Isnin, 2 Januari 2017

Teguran sinis TMJ terhadap pimpinan UMNO


"Tarikh untuk rakyat negara keluar mengundi sudah hampir, oleh itu jangan cuba menjolok sarang tebuan kerana kelak buruk padahnya". Itu antara tulisan terbaharu TMJ di Facebook Johor Southern Tigers yang disiarkan SinarOnline. Sikap tipikal pimpinan UMNO yang sentiasa berlagak pandai dan sentiasa betul dalam semua perkara memang wajar ditempelak. Teguran sinis TMJ ini pastinya berita ngeri untuk UMNO. Najib juga pastinya tidak akan tidur lena. Untuk rekod, Johor juga seperti Sabah dan Sarawak yang dilabel sebagai 'fixed deposit' UMNO/BN. Dengan Negeri Di Bawah Bayu sedang dilanda gelora 'Bayu Sabah Ubah' yang diterajui Warisan, perkembangan terbaharu dari negeri asal Presiden Pertama UMNO ini pastinya umpama serangan angin ahmar kepada UMNO. Rakyat marhaen pastinya tertanya-tanya apakah reaksi para Menteri Pasola seperti Abdul Rahman Dahlan dan Salleh Keruak? Mungkinkah juga kita akan mendengar kenyataan balas Harussani?

Teguran sinis TMJ ini pastinya bukan sahaja membuatkan UMNO seperti cacing kepanasan tetapi para 'pencacai' UMNO/BN akan juga akan meroyan. Sudah tentu mereka akan tetap menegakkan benang yang basah. Penulis tidak terkejut jika mereka berhujah bahawa teguran TMJ itu hanyalah isu bolasepak. Alahai para 'pencacai', sedarlah dan bukalah pintu hati dan mata akal anda. Teguran TMJ itu sangat tajam dan mendalam. Ia menyentuh soal kegagalan kepimpinan seseorang yang memegang jawatan sebagai KETUA PENERANGAN UMNO! Jika dalam memimpin sebuah persatuan bolasepak pun pemimpin tersebut gagal apatah lagi dalam soal memimpin negara. Siapakah yang percayakan orang yang gagal? Sudah tentu parti yang tidak relevan lagi sahaja yang mempercayai seorang yang gagal dan menempatkannya dalam kepimpinan parti. Hanya 'penyamun yang percayakan penyamun'. Itulah UMNO di era Najib!


UMNO dan ketamakan berpisah tiada. Seiring dan sejalan. Sikap tipikal para pemimpin UMNO. Bagaimanakah seorang yang gagal memimpin Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) boleh terfikir menawarkan dirinya untuk menjadi Presiden FAM? Ia seolah-olah seperti seorang yang gagal sebagai Menteri Besar tetapi melobi untuk dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri! Melarikan diri dari tanggungjawab apabila KAFA dilanda masalah. Tidakkah Annuar merasa malu? Itulah dia pemimpin UMNO, semasa susah mereka akan lepas tangan tetapi semasa senang mereka menjulang diri sendiri! Lihat sahaja 1MDB. Sebelum pekungnya terbongkar ia dicanang sebagai satu lagi transformasi Najib. Tetapi setelah 'kansernya' meletup, UMNO bermatian menidakkan penglibatan Najib. Wahai rakyat marhaen, jika TMJ pun meluat melihat tingkah laku Ketua Penerangan UMNO apatah lagi anda. Rakyat marhaen khasnya di kawasan Parlimen Ketereh seharusnya sudah mula menolak UMNO.


Enggan mengakui dan bertanggunjawab di atas kelemahan sendiri juga merupakan sikap pimpinan UMNO Najib. Bukan sahaja akan menyebarkan auta untuk mempertahankan penyelewengan, malah akan berlumba-lumba mempertahankan pimpinan mereka yang jelas tidak jujur dan tidak relevan lagi! Adakah ahli UMNO atau pemimpin UMNO yang lain yang akan mendesak Annuar agar dipecat atas tindakannya yang memalukan UMNO ini? Selesaikan dahulu kemelut KAFA sebelum berangan untuk menjadi Presiden FAM wahai Annuar. Adakah Harussani akan membela Ketua Penerangan UMNO dengan membidas kenyataan TMJ? Beranikah Harussani menyatakan kepada TMJ agar jangan ambil hak Tuhan dalam menasihati Annuar? Bukankah sebagai Ketua Penerangan UMNO, Annuar seharusnya fokus kepada UMNO daripada sibuk untuk menjadi Presiden FAM? Prinsip tipikal pimpinan UMNO, di mana ada kolam duit di situ ada UMNO!


Renungkanlah gambar di atas. Teguran sinis TMJ jelas mempunyai maksud yang mendalam. Ahli Parlimen berkhidmat kepada rakyat bukan taat setia membuta tuli kepada Najib! Kepentingan rakyat harus diutamakan bukan kepentingan parti! Sebagai Ketua Penerangan UMNO, Annuar seharusnya mengutamakan keperluan rakyat bukannya sibuk mengecam Tun M dan TS Muhyiddin demi mempertahankan salah laku Najib! Annuar juga sibuk dengan melobi untuk menjadi Presiden FAM. Adakah dia berpuashati dengan majoriti 974 undi pada PRU13 yang lalu? Sikap Ketua Penerangan UMNO ini sebenarnya juga melambangkan sikap sebenar UMNO. Asyik menyalahkan pihak lain atas segala malapetaka yang berlaku dalam negara. Adakah Ahmad Maslan akan meminta TMJ menunjukkan bukti bahawa Annuar meninggalkan KAFA sebagaimana dia meminta rakyat membuktikan RM2.6 billion dalam akaun Najib? 

Rakyat marhaen fikir-fikirkanlah teguran sinis TMJ ini.....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...