Rabu, 11 Januari 2017
Musa Aman dan pencacainya kian terdesak
UMNO dan budaya samseng memang sebati di era kleptokrasi Najib. Terbaharu pada 10 Januari 2017, aktivis muda Sabah, Jufazli Ahmad dalam catatan facebooknya memuat naik laporan polis (gambar atas) yang dibuatnya berhubung ugutan terhadapnya yang didakwa dilakukan oleh penyokong setia Musa Aman. Jufazli menyatakan bahawa salah seorang daripada suspek telah menolak kepala beliau manakala seorang lagi mengugut beliau agar tidak menentang Musa Aman. Menurut aktivis muda itu lagi kejadian itu berlaku di sebuah restoran di Sandakan. Laporan polis beliau dibuat di Balai Polis Sandakan. Untuk rekod, Jufazli adalah pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah. Gerakan tersebut aktif dalam mendedahkan salah laku dan kleptokrasi di Sabah terutamanya yang membabitkan Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah. Mungkinkah selepas ini Jufazli akan disoal siasat selama berjam-jam sebelum tindakan lanjut diambil pihak berkenaan terhadap laporannya?
Sama ada Musa terbabit atau tidak dalam kes tersebut biarlah pihak polis yang menentukan. Rakyat mengharapkan satu siasatan yang telus. Dan rakyat juga berharap agar Jufazli tidak menerima layanan yang sama dengan Rafizi Ramli ketika MP Pandan itu membuat laporan polis berhubung FGV. Pelapor disiasat selama berjam-jam dan sehingga kini belum ada pihak daripada FGV yang dipanggil untuk membantu siasatan. Kes Jufazli ini jelas membuktikan betapa budaya mengugut bagaikan sudah menjadi amalan UMNO. Baik dikalangan pimpinan mahupun para pencacainya. Adakah demokrasi di Malaysia sekarang ini hanya memberikan hak bersuara kepada UMNO dan pencacainya sahaja? Mengapa jika pihak yang tidak menyokong UMNO membuat suatu pendedahan yang melibatkan orang atasan UMNO, mereka akan diugut atau menerima ugutan? Wahai para pencacai, bukankah Najib sering melaungkan bahawa dia seorang yang berjiwa besar dan wala' telah diberikan ahli UMNO kepadanya? Jadi mengapa anda tidak dapat menerima sebarang tentangan dengan hati yang terbuka?
Menurut beberapa komen daripada netizen dalam catatan facebook aktivis muda Sabah itu, salah seorang suspek (gambar atas) adalah Pengerusi JK di sebuah masjid/surau di Sandakan. Hmm...apa nak jadilah dengan golongan agamawan UMNO ni. Adakah mereka benar-benar memahami konsep jihad dan wala'? Tapi apalah yang nak dihairankan dengan agamawan UMNO ni kan. Jika golongan agamawan atasan (dalam UMNO) pun sanggup berwala' dalam menegakkan kleptokrasi, apatah lagi jika sekadar Pengerusi masjid. Harussani tak nak keluarkan kenyataan berhubung kes ini? Masihkah Azalina akan berkata bahawa UMNO adalah platform terbaik untuk menegakkan agama selepas kes ini? Wahai rakyat marhaen khasnya yang berada di Sabah, bukalah mata hati dan akal anda. Lihatlah betapa dedak-dedak UMNO telah menyesatkan bukan sahaja rakyat marhaen malahan golongan agamawan.
Kepada pencacai UMNO yang beragama Islam, inikah yang dikatakan Islam? Menyerang ketika lawan sedang menjamu selera? Jika benar kamu (UMNO, Musa dan pencacai) berada dipihak yang tidak bersalah, mengapa setiap pendedahan yang dibuat Jufazli tidak ditentang dengan fakta? Sebaliknya kamu memilih menyebarkan auta untuk mendukung auta demi auta yang telah kamu sebarkan! Berdasarkan kes Jufazli ini, penulis percaya bukan beliau sahaja yang diugut malahan ahli cawangan di kawasan Pengerusi masjid terlibat mungkin juga menerima ugutan agar tidak menentang dan meninggalkan UMNO. Dan mungkin juga dalam tempoh yang terdekat ini suspek-suspek tersebut akan menerima gelaran Dato'? Mungkin juga mereka akan diberikan jawatan senator? Ingatlah wahai para pencacai, lagak samseng kamu tidak akan mampu mengendurkan Bayu Sabah Ubah malahan tindakan dayus kamu itu akan lebih menguatkan lagi sokongan terhadap perjuangan untuk menyelamatkan negara ini daripada terus dirosakkan oleh UMNO/BN!
Gambar atas merupakan seorang lagi suspek dalam kes Jufazli ini. Individu berkenaan dikatakan kerap memperolehi tender projek daripada Musa Aman. Adakah individu berkenaan sangat takut kehilangan sumber dedak sehinggakan sanggup mempertahankan Musa dengan cara samseng? Apakah perasaan dan tindakannya jika isteri dan anak-anaknya pula yang menerima ugutan? Dikhabarkan individu berkenaan nyaris diserang sakit jantung selepas mengugut aktivis muda Sabah itu. Berbeza dengan politik kebencian yang disebarkan UMNO, Jufazli tetap mendoakan agar si pengugut tersebut sihat walafiat. Itulah perbezaan perjuangan demi menegakkan kebenaran dengan perjuangan untuk kekal berkuasa. Apakah impak kes ini terhadap halatuju politik Musa sangat menarik untuk diikuti. Sama-samalah kita menantikan hasil siasatan pihak polis dan semoga kita tidak lagi mendengar perkataan 'tiada kes' daripada pihak yang berkenaan! Wallahualam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan