Selasa, 17 Januari 2017

Demokrasi di Malaysia menuju kehancuran?


27 Julai 2015 akan kekal dalam lipatan sejarah Malaysia sebagai detik permulaan rasmi kepada apa yang kini kelihatan sebagai 'kematian' secara perlahan Sistem Demokrasi di Malaysia. Gani Patail, Peguam Negara ketika itu dikhabarkan dalam peringkat akhir untuk memfailkan pendakwaan terhadap Skandal 1MDB. Namun, watak utama dalam skandal tersebut yang juga merupakan Perdana Menteri (PM), Najib Razak bertindak menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai PM untuk menidakkan impian rakyat untuk melihat Skandal 1MDB diadili oleh Sistem Kehakiman atau Perundangan negara. Pada tarikh 'hitam' itu, Najib menamatkan perkhidmatan Gani Patail atas alasan masalah kesihatan. Dan tanpa menunggu lama, Apandi Ali dilantik serta merta untuk mengambil alih jawatan sebagai Peguam Negara. Doktrin Pemisahan Kuasa hanya tinggal kenangan. Selepas detik hitam itu, satu persatu 'kecurangan' yang jelas bercanggah dengan sifat demokrasi yang menjadi amalan pihak pemerintah mula terdedah.

Tidak cukup dengan 'menodai' kebebasan jawatan penting seperti Peguam Negara, Najib juga mula membelakangkan Institusi Parlimen. Dalam tindakan secara tidak langsung, lebih kuasa diberikan kepada Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar untuk bertindak mengatasi Keluhuran Perlembagaan itu sendiri. Parlimen yang menjadi tempat paling luhur untuk bersuara di Malaysia pun turut 'diragut' kesuciannya. Perbicaraan atau perbahasan mengenai isu yang melibatkan PM seperti Skandal 1MDB menjadi satu kesalahan. Ahli Parlimen yang mempersoalkan status rahsia Laporan 1MDB akan dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan. Satu bentuk gangguan yang jelas ke atas Institusi Parlimen. Jika Ahli Parlimen pun mula dihadkan kebebasan mereka untuk bersuara di Parlimen, apatah lagi jika diluar Parlimen. Lebih teruk lagi, rakyat akan didakwa dan selalunya didapati bersalah jika meluahkan kemarahan atau kekecewaan mereka kepada PM dalam apa jua bentuk yang pada tafsiran Najib Razak sebagai menghinanya!


Itu hanyalah sebahagian kecil daripada 'kecurangan' terhadap demokrasi yang dilakukan oleh pihak pemerintah (Najib). Terbaharu, mantan PM dan juga Pengerusi PPBM...Tun M sekali lagi diura-urakan akan berdepan kemungkinan untuk ditahan oleh pihak polis. Khabar ini tersebar susulan tindakan Baginda Sultan Johor membidas Tun M berhubung pandangan mantan PM itu terhadap projek pembangunan Forest City di JB yang diberikan kepada syarikat daripada China. Tidak dapat dipastikan sama ada memang benar Baginda Sultan Johor mengeluarkan kenyataan sebegitu atau ianya hanya salah pemahaman oleh akhbar yang menyiarkannya (The Star). Ini bukanlah kali pertama kita mendengar desas-desus sedemikian yang tampaknya berunsur menakut-nakutkan rakyat terutamanya para ahli dan penyokong PPBM. Najib melalui agensi yang berkaitan cuba memberi amaran kepada rakyat agar jangan mempersoalkan atau membantah apa jua yang dilakukannya.

Sejak bila luahan pendapat atau ulasan berhubung artikel/berita oleh pihak lain menjadi satu kesalahan? Sejak Gani Patail 'dipecat' dan sejak Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara! Pendapat/ulasan Tun M berhubung Forest City, JB tidakpun menyentuh tentang penglibatan langsung Baginda Sultan Johor. Jikapun pendapat Tun M itu berunsur politik, pastinya ia ditujukan kepada Najib, UMNO dan MB Johor. Kepada rakyat sekalian, janganlah kita mudah merasa gentar dengan 'ugutan-ugutan' UMNO. Jika Tun M yang hampir mencecah usia 92 tahun tidak gentar dalam memperjuangkan rakyat dan negara (gambar atas), mengapa rakyat perlu mengendurkan perjuangan? Jika ura-ura penahanan Tun M menjadi kenyataan, perlukah rakyat kekal menghormati demokrasi yang kian 'dinodai'? Laporan The Star itu seharusnya tidak mengatakan yang Tun M 'sudah pergi terlalu jauh' (menyentuh isu-isu membabitkan Johor). Individu dan pihak yang selayaknya ditujukan dengan kata-kata itu ialah Najib dan UMNO!


Najib bagaikan memberi definisi baharu untuk demokrasi di Malaysia. Berdasarkan situasi semasa di negara ini, demokrasi bererti kekal setia dan menyokong Najib walaupun dalam perkara yang mungkar! Kebebasan dalam makna yang luas pada hari ini hanyalah milik Najib, UMNO, macai dan para pendedaknya. Jika anda bukan daripada golongan mereka adalah lebih baik diam daripada berkata sesuatu. Jika tidak, anda berisiko mengakhiri kehidupan anda di balik tirai besi! Itulah pemikiran yang sedang cuba dibina oleh Najib dan UMNO. Sebagaimana falsafah 'Cash is King' yang berjaya membutakan hati dan akal rakyat, Najib juga sedang cuba menanamkan kepercayaan yang sama terhadap definisi baharu demokrasi. Adakah demokrasi di Malaysia sedang menuju kehancuran dan negara sedang menuju era diktator yang penuh dengan golongan kleptokrat dan oxymoron? Masa akan memperlihatkannya. Wallhualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...