat keuntungan daripada skandal ini? Adakah orang itu juga adalah dalang disebalik 'meletupnya' skandal ini? Maka kedengaranlah desas-desus yang mungkin Salleh Keruak adalah orangnya. Benarkah? Mungkin benar, apatah lagi jika melihat kepada perlakuan Salleh yang sering 'menjilat kahak' Najib. Sering mempertahankan Najib sehingga ke tahap yang seolah-olah Najib itu maksum. Bebas daripada sebarang khilaf! Sudah menjadi tabii orang UMNO...tiada sokongan terhadap pimpinan parti tanpa 'dedak'. Adakah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah adalah 'dedak' yang diidamkan oleh Salleh? Kekayaan Musa yang dilaporkan mencecah RM1.5 billion mungkin menimbulkan 'iri hati' Salleh. Benarkah Skandal JANS adalah permainan politik Salleh? Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan