Khamis, 12 Januari 2017

Rombakan Pengerusi FELDA bukti Najib 'kesipuan' akui kepimpinan perlu diganti untuk kembalikan keyakinan


Berdepan seorang kleptokrat seperti Najib, anda perlu meneliti dengan terperinci setiap suatu tindakannya untuk memahami apakah maksud yang tersirat dalam tindakan tersebut. Enam hari lalu, Najib mengumumkan perlantikan Sharir Samad sebagai Pengerusi baharu FELDA. Perlantikan tersebut bertujuan untuk memperkukuh dan memantapkan lagi kepimpinan lembaga tersebut. Hmm... memperkukuh dan memantapkan yer? Satu bentuk pengakuan dalam nada kesipuan tentang betapa penting kepimpinan suatu organisasi digantikan apabila organisasi tersebut terpalit dengan pelbagai skandal atau isu! Pengakuan dalam nada kesipuan Najib ini seirama dengan kenyataan Shahrir yang mengatakan bahawa antara fokusnya nanti ialah menyelesaikan masalah keyakinan warga FELDA terhadap FELDA sendiri akibat masalah sistem pengurusan kepimpinan FELDA sebelumnya. Najib sebenarnya sedar bahawa dia sendirilah yang menimbulkan krisis keyakinan pelabur terhadap Malaysia. Namun ego kleptokratnya mendorong Najib untuk berusaha keras kekal berkuasa agar setiap salah lakunya tidak akan dihukum.

Dan pastinya Najib melalui nada kesipuan ini mengharapkan rakyat akan mempercayainya sekali lagi untuk memenangi PRU14 sekaligus kekal sebagai Perdana Menteri untuk sepenggal lagi. Dengan FELDA turut menjadi bahan utama dalam isu kleptokrasi Najib, pastinya MO1 sedang berusaha untuk mencari jalan bagi membolehkannya memperkudakan warga FELDA sekali lagi dan menjadikan warga FELDA sebagai 'fixed deposit' UMNO/BN pada setiap PRU. Terlalu banyak isu berkaitan FELDA yang gagal dijawab Isa Samad secara konkrit dan berfakta. Sudah tentu perkara sebegitu sangat membahayakan kedudukan politik UMNO menjelang PRU14. Maka tidak hairanlah Ahli Parlimen JB, Shahrir Samad dibawa masuk menggantikan Isa Samad. Suratan atau kebetulan, kedua-duanya adalah anak kepada 'Samad'. Suatu simbolik yang jelas menggambarkan bahawa pengerusi sahaja yang bertukar ganti, namun matlamatnya tetap sama. Bukan untuk memperkayakan warga FELDA tetapi memastikan UMNO terus memerintah!


Najib telah banyak kali terbukti bukan sahaja sebagai seorang kleptokrat malahan seorang 'oxymoron'. Rombakan Pengerusi FELDA hanyalah satu daripada bukti yang banyak yang menunjukkan Najib adalah 'oxymoron'. Apakah Najib merasakan yang kepimpinan pemerintah sekarang adalah kukuh dan mantap sehinggakan tidak perlu baginya untuk meletak jawatan sebagai tanda tanggungjawab di atas segala salah lakunya yang mencalar imej negara? Dan bagi Isa Samad dan UMNO berita-berita seperti dalam gambar di atas yang masih gagal dilaksanakan seharusnya menyedarkan mereka agar jangan takbur dalam menabur janji terutamanya menjelang PRU. Ia juga membuktikan bahawa bukan tanpa UMNO Melayu akan merempat, sebaliknya tanpa Melayu UMNO akan merempat! Kepada warga FELDA, sedarlah yang UMNO hanya memperkudakan anda demi mencapai matlamat mereka. Anda sebenarnya sedang dibiarkan mereput secara perlahan.

Janji perumahan untuk generasi kedua FELDA hanyalah sandiwara UMNO dan Najib. Jika ia dibina pun, tidak mungkin akan disiapkan 100% dalam masa yang sama. Simpan sebahagian untuk PRU yang akan datang. Itulah permainan UMNO. Tidakkah warga FELDA mengetahui bahawa orang nombor satu dalam FELDA itu ialah Perdana Menteri? Mengapa bukan Najib yang patut digantikan? Dan untuk Sharir Samad, sedarlah yang anda hanyalah alat bagi Najib untuk mengakui kesalahannya dalam nada kesipuan. Jiwa besar sang juara (Najib PAU2016) terlalu bernilai bagi UMNO untuk dikorbankan jika Najib memohon maaf secara terbuka dan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Berita seperti dalam gambar di atas hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu yang melanda FELDA. Adakah Najib akan membiarkan Shahrir mendedahkan kepincangan pengurusan Isa Samad kepada umum? Hanya kleptokrat dan oxymoron itu yang dapat menjawabnya.


Apakah yang perlu dilakukan oleh rakyat terutamanya warga FELDA tentang kesipuan Najib ini? Memaafkannya dan memberinya sepenggal lagi jawatan Perdana Menteri? Nasihat penulis, iya maafkanlah Najib tetapi bukan dengan cara memberinya kemenangan dalam PRU14. Tunjukkan kemaafan itu dengan tidak mengundi UMNO/BN pada PRU14. Bantulah Najib mengakui segala salah lakunya dengan cara membawanya ke muka pengadilan! Rakyat akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk membawa Najib ke muka pengadilan jika UMNO/BN ditumbangkan pada PRU14 nanti. Jangan biarkan diri anda pula yang kesipuan dengan berterusan menyokong UMNO/BN, kleptokrasi dan oxymoron! Jadilah bangsa yang berupaya membangunkan diri sendiri, bukannya bangsa yang meminta-minta di halaman sendiri! Bersatu kekalkan warisan anak bangsa kita dan hentikan para perompak dan penyamun politik daripada terus membuat anda kesipuan! Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...